- Utusan Malaysia

PEMAJU lebih gemar membina rumah yang berharga mahal walaupun menyedari ramai yang tidak mampu membelinya. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polisi kerajaan yang terlalu ‘memberi muka’ dan memenangkan pemaju, antara faktor mengakibatkan susah mengawal dan menurunkan harga hartanah di negara ini sekali gus menyukarkan rakyat memiliki rumah sendiri.

Pengasas komuniti Pejuang Hartanah yang juga penganalisis industri hartanah, Ahyat Ishak berkata, tindakan itu mengakibatkan pemaju ‘naik lemak’ dan sering merungut serta mengadu kepada kerajaan jika rumah tidak terjual.

Sedangkan, katanya, kesilapan mereka ialah kerakusan membina terlalu banyak rumah berharga tinggi, namun hakikatnya hartanah sebegitu tidak mampu dibeli kebanyakan rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, apabila mendapat tekanan pihak pemaju, maka kerajaan terpaksa akur dengan tuntutan mereka, sehingga akhirnya mengakibatkan industri sentiasa terbelenggu dengan kitaran lambakan rumah tidak terjual.

“Saya sangat bersetuju. Seratus peratus setuju bahawa polisi kerajaan seolah-olah memenangkan pemaju. Cuba ba­yangkan, kita buka perniagaan jual baju kurung.

“Bila musim hari raya, kita sangka permintaan tinggi, jadi kita hasilkan terlalu banyak baju kurung dan jual pula harga mahal. Tapi rupanya, tak laku. Kemudian kita buat satu persatuan, kita merungut kepada kerajaan. Kamu kena tolong kami, ada lambakan baju kurung tak boleh terjual.

“Kemudian, kerajaan pun tolong, kerajaan beri insentif kepada penjual baju kurung, tak perlu bayar cukai, beri rebat kadar sewa dan sebagainya. Apa perasaan rakyat? Mesti rasa marah, bukan?

“Kamu dah buat baju banyak-banyak dan rakyat tak mahu dan tak mampu beli, lepas itu kamu menangis minta bantuan kerajaan.

“Kemudian, cuba gantikan baju kurung itu kepada hartanah. Pemaju ini adalah entiti komersial. Apa tanggungjawab kamu? Untuk mencipta keuntungan kepada pelabur. Jika kamu jual sesuatu yang tak boleh dijual, yang rakyat tak boleh beli, bukankah itu satu yang tidak bijak? Jadi kenapa kamu jual sesuatu yang harganya terlalu tinggi,” katanya kepada Mingguan Malaysia kelmarin.

Ahyat berkata, antara modus operandi pemaju menetapkan harga rumah, termasuk membuat beberapa gimik pemasaran bagi mengaburi mata pe­langgan.

“Ada satu ketika, kamu tahu macam mana cara pemaju ini tetapkan harga rumah? Kawan kita pemaju di projek sebelah, mereka jual rumah dengan harga RM500,000.

“Jadi, kita akan naikkan harga rumah kita kepada RM550,000. Kita buat gimik pemasaran sikit, buat risalah (brochure) cantik-cantik, kita bubuh hanging garden, bubuh arca dari luar negara, kita tambah lah RM50,000. Inilah kaedah mereka,” katanya.

Ahyat berkata, terdapat juga lambakan rumah akibat kesilapan pemaju yang menggunakan kaedah pemasaran bahasa Inggeris, sedangkan rumah dibina di kawasan yang me­nyasarkan pembeli Melayu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×