Asrama harian perlu diperluas - Utusan Malaysia

Asrama harian perlu diperluas

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kesatuan Guru Sabah (STU) mahu peranan asrama harian dikembalikan dan diperluas agar murid-murid di kawasan pedalaman tidak keciciran dalam pembelajaran.
Presidennya, Shahril Liwangsa berkata, kewujudan asrama harian memberi sumbangan besar kepada murid dalam kalangan B40 untuk lebih fokus dalam pelajaran tanpa perlu berulang-alik dari rumah ke sekolah setiap hari.
Sehingga kini, masih ramai dalam kalangan murid di Sabah dan Sarawak yang terpaksa berjalan kaki berjam-jam meredah hutan tebal, menyeberangi sungai dan jambatan gantung setiap hari untuk ke sekolah.
Situasi itu bukan hanya mendatangkan risiko keselamatan kepada pelajar malah, menyumbang kepada peratusan tinggi murid tidak hadir ke sekolah terutamanya pada musim hujan.
Pada masa sama, STU juga berharap kerajaan dapat memperluaskan Sekolah Model Khas Komprehensif (Sekolah K9) agar murid-murid dapat meneruskan pembelajaran dengan selesa.
“Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga harus memantau isu-isu yang berkaitan dengan kemudahan prasarana sekolah yang sudah uzur bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
“Usaha sebegini akan membolehkan ibu bapa rasa selamat apabila menghantar anak mereka ke sekolah dan ia juga dapat memenuhi hasrat kerajaan meningkatkan kemasukan murid dan merapatkan jurang sekolah di bandar dan luar bandar,” katanya.
Sebelum ini, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad menyarankan kerajaan mengembalikan fungsi dan peranan sekolah asrama harian agar murid-murid di kawasan pedalaman tidak tercicir daripada agenda pendidikan negara.
Katanya, fungsi dan peranan asrama harian pada hari ini sudah tidak lagi berlandaskan kepada tujuan asalnya iaitu untuk membantu murid miskin yang tinggal jauh di pedalaman dengan memberi mereka peluang belajar sepenuh masa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×