BERKHIDMAT 12 kali sebagai tukang masak di tanah suci ketika musim haji sejak 2008 merupakan pengalaman paling bermakna buat Cef Wan Noor Zamran Hashim, 51.
Momen menjadi cef ketika musim sejuk dan hujan di Arafah pada 2009 dan 2010 antara pengalaman paling tidak boleh dilupakan apabila terpaksa bermandi hujan lebat ketika memasak.
“Pada 2009 hingga 2011 saya bertugas untuk memasak di Arafah. Ini pengalaman yang saya rasa paling mencabar walaupun seronok tetapi ia perlu dirancang dengan betul kerana ketika di Arafah semua menunaikan haji. Kami pula berihram dan masak di Arafah yang merupakan padang pasir.
“Sudah tentu bukan dapur biasa yang digunakan. Mereka dirikan ruang dapur berdinding dan beratap zink. Kalau musim panas, boleh bayangkan betapa panasnya zink itu. Memasak pula menggunakan kayu api sebab kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan gas kerana pernah berlaku insiden letupan. Jadi, masak di sana hanyalah menggunakan kayu api.
“Manakala pengalaman saya pada 2009 dan 2010 ketika musim sejuk di Arafah pula hujan dan atap zink berlubang. Jadi apabila hujan lebat kami bermandikan hujan sambil memasak. Di sana pula apabila hujan, elektrik memang tiada. Bayangkan kami memasak dengan bermandi hujan lebat dan masak dalam gelap hanya bertemankan lampu daripada telefon Nokia ketika itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujar Wan Noor Zamran, walaupun situasi dilalui itu mencabar namun ia merupakan pengalaman berharga kerana dapat memasak di Arafah untuk 800 orang sepanjang dua hari satu malam di sana.
Empat menu setiap hari yang akan dimasak di Arafah seperti nasi lemak untuk sarapan pagi, nasi beriani atau nasi minyak pada tengah hari manakala ayam masak kicap disediakan bagi makan malam.
REZEKI DARIPADA TABUNG HAJI
Bercerita mengenai detik pembabitannya sebagai tukang masak di Mekah sejak 2008, Wan Noor Zamran berkata, dia mendapat tawaran secara tidak sengaja selepas membuat demonstrasi produk rempah ratus oleh sebuah syarikat.
“Nak dijadikan cerita dan rezeki, asalnya saya mewakili satu syarikat untuk membuat demonstrasi produk rempah. Daripada situlah saya mengenali kakitangan Tabung Haji (TH) dan mereka tawarkan sekiranya saya ingin berkhidmat sebagai tukang masak di Tanah Suci ketika musim haji.
“Permulaannya pada 2008 itulah saya memasak di sana ketika musim haji bukan sebagai cef pastri tetapi sebagai tukang masak. Saya ditempatkan di bawah kumpulan Rombongan Haji (Kebajikan) TH. Bertugas sebagai tukang masak untuk petugas TH dari Malaysia, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia dan petugas sambilan semusim.
“Saya jangkakan mungkin sekali setahun sahaja dapat peluang ini tetapi Alhamdulillah ditawarkan untuk tahun-tahun berikut sehinggalah 2019, saya telah bertugas sebanyak 12 kali di Tanah Suci,” katanya dia juga yang telah menunaikan haji seawal 2004.
BERBEZA BUDAYA
Akui Wan Noor Zamran, adat bekerja di negara orang pastilah berdepan cabaran dan kesukaran dalam menyesuaikan budaya bekerja di sana.
“Perbezaan bahasa antara cabaran komunikasi yang perlu kami lalui. Walaupun ada pembantu orang Pattani dan Melayu yang dilahirkan di Mekah, boleh bertutur Arab namun mereka kurang fasih berbahasa Melayu. Urusan membeli barangan mentah pula jika tiada pembantu yang boleh berbahasa Arab, pasti akan timbul masalah.
“Cara mereka juga berbeza. Malah mentaliti mereka tidak sama dengan orang kita bekerja. Mereka sudah terbiasa dan terikut dengan budaya Arab. Budaya kerja kita sudah terbiasa dengan perancangan awal. Stail orang Arab pula, hari ini adalah untuk hari ini, esok bincang esok.
“Kita pula selalu ada mesyuarat tetapi bagi mereka apa itu mesyuarat. Mereka agak pelik apabila kami selalu bermesyuarat,” katanya.
Jelasnya untuk mengekalkan citarasa masakan seperti di Malaysia agak sukar kerana perlu bergantung dengan kesediaadaan bahan mentah.
MASAK UNTUK AGONG DAN PERDANA MENTERI
Wan Noor Zamran pernah mengetuai memasak untuk rombongan daripada Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ketika memegang takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Biasanya tetamu khas ini akan membuat lawatan ke ibu pejabat TH di Mekah. Jadi, masa itu kami akan bekerjasama dengan tukang masak yang lain untuk memasak makan tengah hari.
“Tidak dinafikan memang agak mencabar ketika itu sebab perlu masak untuk tetamu khas dan petugas dalam masa sama. Namun ini adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan kerana berpeluang memasak untuk individu paling penting di Malaysia. Kebiasaannya tetamu ini akan hadir sebelum bergerak ke Arafah,” katanya.
ANGGAP JEMPUTAN DARIPADA ALLAH SWT
Dia juga menganggap berkhidmat sebagai tukang masak di tanah suci sebagai jemputan daripada Allah SWT.
“TH ada hubungi saya pada Oktober tahun lalu sama ada berminat untuk berkhidmat lagi atau tidak untuk tahun ini.
“Sewaktu berhenti kerja di hotel pada 2000, saya sudah mula berniaga sambilan dengan menjual kek. Kisahnya bermula apabila kawan saya nak kahwin. Dia yang minta buatkan. Jadi, saya buat tapi masa tu masa majlis dia, saya dapat tempahan untuk rakan dia pula. Jadi daripada situlah mulanya saya membuat bisnes kek yang dijual bermula RM200.










