KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bersemuka dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang esok bagi menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpinnya.
Sumber berkata, pertemuan itu jika berjaya dijangka membawa kepada beberapa perubahan termasuk rombakan melibatkan beberapa portfolio kanan dalam Kabinet Muhyiddin.
Namun, pendirian Pas mengenai soal tersebut hanya akan diketahui pada perbincangan itu.
Barisan Nasional (BN) selaku penyumbang kerusi paling banyak dalam PN mendakwa parti itu sewajarnya mendapat portfolio yang lebih baik berbanding komponen lain yang membentuk kerajaan seperti Bersatu, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pertemuan yang disifatkan sebagai jalan terakhir menyelamatkan kerajaan PN itu telah mendorong UMNO menangguhkan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti yang sepatutnya berlangsung hari ini.
Mesyuarat MT UMNO ditangguh ke satu tarikh lain yang lokasinya difahamkan di Pahang.
Kemelut politik Malaysia turut mendorong Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengulangi titah baginda kepada ahli-ahli politik supaya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan, sebaliknya harus diselesaikan melalui perundingan dan proses perundangan seperti dalam Perlembagaan.
Dalam pada itu, pemerhati politik berpendapat, Muhyiddin tidak banyak pilihan kerana kerajaan pimpinannya ibarat telur di hujung tanduk berikutan tindakan UMNO yang menimbang menarik semula sokongan terhadap PN.
Memburukkan keadaan, lima ahli parlimen parti Pejuang mengusulkan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin semalam.
Mereka ialah Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Dr. Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) serta Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh (Sri Gading).
Usul tidak percaya keenam dikemukakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini.
Sementara itu, di Pontian, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Perdana Menteri meminta UMNO memperincikan syarat-syarat baharu kerjasama politik dengan PN menerusi satu nota bertulis dan dikemukakan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, permintaan itu susulan panggilan video antara dua wakil rasmi UMNO dengan Pengerusi PN yang berlangsung 45 minit kelmarin.
Semalam, kata Ahmad Maslan, beliau sekali lagi dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berhubung perkara sama.
“Saya selaku Setiausaha Agung UMNO dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menjadi wakil kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengemukakan syarat UMNO secara lisan di hadapan Perdana Menteri.
“Namun, tidak lama kemudian, beliau (Muhyiddin) meminta UMNO agar memperincikan berkenaan perkara itu menerusi satu surat rasmi atau nota secara lebih terperinci.
“Itu respons Muhyiddin susulan pertemuan kami semalam (kelmarin),’’ katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian Bantuan Siswa Parlimen Pontian semalam.
Ahmad Maslan menjelaskan, UMNO hanya akan mengemukakan perincian itu selepas mesyuarat MT pada Selasa ini.
Barisan Nasional mempunyai 42 kerusi parlimen berbanding Bersatu hanya 31 kerusi diikuti dengan Pas 18 kerusi. – UTUSAN









