Bala video lucah, dorong suami curang - Utusan Malaysia

Bala video lucah, dorong suami curang

JIKA suami berterusan berkelakuan gay, maka si isteri boleh mengambil tindakan undang-undang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMRAH keperluan dalaman lelaki yang lebih tertumpu kepada seks dan tertarik dengan wanita.

Jenis lelaki yang ‘tidak pernah cukup’ atau lelaki miang sering berlaku curang kerana tiada nilai setia dan gagal menundukkan hawa nafsu.

Menurut Kaunselor Berdaftar dan Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling di Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Yusni Mohamad Yusop, kecurangan berlaku disebabkan lelaki jenis ini tidak pernah puas dengan hubungan dan wanita yang satu.

“Sekiranya lelaki atau suami gagal mengawal keperluan dalaman ini, maka nafsu akan sewenang-wenang bermaharajalela hingga dengan mudahnya membuat ‘hubungan’ dengan wanita lain.

“Suami merasakan layanan isteri tidak cukup. Tanpa berbincang dan bertolak ansur, lelaki jenis ini akan membuka ruang untuk mencari wanita lain bagi memenuhi keperluan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Laporan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan salah satu punca perceraian suami isteri adalah faktor kecurangan.

Yusni berkata, situasi itu sebenarnya boleh dikawal oleh lelaki atau si suami.

“Antara tempoh sebelum dan apabila berlakunya curang itu dikatakan sebagai satu transisi, iaitu ruang yang mana lelaki ada bersoal jawab dengan dirinya adakah memulakan atau meneruskan hubungan dengan pihak ketiga ini perlu?

“Andai lelaki mengambil mudah, tidak berfikir panjang, tidak matang lantas memilih untuk meneruskan sikap curang, maka jelaslah bahawa kecurangan disedari dan bukanlah kebetulan. Kecurangan adalah pilihan dan bukannya paksaan,” katanya.

SEKS ALAM MAYA DAN VIDEO LUCAH
Kaunselor Berdaftar dan Pakar Kaunseling Perkahwinan, Hushim Salleh, pula menjelaskan antara punca kecurangan apabila lelaki banyak menghabiskan masa melayani video lucah, aplikasi ‘dating’ yang dimuatnaik pada telefon pintar.

“Potensi lelaki untuk curang sangat tinggi sebab lelaki mudah dirangsang. Walaupun baik atau alim, tetapi daripada segi seksual, lelaki tetap tewas. Terus terang saya beritahu, lelaki yang sudah biasa melihat video lucah akan berasa layanan berlainan daripada isteri dah tidak menepati seperti yang dilihat dalam video.

“Lebih malang dan dahsyat jika lelaki itu sudah merasai ‘hubungan’ dengan wanita lain selain daripada isteri. Malah suami yang melayani wanita di dating app pula tidak malu untuk berkongsi video dan gambar seksi ketika perkenalan. Keinginan seksual dan layanan daripada pasangan itu amat tinggi,” katanya.

Ditanya mengapa lelaki tergamak berlaku curang sungguhpun mengetahui wanita yang bakal dinikahi tidak memenuhi ciri-ciri pilihan dan kehendak, jelas Hushim, ia lebih mudah difahami sebagai ‘mempergunakan’ seseorang wanita demi kepentingan peribadi.

“Lelaki biasanya banyak memberi alasan. Siang hari kerja pejabat, malam ada bisnes lain atau keluar dengan rakan-rakan. Jadi, senang untuk dapat teman wanita atau wanita simpanan tanpa pengetahuan isteri,” katanya.

Hushim, bagaimanapun tidak bersetuju dengan tindakan wanita dan isteri yang mengaibkan pasangan di media sosial kerana ia akan memberi kesan dari segi emosi kepada anak.

“Zaman media sosial pada hari ini sangat bahaya. Tapi tindakan ini tidak sihat. Jika ada anak, mereka akan terkesan dari segi emosi apabila rakan sebaya mengejek, bertanya atau menunjukkan video tular kisah ibu bapa mereka. Ramai bapa yang curang pada zaman dulu tetapi belum ada media sosial dan membesar dalam keadaan tiada aib dan malu,” katanya.

Hushim turut menyarankan pasangan bermasalah untuk menghadiri sesi kaunseling bagi mengharmonikan rumah tangga, sebelum memfailkan perceraian atau mendakwa suami berlaku curang.

“Biasanya apabila hadir kaunseling, kebanyakan lelaki balik ke pangkal jalan. Perasaan sayang kepada keluarga masih ada tetapi mereka terbabas kerana nafsu,” katanya.

TIADA UNDANG-UNDANG SAMAN PASANGAN CURANG
Peguam, Nurul Hafidzah Hassan, berkata tiada undang-undang khusus terutama kepada pasangan beragama Islam untuk saman atau menuntut ganti rugi terhadap suami atau isteri akibat perbuatan curang kerana isu perkahwinan diputuskan di bawah mahkamah syariah.

“Ini yang memberi masalah kepada pasangan yang beragama Islam. Apabila tiada undang-undang atau peruntukan ganti rugi ini maka akan menimbulkan lambakan kes-kes seperti ini dan menyebabkan tiada sesiapa yang takut untuk berlaku curang.

