Saya tak selincah dulu – Zizi Kirana - Utusan Malaysia

Saya tak selincah dulu – Zizi Kirana

ZIZI Kirana disamping suami tercinta, Yusuf Bahrin. Kehidupannya bertukar 180 darjah sejak bergelar isteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak boleh menafikan lagi bakat yang ada kepada penyanyi bertubuh genit, Zizi Kirana ini yang cukup dikenali dengan kelincahannya beraksi di atas pentas dan muzik video.

Apabila lagu baharunya keluar, rata-rata peminatnya seolah sudah dapat baca dan tertunggu ‘kelincahan’ apa lagi yang akan ditayangkan penyanyi lagu popular Nakketaknak ini.

Sedia maklum, dia yang kini dilihat sudah berhijrah dan tampil dengan imej seorang muslimah, Zizi mengambil langkah untuk tidak menari ‘selincah’ seperti sebelum ini.

Terkenal dengan nyanyian berunsur rap dan nasihat, penyanyi ini berkata, projek selepas ini dia berhasrat untuk memperbanyak menghasilkan lagu berunsur nasihat buat para pendengar.

“Saya masih lagi dalam genre Hip Hop, cuma sebelum ini kita beria-ria menari tetapi kini tidak perlu rasanya saya nak menari lincah seperti dahulu.

“Saya perlu mengikut penampilan seorang wanita yang sepatutnya. Cuma saya tidak selincah dahulu.

“Dan selepas ini pun saya akan mengeluarkan lagu-lagu yang berunsurkan nasihat seperti lagu Eh,” tuturnya.

Selepas mendirikan rumah tangga, Zizi dilihat agak ‘kurang’ menyanyi dan beraksi menghiburkan peminatnya.

Bagaimanapun, dia bukan menghilang malah figura ini sedang sibuk menyiapkan buah tangan terbaharunya yang pasti buat para peminatnya ternanti-nanti.

“Untuk perkembangan sekarang, saya sedang menyiapkan sebuah single terbaharu. Setakat ini belum terima lagi soalan mengapa Zizi sudah tidak menyanyi.

“Tetapi, kebanyakan yang tanya bila saya ingin keluarkan lagu baharu, lagu genre ketuhanan,” ujarnya.

Siapa tidak kenal pasangan merpati dua sejoli ini, mula serius mengenali hati budi masing-masing dalam masa singkat dan mengambil keputusan meneruskan untuk membina masjid yang halal.

Kini, selepas mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Zizi Kirana mengakui kehidupannya bertukar 180 darjah daripada sebelum ini.

Mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati yang juga pelakon, Yusuf Bahrin pada 19 September tahun lalu, Zizi kini bagaikan sudah tidak kekok lagi dalam menguruskan hal rumah tangganya.

“Banyak yang berubah dari segi jadual kerana sebelum ini saya tinggal sendirian di rumah, boleh buat apa sahaja.

“Sekarang sudah ada teman di rumah, kita perlu menjaga semua keperluan suami dan mengatur hal rumah tangga,” katanya.

Bukan itu sahaja, penyanyi lagu Boleh Jalan ini juga berkongsi kini dirinya secara tidak langsung sudah boleh digelar sebagai pembantu peribadi (PA) kepada Yusuf.

Tidak hairanlah, jika yang selalu menjengah ke platform Instagram figura ini, pasti acap kali melihat dia asik ‘berkepit’ bak belangkas menemani suami tersayangnya di set pengambaran.
“Sebelum ini saya tidak pernah tahu serba serbi tugasan seorang PA. Kini saya sudahpun menjadi PA untuk si suami.

“Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja dan berjalan dengan lancar. Doakan kami,” kongsinya tersenyum.

Sebelum ini, perkahwinan ‘mengejut’ pasangan ini, telah meleraikan khabar angin yang bertiup kencang di media sosial mengenai soal perkahwinan mereka berdua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×