ALOR SETAR: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO di negeri ini kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Pas.
ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd. Noor berkata, pada masa ini, tiada ADUN daripada UMNO yang akan menarik sokongan terhadap kepimpinan kerajaan negeri seperti yang dihebohkan pihak tertentu di media sosial.
Malah menurutnya, beliau tidak mengetahui berhubung dakwaan dua ADUN daripada UMNO akan menarik sokongan itu.
Katanya, kalau mengikut dakwaan itu, beliau dan ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob sahaja yang merupakan ADUN di Kedah dari UMNO.
“Tak ada pun (tarik sokongan), tak ada dibincangkan, diperkatakan dan dipersoalkan, sebab dua ADUN kamilah (daripada UMNO), insya-Allah,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KXP Airport Holdings dengan POS Aviation dan KLIA College di sini hari ini.
Turut hadir menyaksikan MoU itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor.
Sejak kelmarin tular dalam media sosial mengenai dakwaan dua ADUN UMNO dan dua bebas dijangka keluar daripada kerajaan negeri Kedah dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan tidak lama lagi.
Bagaimanapun, pihak yang membuat dakwaan itu tidak mendedahkan nama ADUN berkenaan.
Sebaliknya, Norsabrina berkata, beliau masih menjalankan tugas seperti biasa dan mempunyai hubungan seperti biasa dengan kerajaan negeri.
“(Saya) fikir pasal kerajaan kedah, apa yang nak majukan kedah. Tingkatkan prestasi, jangan cari kontroversi,” jelasnya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi pula berkata, beliau percaya dakwaan tersebut merupakan khabar angin.
“Saya tak dapat mesej tu, betul saya tak tahu, tak adalah, khabar angin sahaja tu,” jelasnya.
Pada Mei 2020, PN membentuk kerajaan negeri di Kedah selepas mendapat sokongan 23 ADUN iaitu Pas mempunyai 15 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) enam kerusi dan UMNO dua kerusi.
Sementara itu, Pakatan Harapan memiliki 13 kerusi iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) lima kerusi, Parti Amanah Negara (Amanah) empat kerusi serta DAP dan Pejuang masing-masing dua kerusi.











