Hampir lebih empat dekad. Permata seni ini masih lagi bersama industri. Terus menghiburkan dan berbakti.
Itulah Datuk Jamaludin Elias atau Nash, 62. Seorang yang jiwa seninya cukup kental. Kecintaan terhadap industri juga masih menebal.
Saya ingin mengajak pembaca mengimbau sedikit kenangan, sewaktu era kegemilangan muzik rock kapak.
Nash pada zaman 80-an mengharum bersama Lefthanded. Satu demi satu kejayaan bersama kumpulan itu diraih.
Usai menyertai Juara Rock pada 1983, Lefthanded tidak lagi berpaling ke belakang. Enam album laris terjual. Kegilaan peminat terhadap kumpulan ini memang bukan kepalang.
Meskipun telah mengundurkan diri dari kumpulan itu pada 1990, Nash tetap dengan perjuangannya, bergerak solo.
Saya bertemu Nash baru-baru ini. Beliau ketika itu baru selesai berentap di pentas akhir Hijrahkan Laguku yang ditayangkan di TV Alhijrah, sekitar Sabtu, minggu lalu.
Meskipun keletihan usai pertandingan, bila diajak berborak, Nash tidak menolak. Bahkan dia sedia menjawab apa sahaja pertanyaan yang dilayangkan.
Saya minta beliau ceritakan, bagaimana perasaannya, ketika mengecapi populariti yang memuncak-muncak bersama Lefthanded satu ketika dahulu.
“Lupa daratan ketika itu memang ada. Leka dengan pujian orang. Tak dinafikan, semua orang mesti akan ada perasaan itu.
“Bila popular, kita akan rasa kita ini macam best sangat. Orang tumpu pada kita. Orang datang. Kadang kita akan terlepas pandang, tak hargai.
“Tetapi saya tak adalah sampai terpaksa berkurung, tak mahu keluar jumpa masyarakat. Dahulu sampai sekarang, saya bebas. Pergi kedai, nak ke mana-mana pun. Tak ada sekatan, tak perlu pun sorokkan diri. Kononnya saya ini sangat popular. Tidak. Dahulu sampai sekarang, itulah saya,” katanya.
Kata Nash lagi, sebagai orang lama, dia menyaksikan perubahan dalam indsutri yang amat ketara. Katanya, jalan yang dilalui penggiat seni dahulu lebih menduga, berbanding sekarang yang serba serbi mudah dan selesa.
“Bandingkan dulu dan sekarang. Dulu, kami nak tengok studio pun tak dapat.
“Tak diberi peluang pun. Tapi hari ini, orang boleh dirikan studio di rumah. Nyanyi, rekod dan terus jual. Di mana-mana sahaja. Cuma, antara berkualiti dengan tidak sahajalah.
“Kalau nak cerita pasal kepayahan, dahulu memang sukar. Saya kena buktikan kepada orang tua yang bahawasanya saya boleh berjaya,” katanya.
PESANAN ARWAH MAK
Bercerita lanjut, Nash mengakui untuk meraih kepercayaan orang tua bukan satu perkara mudah. Lebih-lebih lagi apabila dia dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan agama.
“Arwah mak saya memang tidak pernah bersetuju sampai dia meninggal dunia. Tetapi dia ada kumpul keratan-keratan akhbar pasal saya. Mungkin, ada juga sedikit perasaan bangga dengan saya.
“Tapi jujur saya kata, dia tidak pernah tengok saya menyanyi atas pentas depan-depan, tak pernah datang menyokong saya menyanyi di mana-mana sekalipun. Sampai akhir hayatnya. Mungkin dalam televisyen ada. Itu pun saya tak tahu, wallahualam. Sebab saya di ibu kota dan dia di kampung.
“Saya tak pernah ajak arwah mak tengok konsert, apatah lagi bawa dia ke dalam dunia hiburan saya, tak pernah. Sebab itu dia pesan, dia tidak mahu saya jadi orang yang tak beriman. Orang yang leka dengan hiburan. Oleh kerana itu, saya anggap mak saya sangat istimewa,” katanya lagi.
