Jangan ‘main-main’ batal kahwin - Utusan Malaysia

Jangan ‘main-main’ batal kahwin

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perbuatan mungkir janji atau putus tunang tanpa alasan yang sah dan kukuh bukan sahaja dilarang dari sudut agama, malah mempunyai kesan perundangan.

Pihak yang terkesan dengan kemungkiran itu boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memungkiri janji untuk berkahwin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sudah banyak kes dibawa ke Mahkamah Syariah berkaitan tuntutan putus tunang sama ada difailkan oleh bakal pengantin perempuan, mahupun lelaki.

Sebagai contoh, katanya, terdapat kes melibatkan seorang lelaki menuntut ganti rugi berjumlah hampir RM1 juta di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 2009 akibat putus tunang daripada bekas tunangnya yang telah pun berkahwin dengan lelaki lain.

“Kes ini akhirnya diselesaikan dengan persetujuan bersama apabila pihak lelaki bersetuju menerima ganti rugi berjumlah RM600,000 sebagai penyelesaian penuh kes,” katanya di sini semalam.

PERUNDANGAN syariah dan undang-undang keluarga Islam memperuntukkan undang-undang jelas mengenai pembatalan pertunangan yang mana pihak yang terkesan mestilah mempunyai pengetahuan bagi memastikan hak-hak mereka terjamin.

Menurut Mohd. Na’im, dua perkara penting yang perlu diambil kira apabila berlakunya pembatalan pertunangan iaitu melibatkan pemulangan semula hadiah atau pemberian yang dibuat dengan tujuan perkahwinan serta ganti rugi kesan daripada pembatalan pertunangan.

Kata beliau, dalam konteks pertunangan, hadiah dan pemberian yang dibuat adalah semata-mata dengan harapan dan tujuan perkahwinan akan dilaksanakan yang mana mengikut Mazhab Shafie kedua-dua pihak mesti memulangkan apa-apa hadiah yang diberikan.

Beliau menjelaskan, jika sudah tiada atau rosak, mengikut mazhab berkenaan, maka pihak tersebut haruslah membayar ganti rugi, tanpa mengira siapa yang memutuskan pertunangan tersebut.

“Dalam aspek ini, adat dan amalan di sesuatu tempat juga boleh menjadi sumber feqah, selagi mana adat dan amalan itu tidak bercanggah dengan hukum syarak.

“Sebagai contoh, terdapat adat di mana sekiranya pihak perempuan yang memutuskan pertunangan, maka dia harus memulangkan dua kali ganda lebih daripada hadiah yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun pembatalan pertunangan diharuskan hukum syarak atas sebab kukuh, ia masih mengakibatkan berlakunya kemudaratan kepada kedua-dua pihak sama ada berbentuk material, seperti kos-kos persediaan perkahwinan, pemberian-pemberian yang dibuat dengan matlamat merealisasikan rencana perkahwinan atau berbentuk bukan material, seperti malu, sedih, rasa tertipu, dendam dan sebagainya.

Jelas beliau, di Malaysia, Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, memperuntukkan tindakan tuntutan boleh diambil akibat pembatalan pertunangan dibuat tanpa sebab yang sah dan pihak yang mungkir bertanggungjawab untuk memulangkan semula pemberian pertunangan atau, jika tiada, nilainya, membayar ganti rugi khas.

Beliau turut mengemukakan beberapa kes lain berkaitan iaitu pada 2017, seorang lelaki memfailkan tuntutan ganti rugi di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Selangor ekoran tindakan tunangnya memutuskan pertunangan 21 hari sebelum majlis pernikahan mereka tanpa sebarang sebab.

“Tuntutan tersebut dibenarkan mahkamah dan ganti rugi sebanyak RM32,000 hendaklah dibayar secara ansuran oleh tunangnya,” katanya.

Selain itu, katanya, pada 2009, seorang pereka grafik dan ahli perniagaan memfailkan tuntutan ganti rugi putus tunang terhadap bekas tunangnya berjumlah RM70,000 di Mahkamah Rendah Shah Alam.

Dalam kes ini, katanya, bapa kepada bakal pengantin perempuan telah menghantar sistem pesanan ringkas kepada bakal pengantin lelaki memutuskan pertunangan sebulan sebelum tarikh pernikahan dan kes ini diselesaikan secara sulh, atas saranan mahkamah, yang dijalankan oleh kedua-dua belah peguam.

Beliau turut memberikan contoh kes Salbiah bt Othman v Haji Abdul Ahmad bin Abdul Ghani [2006] 1 CLJ (SYA) 355, antara tuntutan pihak perempuan adalah ganti rugi keaiban berjumlah RM200,000 kerana pihak lelaki memutuskan pertunangan mereka dua minggu sebelum majlis perkahwinan.

Bagaimanapun, tuntutan berkaitan ganti rugi ini ditolak mahkamah syariah kerana tempat yang paling layak dan sesuai bagi isu ini adalah di Mahkamah Tinggi Sivil (Tuntutan Sivil), yang mana hal itu adalah berkaitan dengan ganti rugi am melibatkan keaiban/malu, tohmahan masyarakat, penderitaan, tekanan jiwa dan perasaan.

“Perundangan syariah dan undang-undang keluarga Islam telah memperuntukkan undang-undang yang jelas mengenai pembatalan pertunangan. Semua pihak yang terlibat dan terkesan mestilah mempunyai pengetahuan undang-undang bagi memastikan hak-hak mereka terjamin.

“Namun, penyelesaian yang terbaik sekiranya timbul isu sebegini adalah secara sulh iaitu penyelesaian secara baik antara kedua-dua belah pihak. Penyelesaian melalui perbicaraan mahkamah merupakan jalan terakhir. Media sosial sama sekali bukan tempat dan medium penyelesaian, sebaliknya akan memburukkan lagi situasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×