Isu Azam Baki sudah selesai? - Utusan Malaysia

Isu Azam Baki sudah selesai?

DEMONSTRASI aman yang berlaku pada Sabtu lalu menunjukkan ramai netizen masih belum puas hati berhubung isu melibatkan Azam Baki. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABTU lalu, saya ditanya oleh sahabat, apakah isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sudah selesai? Saya jawab ringkas, “Ya. Itulah kata Perdana Menteri kita baru-baru ini.”

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, semua pihak perlu menerima keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang mengatakan tidak ada kes mengenai Azam.

“Hari ini SC sudah mengeluarkan kenyataan mengatakan tidak ada kes terhadapnya (Azam), jadi kita terimalah keputusan SC. Jangan kita minta dia disiasat, apabila dia disiasat, keputusan dibuat kita masih tidak berpuas hati. Jadi, kalau ada apa-apa nak tanya mengenai keputusan SC, pergi tanya SC,” katanya kepada pemberita.

Dalam keputusannya, SC menyatakan tiada pelanggaran syarat di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 berhubung akaun dagangan Azam dibuat berdasarkan bukti bebas yang dikumpulkan.

Menurut SC, bukti menunjukkan Azam ialah pemegang akaun yang dinamakan dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan itu. SC juga mengesahkan Azam memiliki kawalan penuh ke atas akaun berkenaan dan tiada bukti jelas menunjukkan berlaku dagangan secara proksi.

Keputusan SC menimbulkan kesangsian (skepticism) netizen. Ada yang hairan kerana keputusan terbaru suruhanjaya ini bercanggah (tidak selari) dengan penjelasan Azam sendiri yang menyatakan saham dipertikaikan itu adalah milik adiknya (Nasir), yang diperoleh menggunakan akaun Ketua Pesuruhjaya SPRM terbabit.

Terbaru, isu ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang bertanya apakah dapatan SC telah dirujuk kepada Peguam Negara?

Kata Ahli Parlimen itu lagi, sudah menjadi suatu kelaziman bagi sebuah agensi penguat kuasa yang menjalankan siasatan untuk merujuk dapatan mereka kepada Jabatan Peguam Negara. Langkah sedemikian menjadi amalan biasa walaupun siasatan awal mendapati tiada sebarang kesalahan dilakukan.

Tambah Ramkarpal lagi dalam kes Teoh Beng Hock, Jabatan Peguam Negara merujuk semula kertas siasatan kepada SPRM beberapa kali walaupun mendapati tiada bukti yang mencukupi daripada siasatan mereka.

TIDAK PUAS HATI

Walaupun SC mengumumkan keputusan siasatannya dan Perdana Menteri menggesa rakyat untuk sama-sama menerimanya, demonstrasi aman yang berlaku hujung minggu lalu menunjukkan ramai netizen masih belum puas hati.

Dalam laporannya mengenai demonstrasi jalanan itu, sebuah portal berita menyatakan seawal pukul 10 pagi beberapa wakil penganjur perhimpunan AJK Tangkap Azam Baki mula berkumpul di Stesen LRT Bangsar.

Sementara itu, pihak berkuasa mengadakan sekatan jalan untuk mengalihkan trafik daripada masuk ke Stesen LRT Bangsar, tetapi tren masih beroperasi seperti biasa.

Orang ramai yang ada di situ termasuklah pemerhati daripada Majlis Peguam dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu. Mulai 10.40 pagi, premis perniagaan dalam radius satu kilometer (km) dari Dataran Merdeka mula ditutup.

Mengikut laporan sebuah stesen televisyen, premilik premis perniagaan di situ diarahkan tutup atas perintah mahkamah. Sebelum itu, polis memperoleh perintah mahkamah melarang demonstrasi di Dataran Merdeka, di pusat beli-belah Sogo dan Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Pukul 11 pagi, kira-kira 100 peserta perhimpunan berpakaian hitam berkumpul di Stesen LRT Bangsar di tepi Menara UOA. Mereka kemudian dihampiri sekumpulan polis berpakaian ves kuning meminta maklumat peribadi penyelaras tetapi tidak menghalang perhimpunan berlangsung.

Salah seorang aktivis kemudian melaungkan slogan ‘Tangkap Tangkap Azam Baki.’ Selepas itu penunjuk perasaan mula memenuhi jalan utama di Jalan Bangsar.

Pada 11.45 pagi, kira-kira 150 penunjuk perasaan mula bergerak dari Jalan Bangsar ke Jalan Travers sejauh kira-kira satu km. Pada 12.05 tengah hari, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) membuat sekatan di hujung Jalan Travers bagi menghalang peserta daripada terus menuju Masjid Negara. Kira-kira 200 peserta pada masa itu berada dekat persimpangan menuju Brickfields. Penganjur setuju untuk tidak meneruskan perarakan.

Peserta sebaliknya diminta duduk sebagai tanda protes selama 15 minit. Penganjur merancang untuk berpatah balik ke Jalan Bangsar selepas sesi ‘duduk bantah’ selama 15 minit selesai.

Pada 12.20 tengah hari, peserta bangkit dari duduk dan setuju seperti diarahkan untuk berpatah balik ke Stesen LRT Bangsar. Mereka dimaklumkan oleh polis bahawa waktu bersurai adalah pada jam 12.15 tengah hari.

Pada 12.41 tengah hari, peserta bersurai setelah mengakhiri himpunan mereka dengan menyanyikan Negaraku. Tidak ada apa-apa insiden tidak diingini berlaku sepanjang protes jalanan itu.

AGENSI PENYIASAT TERBAIK

Dua minggu lalu, seorang wartawan bertanya, “Agensi siasatan manakah yang paling wajar menyiasat kes Azam, SC, SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Parlimen atau Suruhanjaya Diraja?”

Saya jawab setiap satu siasatan hendaklah dijalankan berasaskan kehendak akta tertentu. Semua entiti yang disebutkan oleh wartawan itu wujud (atau diletakkan) di bawah akta berlainan.

Oleh itu, dua prinsip berikut adalah amat penting – (i) yang dahulu mesti didahulukan dan (ii) siasatan yang bertindih atau siasatan berulang kali mengenai kesalahan sama hendaklah dielakkan.

Dalam isu Azam, kes ini di bawah bidang kuasa SC kerana akta yang dikatakan dilanggar oleh Azam adalah Akta 1991 yang disebutkan di atas tadi.

Oleh itu, wajarlah siasatan dijalankan oleh SC. Jika nanti ada laporan mengenai kesalahan di bawah akta lain, maka terserahlah kepada agensi berkaitan menjalankan tindakan sewajarnya.

DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×