Bila disoal tentang perancangan masa depan, Nash berkata, dia tetap akan terus menyanyi.
Kata anak kelahiran Muar, Johor ini, selepas ini mungkin haluan seni itu sedikit berbeza meskipun akan terus menyanyikan lagu-lagu bergenre rock.
“Insya-Allah, saya dah susun perancangan dengan Man Kidal untuk menghasilkan lagu. Cuma kami nak tahu lirik yang macam mana, lagu tentang apa. Kalau nak dibandingkan dengan saya 40 tahun dahulu dengan sekarang yang sudah menjangkau usia 62 tahun ini, jangan harapkan saya boleh menyanyi seperti dahulu.
“Cuma apa yang saya nak katakan, kalau diberi peluang lagi, saya nak buat lagu baharu, berkonsep ketuhanan tetapi tidaklah lagu nasyid.
“Buatlah genre rock, atau style Mark Adam. Tengok Iwan pun boleh dangdutkan lagu ketuhanan,” katanya.
Pertemuan yang telah ditentukan
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Ini semua ketentuannya.”
Itu ayat yang terpacul dari mulut penyanyi legenda ini tatkala dilayangkan soalan tentang penghijrahan ke arah kebaikan.
Kata Nash, dia bersyukur kerana dipertemukan dengan orang soleh, yang banyak mengajaknya untuk lebih mendekati fitrah.
“Kalau nak cerita pasal pertemuan, Allah sudah tentukan sejak ratusan ribu tahun lalu. Sewaktu di Luh Mahfuz lagi. Contoh saya jumpa awak hari ini, sudah tertulis.
“Itu dah memang Allah tetapkan. Saya nak jumpa sesiapa, sultan ke, puteri, hatta pemimpin dunia sekali pun, itu sudah ditetapkan,” katanya.
Tambah Nash, sebagai manusia biasa, kita semua, walau sesesat mana pun, satu hari nanti akan sedar tentang tanggungjawab sebagai seorang yang beragama Islam.
“Kalau kita nak buat sesuatu pun, buatlah sebaik mungkin. Kita soal kembali kepada ketentuan dan apa yang diperintahkan kepada kita.
“Kita manusia biasa. Ada melakukan kesilapan, kezaliman diri bermacam-macam dalam dunia ini.Tapi sekurang-kurangnya Allah beri kita hidayah untuk memilih antara baik dan buruk. Tak kisah pada usia yang mana sekalipun.
“Kalau usia setua mana pun, setakat dengar lagu, tak meresap ke dalam jiwa, tidak mendatangkan manfaat juga. Tetapi kalau lagu, nyanyi dihasilkan meresap dan merasai roh lagu itu, penulis itu dalam jiwa mereka, Allah akan bagi hidayah,” ceritanya.
Nash akui, apabila bercakap tentang hijrah, dia tidak kekok. Katanya, sejak dahulu lagi, mesej-mesej ketuhanan itu sudah pun ada, lebih-lebih lagi dalam lagu-lagu yang dibawakan Lefthanded.
“Kalau awak semak balik, memang 90 peratus lirik yang dihasilkan Lefthanded adalah membawa kepada mesej-mesej kebaikan. Begitu juga lagu-lagu saya ketika bergerak solo, banyak yang ketuhanan.
“Cumanya dahulu muzik dibawakan adalah rock, keras. Penampilan pun tidak patuh syariah. Ketat dan sebagainya. Belum dapat hidayah lagi. Buat show pun dalam kelab malam. Kita leka. Mungkin daripada lagu-lagu itu, hari ini kita dapat hidayah. Itu contohnya.
“Tetapi Allah itu Maha Penyayang, Maha Adil, Maha Memberi, Maha Segala-galanya. Pada ketika inilah, orang yang dahulu dengan saya, mengikut usia, dapat nilai kesedaran. Lirik-lirik yang dihasilkan ini sangat mendalam maksudnya dan sangat memberikan faedah kepada pendengar dan orang yang menyanyikannya,” jelasnya.









