Salah satu tanda kiamat ialah bila masa bergerak sangat pantas - Utusan Malaysia

Salah satu tanda kiamat ialah bila masa bergerak sangat pantas

Kadang-kala kita tidak sedar dengan pertambahan usia kerana masa berlalu terlalu cepat. (Gambar kanan) Muhammad Fahmi Md. Ramzan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Antara tanda-tanda kiamat kecil (sughra) yang telah jelas terjadi adalah berlalunya waktu dengan begitu cepat sehinggakan tidak terasa pergantian tahun demi tahun yang begitu singkat.

Hakikatnya, hal ini telah diisyaratkan melalui hadith baginda Nabi SAW:

Hari Kiamat tidak akan terjadi sebelum zaman semakin berdekatan (pendek); setahun seperti sebulan, sebulan seperti se-Jumaat (seminggu), se-Jumaat (seminggu) seperti sehari, dan sehari seperti sesaat. Satu saat yang dimaksud ialah nyala api yang membakar ranting kering. (HR at-Tirmidzi)

Ibnu ajar al-‘Athqalani rahimahullah sewaktu mensyarahkan hadith tersebut menyatakan bahawa:

Sungguh, kita telah mendapati cepatnya hari-hari yang telah berlalu dan ini tidak kita jumpai pada masa sebelum zaman kita sekarang ini. Walaupun di masa itu tidak ada kehidupan yang terasa lazat. Dan yang benar bahawa maksud dari semua hal itu adalah dicabutnya keberkatan dari segala sesuatu hingga perihal masa sekalipun. Dan itu merupakan tanda dekatnya hari Kiamat.

Interpretasi maksud hadis yang dikemukakan oleh Ibnu Hajar disandarkan kepada pendapat dari Ibnu Abi Jamrah yang memberikan pengertian waktu berlalu begitu cepat dengan maksud waktu yang sangat sebentar kerana dihilangkan berkahnya waktu yang dikurniakan kepada manusia.

Fenomena (cepatnya waktu) ini sudah menjadi kenyataan di zaman kini bahkan telah dirasai sejak zaman hidupnya Ibnu Abi Jamrah (sekitar abad ke-7 H). Begitu juga sepertimana dikeluhkan oleh sebahagian ulama kontemporari yang merasakan bahawa mereka tidak mampu lagi melakukan sesuatu karya yang dahulunya mereka mampu persembahkan.

Dengan waktu yang kian singkat, sewajarnya bagi orang beriman agar bersegera mem­perbanyak amal kebaikan supaya tidak termasuk dalam golongan orang yang rugi dek “ditelan” waktu yang semakin cepat berlalu. Sepertimana diingatkan melalui firman Allah SWT:

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya tetap dalam kesabaran. (Surah al-‘Ar: 1-3)

Menurut Ibnu Kathīr dalam kitab tafsirnya, al-‘Ar bermaksud masa yang di dalamnya pelbagai aktiviti anak cucu Adam berlangsung, baik dalam kebaikan mahupun keburukan. Dengan demikian, Allah bersumpah dengan masa tersebut bahawa manusia itu dalam kerugian, iaitu kerugian dan kebinasaan.

Namun, Allah SWT memberikan pengecualian dari kerugian itu bagi orang-orang yang beriman dengan hati mereka dan mengerjakan amal soleh dengan anggota badan mereka serta bersabar atas segala macam cubaan yang menimpa.
Syeikh Abdurrahman bin Nasir as-Sa’di pula menafsirkan ayat di atas dengan menyatakan bahawa semua manusia berada dalam kerugian, kecuali mereka yang memiliki empat sifat:

Pertama: Beriman terhadap perkara diperintahkan Allah untuk diimani. Sedangkan iman tidak akan terwujud kecuali dengan ilmu. Hal tersebut kerana ilmu merupakan cabang keimanan. Iman tidak sempurna tanpa dilandasi dengan ilmu.

Kedua: Beramal soleh. Mencakupi seluruh amal kebaikan, yang zahir mahupun yang batin, yang berkaitan dengan hak-hak Allah mahupun hak-hak hamba, yang wajib mahupun sunnah.

Ketiga: Saling menasihati dalam kebenaran, iaitu iman dan amal soleh. Bermaksud, menasihati satu sama lain tentang iman dan amal soleh. Memberikan dorongan untuk melakukannya serta mencintai iman dan amal soleh tersebut.

Keempat: Saling menasihati agar tetap dalam kesabaran untuk mentaati perintah Allah, menjauhi apa yang dilarang, serta sabar dalam menerima ketentuan Allah yang tidak menyenangkan.

Dengan dua sifat yang pertama, maka manusia akan mampu menyempurnakan dirinya. Sedangkan dengan dua sifat lainnya, maka dia akan mampu menyempurnakan orang lain. Dengan memiliki keempat-empat sifat ini, maka seseorang akan selamat dari kerugian dan akan mendapat keuntungan yang besar.

Justeru, sudah semestinya bagi orang beriman agar dapat memanfaatkan anugerah waktu dan nikmat umur yang dikurniakan dengan sebaik mungkin, apatah lagi di fasa akhir zaman yang penuh dengan fitnah dan cubaan.

Memetik ungkapan penuh makna oleh Ibnu Qayyim al-Jawziyyah raimahullah di dalam kitab al-Jawabul Kafi, bermaksud:

Waktu manusia adalah umurnya yang sebenarnya. Waktu tersebut adalah waktu yang dimanfaatkan untuk mendapatkan kehidupan yang abadi dan penuh kenikmatan dan terbebas daripada kesempitan dan azab yang pedih. Ketahuilah bahawa berlalunya waktu lebih cepat daripada berjalannya awan (mendung). Barangsiapa yang waktunya hanya untuk ketaatan dan beribadah kepada Allah, maka itulah waktu dan umurnya yang sebenarnya. Selain itu tidak dinilai sebagai kehidupannya, namun hanya teranggap seperti kehidupan binatang ternak. Jika waktu hanya dihabiskan untuk hal-hal yang membuat lalai, untuk sekadar menghamburkan syahwat (hawa nafsu), berangan-angan yang batil, hanya dihabiskan dengan banyak tidur dan digunakan dalam kebatilan, maka sungguh kematian lebih layak bagi dirinya.

ARTIKEL ini disumbangkan Pengasas Pusat Pengajian Abu Faqih Centre, Muhammad Fahmi Md. Ramzan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×