Mengapa NTF wajar dikekalkan? - Utusan Malaysia

Mengapa NTF wajar dikekalkan?

Kapal KD Lekiu pada Operasi Benteng Khas baru-baru ini. (Bawah kanan) Affendi Buang (Kiri) Ackbal Abdul Samad beraksi menerbangkan pesawat SU-30 MKM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA bukan kerana Covid-19, nama dan fungsi Pasukan Petugas Khas (NTF), tidak mungkin dikenali, sebagaimana hari ini.

Kejayaan demi kejayaan berjaya dicatatkan pasukan ini terutamanya membabitkan tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan aktiviti penyeludupan.

NTF yang ditubuhkan pada Mei 2020 terdiri daripada pelbagai agensi keselamatan iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Justeru, tiada lagi isu pertindihan tugas atau kawasan-kawasan penting terutamanya melibatkan lorong tikus atau titik pendaratan PATI.

Selain itu, aset semua agensi juga dapat dimaksimumkan penggunaannya terutama membabitkan bot pemintas milik agensi keselamatan.

Satu perkara yang perlu paling penting, sekiranya satu-satu kawasan di ceroboh atau melibatkan kehadiran PATI atau penyeludup, NTF boleh menggerakkan keseluruhan agensi menerusi koordinasi pasukan itu tanpa timbul sebarang pertindihan kawasan serta tugas.

Ini terbukti menerusi sepanjang tempoh hampir dua tahun Op Benteng dilaksanakan.

Sekadar contoh situasi, satu tangkapan membabitkan PATI dikesan di perairan Johor dan maklumat diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Lantas aset digerakkan sama ada melibatkan satu agensi atau dengan kerjasama agensi lain. Sebaik tangkapan dibuat, PATI tersebut diserahkan kepada Jabatan Imigresen.Sekiranya perlu PATI akan melaksanakan ujian saringan Covid-19 dengan Kementerian Kesihatan.

Di sinilah contoh koordinasi yang dapat dilihat antara agensi terlibat menerusi Op Benteng dan kerana itulah adanya kewajaran ia dikekalkan walaupun wabak Covid-19 tiada.

Dalam pada itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, kewujudan NTF penting selepas pasukan itu berjaya mewujudkan koordinasi dalam setiap operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi keselamatan.

“Sepertimana kita tahu NTF ditubuhkan secara adhoc ketika berlaku penularan Covid-19 terutama dalam kalangan PATI.

“Namun, buat masa ini ia masih dalam rancangan sekiranya NTF hendak ditukar kepada struktur organisasi lain. Mungkin struktur NTF diubah suai tapi secara asasnya konsep apa yang kita buat ini akan dikekalkan,” katanya baru-baru ini.

Terdahulu, Affendi melakukan lawatan ke Kapal Diraja (KD) Lekiu sempena Operasi Benteng Khas siri 1/21 di Sektor Lima pesisir pantai Selangor.

Operasi Benteng Khas (OBK) dilaksanakan mulai 19 Disember lalu dan berakhir pada hari ini iaitu 23 Disember 2021 dengan penglibatan 18 agensi di bawah NTF iaitu dari ATM, PDRM, Maritim Malaysia, JIM, Jabatan Kastam Diraja (JKDM) dan lain-lain agensi yang melaksanakan rondaan serta memperagakan kehadiran serta menguatkuasakan undang-undang di kawasan perairan dan pesisir pantai Negeri Selangor.

Antara objektif operasi ini adalah untuk menilai keupayaan dan kecekapan serta kesiagaan aset komponen daratan, maritim dan udara, disamping mempraktikkan perintah, kawalan dan komunikasi dalam struktur Op Benteng sedia.

Disamping itu, ia turut meningkatkan situational awareness dan land and maritime domain awareness antara agensi-agensi yang terlibat dalam menjalankan operasi bersepadu untuk mengekang kemasukan PATI.

