ADAT orang bercinta ‘lautan api sanggup ku renangi’, namun kata-kata manis itu bukanlah sesuatu yang mungkin menjadi realiti apabila masa dan situasi berubah maka keperluan dan perasaan juga akan berubah.
Berkongsi dengan Seri minggu ini, Profesor Fakulti Pengajian Pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Siti Aishah Hassan berkata, terdapat pelbagai cara boleh diusahakan bagi mengelak suami bermain cinta lain, sekali gus terus melekat dengan isteri tercinta.
TEROKA FANTASI PASANGAN
Pasangan bahagia perlu tahu untuk meneroka fantasi pasangan.
Kaedah ini dapat meningkatkan kepuasan dalam perhubungan. Malah ia berfungsi menambahkan rasa cinta dan kepuasan hubungan seksual.
Penerokaan fantasi pasangan ini, turut berupaya menyeimbangkan kuasa cinta dalam rumah tangga yang dibina itu, untuk kekal bahagia selamanya.
TIDAK PUAS DI RANJANG
Realitinya kecurangan boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kecurangan hubungan seksual, perasaan dan kewangan.
Pakar Terapi Perkahwinan, Paul Peluso (2019) dalam bukunya bertajuk A family system guide to infidelity: Helping Couples Understand, Recover From and Avoid Future Affairs menerangkan antara faktor penyumbang kepada kecurangan adalah:
1) Ketidakpuasan perkahwinan termasuk hubungan seksual dan persoalan cinta. Walau bagaimanapun, kepuasan seksual bukan faktor utama sebaliknya interaksi ataupun komunikasi perkahwinan yang tidak berfungsi dengan baik, boleh memburukkan lagi keadaan.
2) Ketidakseimbangan kuasa perkahwinan. Pihak yang lebih berkuasa, biasanya suami akan lebih terjerumus kepada kecurangan berbanding isteri.
3) Fantasi yang tidak dipenuhi. Situasi ini kadangkala boleh menjurus kepada ketidakpuasan hati antara pasangan.