“Undang-undang syariah pula hanya boleh didakwa oleh pendakwa syarie yang mana ramai tidak tahu dan tidak membuat laporan. Jika laporan dibuat tetapi tiada bukti kukuh dan sebagainya maka pasangan berlaku curang tidak akan didakwa atau dilepaskan. Jadi, terdapat kekurangan dan kelopongan dari sudut undang-undang di sini menyebabkan mereka yang berlaku curang terlepas daripada hukuman.

“Sebaliknya undang-undang hanya menyebelahi pasangan bukan Islam di bawah Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 iaitu orang yang menjadi pihak ketiga boleh disaman sekiranya menyebabkan keretakan rumah tangga untuk mendapatkan ganti rugi. Namun tiada peruntukan serupa untuk pasangan beragama Islam,” katanya.

Selain itu, katanya, terdapat akta bagi pasangan yang curang boleh didakwa mengikut Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Pahang kerana mengganggu rumah tangga orang lain namun akta ini hanya terpakai di Pahang.

“Jika disabitkan kesalahan mengganggu rumah tangga orang lain dan mengabaikan tanggungjawab, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya dan mahkamah boleh memerintahkan lelaki atau perempuan itu supaya kembali kepada isteri atau suaminya,” katanya.

Di negeri lain, ujar Nurul Hafidzah, suami atau isteri boleh saman orang atau pihak ketiga iaitu mana-mana mentua, adik-beradik, ipar duai atau rakan yang mengganggu keharmonian atau mencetuskan keretakan rumah tangga berdepan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya.

“Perkara itu diperuntukkan di bawah Seksyen 37 (menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri) dan Seksyen 38 (menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dengan menetapkan kesalahan kehadiran orang ketiga yang merangkumi kaum keluarga.

“Manakala Seksyen 34 (menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 dan Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah. Bagaimanapun tiada undang-undang memperuntukan bagi wanita yang membuat lari suami orang lain,” katanya.

Beras kita beli?
CURANG adalah pilihan? Betulkah? Tidak. Pada saya ia lebih kepada mencari pasal. Kenapa dengan mudah memusnahkan rasa hormat pasangan yang akhirnya boleh mengheret kepada krisis kepercayaan sehingga ke akhir hayat?

Sudah elok-elok ada pasangan yang halal dan boleh bawa bahagia, kenapa perlu lalui jalan ‘berliku’ dan menyusahkan diri dengan mencipta seribu dusta dan helah hanya untuk menempa bahagia yang sekejap dan tak pasti?

Isu Seri kali ini mengupas tentang kecurangan suami yang tewas dengan keserakahan nafsu. Ketagihan menyaksikan video seks menjadi pencetus kecurangan kerana isteri tidak dapat memberi seperti dalam video itu. Jalan selesainya – suami berfoya-foya di belakang isteri.

Ini adalah satu penyakit. Suka menonton video lucah itu satu hal, bagaimana satu hubungan yang suci dan luhur, dilumur dengan dosa, kotoran dan pembohongan akibat tidak dapat membendung nafsu, juga satu hal besar.

Curang itu amat senang jalannya dalam zaman media sosial ini. Sesiapa pun boleh disapa dan menjadi kawan, asalkan melayan yang akhirnya membawa kepada petaka dalam rumah tangga.

Persoalan besar di sini bukankah susah untuk berlaku curang? Segala ‘bahan bukti’ perlu dipadam terutamanya di dalam telefon pintar dan bermacam-macam helah terpaksa direka untuk keluar berjumpa ‘kekasih gelap’ itu?

Dan sekarang ini juga kita sudah biasa dengar ayat orang lelaki – Jangan takut, beras kita beli! Sama ada bergurau atau memberi galakkan kepada kawan-kawan supaya tidak takut isteri.

Jangan cerita pasal beras saja, tuan-tuan. Belilah macam-macam benda lagi. Gembirakanlah hati isteri dengan sikap pemurah. Jangan pemurah hanya dengan kawan-kawan.

Ada juga suami yang tidak mampu pun beli beras. Isteri yang banyak menyediakan segala-galanya, dalam rumah tangga. Tetapi itulah, sudah jatuh dalam kategori ini pun, masih ada hati berlaku curang. Tidak sikit pun rasa bersalah dan simpati dengan pengorbanan seorang isteri, walhal beras isteri beli!

Dan dalam isu rumah tangga yang tidak boleh diselamatkan lagi, sepatutnya mahkamah syariah tidak melewat-lewatkan pendengaran kes dan membiarkan ia berlarutan lama.

Mahkamah syariah juga perlu bertegas dalam hal culas membayar nafkah anak-anak, sedangkan bila disiasat betul-betul bekas suami itu mampu bayar cuma tak mahu bayar saja.

Tiada jalan keluar? Mengapa perlu membiarkan separuh daripada kehidupan ini mendung pekat angkara perangai buruk suami? Dunia ini bukan hanya tentang derita dan kecewa.

Membiarkan diri hanyut dengan segala lara atau bangkit memandang peluang dan harapan cerah berada di depan, ini baru betul dikata pilihan. Segalanya dalam tangan sendiri.
PENULIS ialah Pengarang Berita, Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×