Jangan lupa hukum alam - Utusan Malaysia

Jangan lupa hukum alam

JIKA melanggar hukum alam meskipun untuk kesejahteraan manusia, ia tetap memberi tindak balas dan kita jugalah yang akan menerima kesannya semula. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANJIR ialah malapetaka dan juga musibah. Secara mudah, musibah boleh difahami sebagai sesuatu yang tidak manusia sukai dan boleh merosakkan rasa gembira serta ketenangan mereka. Ia mengakibatkan rasa sedih dan amat mencabar kesabaran. Musibah adalah sebahagian daripada ujian hidup oleh Allah SWT sementalah kesenangan dan kesejahteraan juga merupakan ujian.

Ayat 214 dalam surah al-Baqarah bermaksud: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk ke dalam syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya. ‘Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).”

Apabila musibah dalam skala besar berlaku, maka ia menimpa semua golongan manusia sama ada baik ataupun sebaliknya, beriman ataupun tidak beriman. Akhlak ketika menghadapi musibah atau ujian buruk itulah yang boleh membayangkan tentang penentuan darjat atau makam seseorang di sisi Allah SWT.

DOA

Bah besar seperti ini memang tidak mampu dielakkan oleh sesiapa.

Pilihan yang ada adalah dengan meredah dan menghadapinya. Walaupun demikian, manusia boleh mengubah persepsi yang lebih positif terhadap ujian yang sedang dihadapinya. Mereka yang tidak terjejas sudah tentu berasa amat simpati dan boleh sahaja menawarkan apa-apa sahaja bentuk bantuan dalam bentuk wang serta barang, tenaga, semangat dan juga doa.

Tidak dinafikan, ujian adalah lorongan Allah agar hamba-hamba-Nya melakukan muhasabah diri. Muhasabah yang membawa kita pulang ke pangkuan Ilahi secara hakiki.

Mungkin terdapat kecuaian-kecuaian tertentu yang sekiranya ia tidak berlaku, maka musibah tersebut masih boleh dikawal atau kehilangan dan kerugian tidaklah terlalu besar.

Barangkali kita terlupa, alam ini ada hukum-hukum tertentu yang jika kita melanggarnya sekalipun untuk tujuan kesejahteraan manusia, ia tetap akan memberi tindak balas selari dengan pelanggaran tersebut dan kita jugalah yang akan menerima kesannya semula.

Sesungguhnya kita ini milik Allah dan kepada Allah kita sama-sama kembali. Marilah kita sama-sama mengaminkan doa ini: “Ya Allah, berilah pahala atas musibah yang berlaku ini, dan berilah ganti yang lebih baik daripada musibah ini.”

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan di Pusat Kajian Syariah, Undang-undang & Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×