Tengkujuh: Apa persediaan kita hadapi amukan alam? - Utusan Malaysia

Tengkujuh: Apa persediaan kita hadapi amukan alam?

Rajah dikeluarkan Ramalan Jabatan Meteorologi mengenai fenomena banjir sejak awal November lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kedudukan Malaysia yang dikelilingi laut memerlukan masyarakat sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi ancaman perubahan iklim dan ancaman bencana.

Masyarakat perlu sentiasa peka dengan permasalahan persekitaran dengan membina keupayaan kendiri, bermula dengan pengetahuan dan kesedaran yang boleh diperolehi di hujung jari.

Kerajaan menyediakan banyak maklumat melalui pelbagai sumber, antaranya portal laman sesawang MET Malaysia, JUPEM dan Pusat Hidografi Nasional TLDM.

Di Universiti Malaysia Terengganu, Institut Oseanografi dan Sekitaran turut berjaya membina sistem visual ramalan lautan dan telah mengeluarkan ramalan gelombang bahaya sehingga 20 Disember lalu.

Visual tersebut menunjukkan suapan secara langsung (live feed) bagi kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, dengan ketinggian ombak antara dua hingga empat meter, dan seterusnya memberi amaran ‘Membahayakan aktiviti perkapalan (perikanan & perkhidmatan feri) dan semua aktiviti pantai’.

Penggunaan sistem MFAST boleh dimanfaatkan oleh pengguna luar dan industri secara lebih aktif bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman bencana dari laut.

MUSIM TENGKUJUH
Setiap hujung tahun, hujan lebat dan banjir memang tidak asing lagi di negeri-negeri Pantai Timur dek musim tengkujuh.

Namun kebelakangan ini, gabungan antara hujan lebat berterusan, air pasang besar dan gelombang ribut telah menyebabkan hampir keseluruhan Klang mengalami banjir kilat.

Jika di Terengganu, apabila fenomena air pasang besar bertembung dengan hujan lebat terutamanya di musim tengkujuh, penduduk sentiasa berjaga-jaga dan bergegas mengalihkan kenderaan ke tepi jalan besar yang lazimnya dibina lebih tinggi.

Namun di Klang kali ini, ada jalan utama turut ditenggelami air menyebabkan penduduk tidak berkesempatan menyelamatkan kenderaan mereka apatah lagi harta benda dalam rumah yang dimasuki air.
Walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sejak awal November sudah mengeluarkan amaran fenomena ini, masih ramai yang tidak bersedia dengan ketibaan banjir kilat seperti di Klang baru-baru ini yang mengakibatkan banyak kerugian harta benda.

Maklumat di laman sesawang Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) turut menunjukkan air pasang tinggi, namun persoalannya berapa ramai ambil tahu tentang ancaman bencana ini.

Ini menunjukkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi bencana alam masih di tahap rendah.

Ketidaktentuan cuaca masih lagi dipandang remeh manakala maklumat sains tentang perubahan iklim seperti peningkatan aras laut, pemanasan global dan gelombang ribut dipandang sepi sehinggalah tibanya bencana.

Sebagai sebuah negara pesisir yang dikelilingi laut, hampir 70 peratus penduduk dalam negara tinggal di kawasan pesisir pantai dan sungai yang terdedah kepada ancaman perubahan iklim dan bencana dari laut.

Unjuran Institut Kajian Air Kebangsaaan Malaysia (NAHRIM) sejak 2010, menunjukkan fenomena peningkatan aras laut di pesisir pantai Malaysia sehingga berkemungkinan menenggelamkan beberapa kawasan merupakan bukan spekulasi semata-mata.

Langkah Mitigasi
Pada 28 Mac 2016, Dewan Rakyat telah dimaklumkan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar bahawa unjuran yang dibuat berdasarkan hasil kajian antarabangsa ini merupakan asas bagi kerajaan mengambil beberapa langkah mitigasi perlindungan kawasan pantai.

Antaranya langkah struktur dengan membina benteng hakisan dan tembok penahan ombak serta langkah tanpa struktur seperti tanaman semula bakau dan penambakan pasir pantai.

Memandangkan struktur perlindungan atas pantai mungkin kurang berkesan apabila berdepan dengan gelombang besar yang melanda pantai, struktur pemecah ombak luar pesisir (detached breakwater) patut turut dibina selari dengan pantai di luar pesisir.

Pemecah ombak yang sesuai di perairan cetek ini berupaya mengurangkan tindakan ombak. Apabila gelombang menghampiri pantai, ia mengurangkan tenaga ombak, seterusnya mewujudkan persekitaran yang tenang di bahagian menghadap daratan.

Langkah Adaptasi
Selain langkah mitigasi, masyrakat dan kerajaan perlu segera mengadaptasi dan bersiap siaga terhadap ancaman perubahan iklim bagi mengelakkan lebih banyak kerugian ke atas harta benda dan kehilangan nyawa.

Jika disorot kembali, masyarakat dulu dilihat lebih bersedia berdepan musim tengkujuh. Antaranya dengan membina rumah di atas tiang bagi mengelakkan ancaman banjir serta haiwan buas dan berbisa.

Malangnya hari ini, rumah moden dibina atas tanah tambak atau persisiran pantai dan yang nyata lebih terbuka dengan ancaman banjir.

Di dalam merancang sebarang pembangunan pada masa hadapan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemaju perlu menjauhi garis pantai bagi mengelakkan risiko kehilangan harta benda dan nyawa.

Penambakan pantai, kecuali untuk tujuan pemulihan pantai yang terhakis, patut dielakkan kerana ia boleh memberi impak kepada peredaran semula jadi air laut, selain pencemaran dan kebinasaan ekosistem marin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×