Operasi Benteng Khas juga merupakan usaha NTF dalam mengemaskini serta menambah baik Prosedur Tetap Operasi (PTO) setiap komponen berdasarkan penilaian terhadap sebarang tindakan yang dilaksanakan di lapangan
NTF telah menggariskan enam paksi utama ancaman dalam Operasi Benteng atau hot spot dimana aktiviti pencerobohan berlaku iaitu perairan utara Selat Melak; perairan Selangor; perairan Johor Tenggara; sempadan (darat) Malaysia-Thailand (Kelantan,Perlis dan Kedah); sempadan daratan Sarawak dan Kalimantan serta persisiran Pantai Timur Sabah.

Berdasarkan faktor ancaman, Selangor merupakan salah satu dari enam paksi ancaman utama merangkumi aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan yang aktif di Pantai Barat Semenanjung ini.

Kedudukan geografi Negeri Selangor di sebelah Barat, yang terbuka serta hampir dengan perairan sempadan negara jiran, menjadi faktor ia terdedah kepada laluan masuk secara haram dan perairan Selangor ini juga merupakan kawasan strategik yang berada di Selat Melaka serta menjadi laluan perdagangan kepada industri perkapalan. Pembukaan semula sektor ekonomi di Malaysia menjadikan sebagai faktor penarik kemasukan PATI ke negara ini.

Panglima TUDM terbangkan Sukhoi
MEMEGANG tampuk pemerintahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merupakan tanggungjawab berat dalam usaha memastikan misi menjadi kuasa udara yang unggul terus tercapai.

Justeru Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad buat pertama kalinya telah menerbangkan sendiri pesawat pejuang Sukhoi 30 MKM (Su-30MKM) dan merupakan penerbangan sulung sejak menjawat jawatan tersebut.

TUDM dalam satu kenyataan berkata, penerbangan itu bertujuan menguji kesiagaan pesawat pejuang buatan Rusia tersebut.

“Ia selari dengan Teras Keempat Perintah Ulung Panglima Tentera Udara ke-19 iaitu ‘Memperkasakan Keupayaan Operasi TUDM’ bagi menentukan sistem dan sumber manusia yang sentiasa bersedia seperti keperluan readiness condition yang ditetapkan,” katanya kenyataan itu lagi.

Ackbal atau nama panggilan ‘Krueger’ sebelum ini merupakan seorang juruterbang penguji pesawat dengan beberapa rekod beliau bermula pada tahun 1992 selepas dipilih Panel Pemilihan Khas TUDM untuk mengikuti Kursus Juruterbang Penguji Pesawat di International Test Pilot School (ITPS), Boscombe Down, United Kingdom (UK).

Antara pesawat beliau terbangkan termasuklah jet pejuang Jaguar; Aero-Vodocody L-39 Albatross milik Republik Czech; Hawk T-MK 1; Lear Jet-Variable stability test platform; BAE 146, SAAB 2000; King Air, Air Gliders; pesawat Aerobatic Extra 300; simulator pesawat Boeing 737-300, simulator Airbus A320; simulator Hawk 200; simulator Jaguar dan simulator Eurofighter.

Sebagai juruterbang penguji pesawat, beliau turut berpeluang menerbangkan Hawk, Aermacchi, F-5E/F, Beechcraft King Air B200T dan MiG-29N/UB.
Kini selepas beberapa tahun, Ackbal sekali lagi mencipta sejarah apabila telah menerbangkan pesawat Su-30MKM (M52-16) dengan disertai Pegawai Memerintah No. 12 Skn iaitu Lt.Kol Norazan Othman.

Penerbangan ini turut disertai oleh dua juruterbang penguji yang turut menerbangkan pesawat jenis yang sama. Tiga lagi pesawat Su-30MKM yang turut mengiringi dan menjalani latihan diterbangkan Mejar Fairul Mohd Rustham , Mejar Mohd Jamil Awang dan Mej Muhammad Osman Mohd Sidek.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×