Amber Chia kekal tradisi rai Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Amber Chia kekal tradisi rai Tahun Baharu Cina

Amber Chia akan meraikan Tahun Baharu Cina di kediamannya, di Kuala Lumpur bersama keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sektor peragaan dan model antara terjejas teruk akibat Pandemik Covid-19. Supermodel, Amber Chia Lee Peng, 40, berasa amat terkesan apabila agensi peragaannya Amber Creations dan sekolah pemodelan Amber Chia Academy terpaksa menghentikan operasi kesan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dua tahun lalu.

“Bayangkan waktu itu, tiada pertunjukan fesyen, fotografi dan majlis-majlis keramaian. Sebagai model, ini memberi kesan terhadap saya. Agensi modeling saya pun tidak dapat membuka pendaftaran pelajar baharu tetapi saya perlu membayar sewa kedai dan bil-bil lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun kata Amber, selaku usahawan dia tidak boleh hanya berpeluk tubuh. Sebaliknya dia berjinak-jinak dengan teknologi digital bagi memastikan perniagaan boleh terus bernafas.

“Saya belajar sesuatu yang baharu semasa PKP. Teknologi digital seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, Google My Business, Google trends dan SEO antara alat yang sangat membantu perniagaan sebelum PKP.

“Saya yakin selepas PKP seperti sekarang ini, akan ada lebih banyak perniagaan akan bergantung kepada teknologi digital. Inilah norma baharu yang perlu dihadapi oleh usahawan hari ini,” katanya.

Rentetan itu dia dengan yakin melancarkan produk kecantikan sendiri Shero pada November 2021.

“Saya tidak mahu bergantung pada satu perniagaan sahaja. Sebab itu, saya memberanikan diri mencuba bidang kosmetik yang dijual dalam talian. Terbaru saya juga menjadi rakan kongsi kepada sebuah syarikat pengeluar makanan Cina.

“Sekiranya PKP diperketatkan kelak, saya sudah bersedia dari segi ekonomi. Paling penting, kita jangan berputus asa. Kita perlu mempunyai matlamat dan fokus dalam apa jua bidang yang kita ceburi.

“Berdepan dengan masalah Covid-19 bukanlah halangan kepada kami. Sebaliknya, pembelajaran masih diteruskan secara dalam talian. Bagitu juga tugas peragaan, dijalankan dalam talian dan tidak menghalang industri ini terus berkembang,” jelasnya yang turut berhasrat membentuk persatuan model untuk melindungi model di Malaysia.

MODAL RM400
Mengimbas permulaannya menjadi model, laluan kariernya dibina selepas memenangi pertandingan Pencarian Model Guess Antarabangsa pada 2004.

Amber bermula pada usia 17 tahun dengan hanya berbekalkan impian mahu menjadi seorang model, Amber ke Kuala Lumpur seorang diri. Berbekalkan wang poket RM400, dia membeli tiket penerbangan dari Tawau, Sabah ke Lapangan Terbang Subang semata-mata mahu menghadiri satu sesi casting.

Menyewa bilik bersama rakannya, ada ketikanya dia tidak punya wang pun untuk sesuap nasi. Setiap kali mahu berputus asa, dia melawan sikap negatif itu dan terus berjuang demi minat yang selama ini dipendam. Situasi mendesaknya menjadi lebih kuat dan berdikari.

“Jika anda tidak mempunyai minat dan semangat yang jitu pada sesuatu, anda tidak akan dapat mencapai impian yang anda idam-idamkan. Malah pada peringkat awal juga saya pernah gagal lebih 75 kali ketika sesi uji bakat model dan menyertai hampir 30 pertandingan.

“Tapi saya tidak cepat melatah. Saya bangun dan terus berusaha,” katanya.

Penyertaannya dalam Ford Supermodel Search pada 2009 berjaya menarik minat Amber untuk membuka akademi modeling sendiri. Akademi Amber Chia secara rasminya dibuka pada 2010 Ogos. Tiada Akademi seperti Akademi Amber Chia yang menawarkan kursus profesional seperti di luar negara yang boleh dipelajari dari A hingga Z.

“Ketika pembukaannya, ramai memberitahu saya bahawa mereka bernasib baik kerana akademi ini ada mengajar seni solekan dan dandanan, fotografi selain modelling. Kami mempunyai tenaga pengajar yang berbeza dan saya juga mengajar salah satu kursus. Dengan 21 tahun pengalaman, saya perlu berkongsi ilmu,” katanya.

Bijak mengurus masa
Selepas mendirikan rumahtangga dengan Adrian Wong pada Mac 2010 dan dikurniakan anak lelaki bernama Ashton Wong pada September 2010, Amber akui dirinya sangat sibuk namun dia mengambil makan sihat dan minum banyak air bagi memastikan dirinya terus bertenaga.

Amber turut gemar menghabiskan masa bersama anaknya bermain badminton dan senaman sit-up sebanyak 10 ke 20 kali sehari untuk menghilangkan stres.

“Berkahwin tidak banyak mengubah hidup saya, tetapi menjadi ibu banyak mengajar saya, ia merubah segala-galanya. Selepas melahirkan Ashton, saya mula sedar kasih ibu begitu kuat kerana saya akan melakukan segala-galanya dan mengubah segala-galanya untuk seseorang yang kita sayangi. Gaya hidup dan keutamaan hidup saya, segala-galanya berbeza,” terang Amber.

TAHUN BAHARU BERMAKNA
Meskipun perayaan Tahun Baharu Cina bakal disambut dalam norma baharu, ia bukanlah penghalang kepada masyarakat Tionghua untuk meraikannya bersama yang tersayang.

Pelbagai persiapan pastinya rancak dilakukan bagi meraikan tahun harimau bersama keluarga, rakan taulan dan sanak saudara ketika negara menuju fasa pemulihan Covid-19.

Malah, kaum ibu pasti tidak melepaskan peluang menghiasi kediaman masing-masing dengan elemen Feng Shui bagi menyemarakkan lagi hari istimewa ini. 

Kata Amber dia bersyukur kerana tahun ini dia masih dapat meraikan perayaan ini bersama keluarga memandangkan ibu bapanya kebetulan berada di rumahnya sejak PKP 2020 lalu.

“Walaupun Tahun Baharu Cina tahun ini disambut dalam norma baharu, bukan bermakna saya akan melupakan amalan tradisi masyarakat Cina. Justeru, sambutan asas itu tetap ada seperti makan malam bersama keluarga, berbaju baharu dan pemberian ang pau tetapi secara bersederhana,” katanya.

Berkongsi persiapan menyambut perayaan itu, Amber memberitahu, pembelian baju baharu pada permulaan tahun adalah sebagai simbolik tuah malah seelok-eloknya baju itu berwarna merah.

“Masyarakat Cina juga percaya sebelum perayaan, perlu membersihkan rumah, bagi menyambut tahun baru. Pembersihan rumah lazimnya dilakukan beberapa hari sebelum menjelang tahun baru.

“Antara adat resam lain yang diamalkan, termasuklah pemberian limau Mandarin yang bunyinya dalam bahasa Mandarin sama dengan ‘emas’. Ini bermakna pemberian limau seolah-olah menghadiahkan emas pada orang lain,” katanya.

Tambah Amber, apabila berjumpa dengan rakan-rakan dan saudara mara juga perlu mengucapkan pepatah yang membawa maksud baik misalnya Gong Xi Fa Chai, suatu ungkapan yang membawa maksud yang baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×