Rosol yakin diterima rakyat walaupun lompat parti - Utusan Malaysia

Rosol yakin diterima rakyat walaupun lompat parti

ROSOL WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yakin yang beliau masih diterima rakyat meskipun lompat parti sebelum ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, trend masyarakat kini tidak melihat kepada soal kepartian untuk mengundi, sebaliknya mereka akan lebih cenderung untuk memilih individu yang boleh melaksanakan tugas demi rakyat.

“Setakat ini di kawasan yang saya turun, tidak ada isu yang mereka label saya sebagai lompat parti sebab mereka tahu saya boleh buat kerja, banyak program dan bantuan yang kita salurkan kepada mereka, apatah lagi penduduk di kawasan saya sendiri.

“Masyarakat sekarang ini khususnya orang muda sudah tidak peduli semua perkara itu kerana apa yang penting bagi mereka adalah mereka cenderung kepada orang yang boleh buat kerja,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelas Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kenyataan itu adalah berdasarkan penilaian yang dibuat daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di mana rata-rata masyarakat lebih tertarik kepada mereka yang benar-benar mampu melaksanakan tugas.

Jelasnya lagi, ia sekali gus memberi kredit kepada parti Barisan Nasional (BN) ketika itu kerana meletakkan calon yang benar-benar layak untuk menjadi wakil rakyat.

“Maka sebab itu, tidak ada sebab kenapa masyarakat nak tolak saya sekarang, dan saya akan bertanding terus di Hulu Terengganu, namun bergantung kepada persetujuan parti.

“Nak beri Hulu Terengganu pada calon lain? Saya rasa tidak mungkin,” ujarnya.

Rosol memenangi Parlimen Hulu Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mewakili UMNO sebelum beliau melompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2019. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×