Kebiasaannya golongan yang tidak berharta tidak disenangi oleh orang yang berharta.
Orang miskin sering dianggap sebagai bebanan dan gangguan kepada kehidupan orang kaya.
Mereka sering dicemuh sebagai pemalas dan tidak mahu berusaha sebaliknya lebih selesa hanya dengan meminta-minta. Namun ia sangat berbeza dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW sehingga baginda pernah memohon kepada Allah agar menjadikan baginda sewaktu hidup dan wafat sebagai seorang yang miskin!
Hidupkan daku sebagai seorang miskin.
Al-Imam al-Tirmidziyy pernah meriwayatkan di dalam kitab Sunan beliau akan permohonan Rasulullah SAW yang ingin hidup dan wafat sebagai seorang miskin seperti berikut:
Daripada (Sayyidina) Anas bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
Ya Allah. Hidupkanlah saya sebagai seorang miskin. Wafatkanlah saya sebagai seorang miskin dan himpunkanlah saya di dalam golongan miskin pada hari Kiamat (kelak).
Maka Sayyidatina ‘Aisyah berkata:
Kerana apa wahai Rasulullah?
Baginda bersabda bermaksud:
Sesungguhnya mereka akan masuk syurga sebelum orang-orang kaya mereka (masuk syurga lebih awal) selama 40 musim luruh. Wahai ‘Aisyah. Janganlah anda menolak (permintaan) orang miskin walaupun (anda hanya dapat memberikan kepadanya) separuh kurma kering. Wahai Aisyah. Sayangilah mereka yang miskin dan hendaklah anda mendekatkan mereka (kepada keperluan mereka) kerana sesungguhnya Allah akan mendekatkan anda [kepada keinginan anda] pada hari Kiamat.
Menurut al-Imam al-Nawawiyy di dalam kitab beliau Sharh al-Nawawiyy ‘Ala Sohih Muslim, 40 musim luruh yang dimaksudkan di dalam hadith ini adalah 40 tahun.
Rasulullah SAW menerusi hadith ini mengajarkan kita satu bentuk doa yang amat penting yang tidak akan merugikan sesiapa sahaja yang mengamalkannya iaitu:
Ya Allah. Hidupkanlah saya sebagai seorang miskin. Matikanlah saya sebagai seorang miskin dan himpunkanlah saya di dalam golongan miskin pada hari Kiamat kelak.
Menurut para ulama Rasulullah SAW menerusi doa ini ingin mengajar kita agar kita merasai kebergantungan yang berterusan kepada Allah Taala dalam segala hal di samping bersikap rendah diri serta menjauhi sifat bongkak dan sombong.
Baginda juga ingin menyatakan ketinggian golongan fakir miskin di sisi Allah Taala sehingga baginda sendiri memohon kepada Allah agar dihimpunkan di Akhirat kelak bersama dengan golongan miskin.
Fadhilat al-Syeikh Prof. Dr. ‘Aliyy bin Jum‘ah yang merupakan mantan mufti kerajaan Mesir pula mempunyai pandangan yang berbeza dalam menafsirkan maksud ‘orang miskin’ yang diinginkan oleh Rasulullah SAW di dalam doa baginda tersebut.
Menurut beliau, ‘orang miskin’ yang dimaksudkan di dalam hadith pertama ini adalah orang yang merendah diri kerana Allah dan bukannya orang yang tidak memiliki harta. Beliau berkata:
Orang yang miskin adalah orang yang mematahkan jantungnya (merendah diri) untuk Allah sekalipun dia memiliki dunia dan apa yang ada di dalamnya.
Sayangilah Orang Miskin
Menerusi hadith di atas kita dituntut menyayangi dan mengambil berat terhadap golongan miskin.
Rasulullah SAW mengajar Sayyidatina ‘Aisyah Rodhiyallahu ‘Anha untuk menyayangi mereka serta memenuhi permintaan mereka walaupun hanya dengan sekecil-kecil pemberian atau semurah-murah pemberian sekalipun seperti separuh buah kurma kering.
Dalam hadith yang lain, Rasulullah SAW menerangkan betapa pentingnya golongan yang lemah untuk golongan yang kaya dan berkedudukan.
Al-Imam al-Bukhoriyy telah meriwayatkan melalui sanad beliau yang bermaksud:
Daripada Mus‘ab bin Sa’d, beliau telah berkata: (Sayyidina) Sa’d -Allah telah meredhai beliau- telah melihat bahawa sesungguhnya beliau mempunyai jasa kepada orang yang lebih rendah (kedudukannya) daripada beliau. Lantas Nabi SAW telah bersabda:
Kamu semua tidaklah ditolong dan (tidaklah) diberikan rezeki [oleh Allah] melainkan dengan sebab mereka yang lemah daripada kalangan kamu semua.
Maka jelas bahawa penyebab sang kaya diberikan rezeki oleh Allah adalah bantuan yang diberikan kepada mereka yang miskin dan doa mereka yang fakir.
Harta yang banyak tidak semestinya mencepatkan pemiliknya ke Syurga
Rasulullah SAW mendidik kita agar tidak menggilai harta dan kekayaan dunia.
Ini kerana setiap harta yang dimiliki oleh seseorang akan disoal siasat oleh Allah Taala di Akhirat kelak. Maka semakin banyak harta seseorang, semakin banyaklah soal siasat yang akan dihadapinya kelak.
Al-Imam al-Tirmidziyy telah meriwayatkan melalui sanad beliau: Daripada [Sayyidina] Abu Barzah al-Aslamiyy, beliau telah berkata:
Rasulullah SAW telah bersabda:
Tidak akan berpindah dua tapak kaki seorang hamba pada hari Kiamat sehinggalah dia akan disoal [terlebih dahulu]: tentang umurnya; pada [perkara] apa yang dia telah menghabiskannya, tentang ilmunya; pada [perbuatan] apa yang dia telah lakukan, tentang hartanya; daripada [sumber] mana dia telah memperolehinya dan pada [perkara] apa yang dia telah gunakannya dan tentang jasadnya; pada [perkara] apa yang dia telah menuakannya.
Orang Miskin Paling Ramai di syurga
Al-Imam al-Bukhoriyy ada meriwayatkan di dalam Sohih al-Bukhoriyy menerusi sanad beliau: Daripada (Sayyidina) Usamah, daripada Nabi SAW telah bersabda:
Saya telah berdiri di depan pintu syurga. Maka [ternyata] kebanyakan manusia yang telah memasuki syurga adalah mereka yang miskin.
Pemilik-pemilik rezeki [pula] ditahan [untuk disoal siasat] melainkan bahawa sesungguhnya penghuni neraka telah diperintahkan untuk mereka dibawa ke neraka. Saya telah berdiri di depan pintu neraka. Maka tiba-tiba [saya mendapati bahawa] kebanyakan manusia yang telah memasuki neraka adalah golongan wanita.
Agama Islam adalah agama yang sempurna yang menilai kedudukan seseorang bukan dari sudut kekayaan harta bendanya sebaliknya dari sudut tingkat keimanan dan ketakwaannya kepada Allah Taala.
———–
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










