KUANTAN: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dianggap sebagai keperluan mendesak ketika ini selepas Malaysia berhadapan terlalu banyak ‘politiking’ dalam pasca PRU-14.
PRU wajar disegerakan bagi mengelak pilihan raya mengejut di negeri-negeri yang memiliki majoriti tipis seperti di Perak yang mengharapkan ihsan parti lain untuk berkuasa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Undang-Undang Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS), Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, berikutan tempoh matang penggal Dewan Rakyat hanya berbaki kira-kira dua tahun lagi, adalah lebih baik PRU diadakan dalam waktu terdekat dalam tahun ini.
Katanya, ia memberi ruang mengembalikan mandat kepada parti yang stabil, menjamin masa depan lebih gemilang dan mengutamakan kepentingan rakyat daripada terus berpolitiking.
“Inilah masanya kerana rakyat sudah ‘muak’ dengan apa yang berlaku, Jika bukan kerana PRN Johor pun, sememangnya ramai yang mahukan PRU-15 diadakan seawal selepas PRN berkenaan,” katanya di sini semalam.
Sabtu lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan sokongan parti itu dan Pas terhadap kerajaan adalah bersyarat dan ia perlu dihormati dan dirunding berlandaskan nilai integriti, antirasuah serta berkebajikan.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Maran (UiTM) Raub, Akmal Hisham Abdul Rahim berkata, PRU-15 perlu diadakan segera bagi menyelesaikan konflik politik yang berlanjutan.
“Kita memerlukan kerajaan yang mempunyai polisi yang bagus untuk memacu negara ini. Agenda reformasi institusi dan pembaharuan perlu dilaksanakan dengan lebih cepat,” katanya.
“Jika PRU diadakan serentak dengan PRN, ini dapat menjimatkan duit negara. Malah dapat menyelesaikan konflik politik dengan cepat,” tegasnya. – UTUSAN











