PETALING JAYA: SKS Airways, syarikat penerbangan komersial terbaharu Malaysia melancarkan penerbangan sulungnya semalam dari Subang ke Pulau Pangkor.
Penerbangan pertama SKS Airways KI 6357 itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shaha pukul 1.15 petang semalam dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, DatuK Seri Dr. Wee Ka Siong.
Antara tetamu yang menaiki penerbangan sulung itu termasuk Penagrah SKA Airways Sdn. Bhd., Datuk Rohman Ahmad, tetamu industri penerbangan dan pelancongan.
Rohman dalam ucapannya berkata, penerbangan sulung itu amat bermakna buat syarikat kerana ia menandakan permulaan SKS Airways sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial yang menawrkan perkhidmatan penumpang, kargo dan charter.
“Menerusi hab kami yang terletak di Subang dan Senai, kami merancang untuk menghubungkan Malaysia ke destinasi di ASEAN dan selatan China.
“Sebagai sebuah syarikat penerbangan baharu, kami aktif, tangkas dan fleksibel, serta berkemampuan memanfaatkan sebarang peluang yang wujud.
“Kami mengambil kesempatan untuk memenuhi permintaan perjalanan terpendam (pent-up travel demand) untuk perjalanan domestic dan bersiap sedia untuk perjalanan antarabangsa apabila dibuka semula,” katanya dalam kenyataan.
Menurut SKS Airways, syarikat menawarkan akses mudah ke lawatan pulau-pulau (Island Hopping) dengan penerbangan bermula antara Subang ke Pulau Pangkor mulai 26 Januari; Subang ke Pulau Redang mulai 31 Januari; ke Pulau Tioman dari Subang dan Johor Bahru pada suku kedua 2022.
“Dengan pembukaan ketiga-tiga laluan ini, terdapat 12 penerbangan berjadual setiap hari dengan kapasiti harian penuh seramai 228 penumpang, SKS Airways menawarkan tambang tetap bermula dari RM160 sehala.
“SKS Airways menggunakan sistem Tambang 3 Peringkat yang boleh dipilih oleh pengembara bergantung pada destinasi dan masa tempahan. Ia adalah SKS PROMO, SKS LITE dan SKS PLUS,” jelasnya.
Jelasnya lagi, SKS Airways akan memulakan operasi dengan pesawat Twin Otter yang boleh membawa 19 penumpang. – UTUSAN









