UNJURAN krisis berganda di Ukraine dan Taiwan tidak menunjukkan sebarang indikator keruduman ketegangan, sebaliknya kian meruncing. Dampak domino yang bakal dialami di seluruh dunia dan tempias terburuk di rantau Indo-Pasifik akan memporak-perandakan kestabilan ekonomi dan politik rantau, seterusnya membawa kepada kitaran dilema keselamatan yang akan mencetus tindakan reaksi timbal balik, memperdalam kancah kemelut berangkai konflik ketenteraan dan kemanusiaan.
Kemelut risiko perang di Ukraine dan Taiwan bukan sesuatu yang baharu, namun dicanang oleh situasi dan implikasi perencanaan politik rantau sebagai pelaku utama yang akan mempertahankan keselamatan wilayah, mengatasi segala kos dan implikasi terpaksa dilalui. Ia berpotensi tercetusnya krisis perang dan ketenteraan terburuk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua dengan keruncingan situasi di Ukraine.
Kemaraan pengaruh dan kuasa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di bawah tampuk ketenteraan Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang semakin menyekat dan mengancam keselamatan Rusia menjadi faktor peyumbang terbesar dalam kemelut di Ukraine.
Ketegangan di rantau itu dan ancaman penaklukan Ukraine oleh Rusia tidak direncana sewenang-wenangnya oleh Presiden Vladimir Putin dan pasukan elit perencana strateginya. South Ossetia dan Crimea yang ditawan pada 2008 dan 2014 menjadi medan dan simbol keupayaan dalam mengatur langkah strategik untuk mempertahankan kepentingan Rusia dari segi kelangsungan ekonomi dan pengaruh geopolitik, selari dengan usaha bersasar untuk merencatkan pegangan kukuh AS dalam sistem ekonomi dan politik rantau dan global. Rusia semakin terhimpit dengan risiko ancaman ketenteraan daripada NATO meningkat setiap kali unjuran perluasan mendekati sempadannya.
Bagi Putin, beliau sekian lama bertoleransi dengan ancaman dan tindakan NATO yang dilihat sengaja untuk memprovokasi dengan penempatan pangkalan ketenteraan strategik serta kapasiti peluru berpandu jarak sederhana yang mampu mengancam Rusia. Putin memberi amaran untuk memulakan gerakan ofensif konflik di Ukraine sekiranya tuntutannya tidak diendahkan oleh AS dan NATO. Risiko konflik kini semakin meruncing selepas kedua-dua NATO dan AS tidak dapat menerima permintaan tersebut. Putin, antara lainnya menuntut untuk menarik balik perluasan NATO ke timur, menghentikan bantuan ketenteraan kepada Ukraine dan pembinaan kapasiti peluru berpandu jarak sederhana serta menyekat pembangunan pangkalan dan sistem senjata yang semuanya mengancam kedaulatan Rusia.
PERANG SARAF
Lebih 100,000 tentera Rusia bersiap sedia di sempadan Ukraine di kedudukan terancang yang boleh digerakkan bila-bila masa dalam serangan tiga berangkai melalui laluan utara, tengah dan selatan secara serentak. Ukraine yang tidak mempunyai jaminan pertahanan daripada NATO sebagai ahli, terdedah kepada jaringan peluru berpandu yang menjadi tonggak utama kelebihan Rusia.
Sebarang percubaan Rusia untuk bertindak menawan Ukraine akan berpandukan strategi kemusnahan total yang akan meranapkan segala peluang dan usaha kebangkitan Ukraine.
Ini disusuli kapasiti peluru berpandu bersasar dalam membinasa lokasi strategik dan simbol utama Ukraine seperti Kiev dan pelabuhan-pelabuhan utama, Odessa dan Mariupol. Ia juga berupaya melumpuhkan kebolehan pangkalan pembuatan senjata Ukraine dalam menghasilkan peluru berpandu jenis Neptune dan Sapsan yang dapat digunakan untuk serangan tindak balas Ukraine.
Serangan Rusia juga akan bersasar kepada sistem pertahanan antipeluru berpandu dan antijet pejuang Ukraine yang tidak berupaya untuk menampung jumlah ledakan dan keefisienan kuasa yang dipamerkan Rusia. Putin sedar Rusia tidak berupaya untuk mengekalkan perang jangka masa panjang.
Putin sedar perpecahan pendirian dan pendapat dalam kalangan ahli NATO dan tindak balas terhad oleh AS dalam percubaan kedua-dua entiti untuk menghalang tindakan Rusia ke atas Ukraine. Prospek merudum Ukraine diburukkan dengan keengganan kuasa luar terutamanya AS dan NATO dalam memberi jaminan jelas, kukuh dan tersedia dalam mempertahankan Ukraine daripada penaklukan Rusia. AS yang telah bergelumang dengan konflik di Timur Tengah dengan perang tiada kesudahan di Afghanistan yang baharu sahaja ditamatkan oleh Presiden Joe Biden tidak akan berhasrat untuk menggadaikan lembaran baharu dalam kancah perang utama. AS perlu kekal fokus kepada ancaman China serta prospek konflik di Taiwan.
Amaran tindak balas serta usaha cegah rintang yang ditunjukkan dilihat Rusia sebagai tidak berkesan dalam mempengaruhi langkahnya untuk mempertahankan kepentingan serta menjamin kepulangan strategik geopolitik yang bakal diraih. Tiada potensi ancaman tindak balas berbentuk campur tangan ketenteraan secara total dan langsung di Ukraine oleh AS dan NATO serta ketumpulan sekatan kewangan dan ekonomi yang dilihat sebagai tindakan maksimum yang boleh diambil terus memberikan lampu hijau kepada Putin untuk meneruskan agendanya.
AS dan NATO kini tersepit dalam percaturan perang saraf serta perencanaan strategik yang ditayangkan Rusia dan mereka sedar tentang perlunya untuk menelusuri rentetan perundingan dan usaha diplomasi dengan lebih berwaspada di sebalik kelebihan konvensional yang dimiliki Rusia. AS terdesak untuk mengeksplorasi strategi baharu dalam terus melahirkan amaran dan pelaksanaan cegah rintang yang akan dilihat secara lebih kritikal dalam meningkatkan kos kepada Rusia selain kaedah tried and tested yang telah direncana sebelum ini.
Peluang kepada penamatan konflik secara aman melalui rundingan dan diplomasi masih bersinar walaupun dilihat amat sukar untuk diterjemahkan dalam konteks realiti semasa. Perungkaian konflik perlu disuntik ketelusan dan kejujuran dalam taktik dan teknik pengiktirafan dan penerimaan terhadap kegusaran dan perspektif setiap pihak terlibat, selain meneruskan langkah pemupukan keyakinan dan keterbukaan dalam spektrum diplomasi bertunjangkan pemahaman merentasi norma dan takuk lama.
PENULIS ialah Penolong Pendaftar di Universiti Malaya.











