60% aset maritim uzur, banyak `rehat' di jeti - Utusan Malaysia

60% aset maritim uzur, banyak `rehat’ di jeti

60 peratus aset Maritim Malaysia uzur kerana kebanyakannya berusia 25 hingga 40 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir 60 peratus aset dimiliki Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) usang sehingga mengganggu keberkesanan operasi pasukan tersebut dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Malah, keadaan aset-aset lama yang terhad itu turut memerlukan kos penyelenggaraan tinggi kerana faktor usia yang kebanyakannya melebihi 25 hingga 40 tahun.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, Maritim Malaysia memerlukan kapal besar yang sesuai untuk bertahan lama di laut sehingga 28 hari bagi melaksanakan tugas rondaan persempadanan perairan yang lebih efektif.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Mohd. Zubil Mat Som

Menurut beliau, kapal-kapal besar dan baharu boleh menjimatkan masa tugas operasi tanpa perlu mengisi minyak untuk tempoh yang lama.

“Setakat ini, kita memiliki empat kapal besar pesisir pantai termasuk KM Langkawi namun ada antaranya telah usang, ada melebihi 40 tahun. Malah, boleh dikatakan hampir 60 peratus aset yang kita miliki berusia 25 hingga 40 tahun.

“Tiga lagi kapal bersaiz besar kita ialah KM Arau, KM Bangi dan KM Pekan. Kapal-kapal ini perlu berada di atas laut melebihi 120 batu nautika selama 14 hari hingga 21 hari.

“Jadi sudah tentu ia memerlukan kos penyelenggaraan tinggi malah ada alat ganti dibuat 25 tahun dulu, mungkin tiada di pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kata beliau, setakat ini Maritim Malaysia mempunyai 251 buah bot dan kapal, lapan pesawat udara dan 20 unit radar.

Jelasnya, beberapa jenis aset lagi dalam perolehan namun tidak mencapai Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040.

“Perancangan penambahan aset ini bukan untuk meningkatkan aset namun bagi melupuskan aset-aset lama yang usang ini. Penggantian perlu dilakukan kerana tempoh rehat aset-aset ini lebih lama daripada tempoh operasi di laut.

“Contohnya, kapal-kapal ini boleh beroperasi di laut kira-kira 200 hari namun disebabkan keadaan aset yang usang tempoh operasi dipendekkan hanya selama 70 hari.

“Banyak kapal-kapal ini berada di jeti daripada digunakan untuk operasi. Itu implikasi apabila kita cuba mengekalkan kapal-kapal lama ini,” ujar beliau.

Bagaimanapun, Mohd. Zubil memberitahu, keadaan aset-aset uzur yang dihadapi Maritim Malaysia bukanlah satu kekangan besar agensi tersebut dalam menjaga perairan serta membanteras jenayah-jenayah di laut.

Malah, menurut beliau, sebanyak 640 kes jenayah berjaya dilumpuhkan Maritim Malaysia melibatkan pelbagai kes penyeludupan dan satu kes rompakan bersenjata di laut sejak 2019 hingga tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, kita berjaya menangkap 2,034 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diseludup, 58 kes penyeludupan dadah, 38 kes ketum, 36 kes seludup rokok dan 218 kes penyeludupan pelbagai dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai lebih RM 310 juta.

“Malah, pelaksanaan operasi secara komprehensif dengan kerjasama pelbagai agensi berjaya mengurangkan kerugian hasil laut negara yang dirompak dari RM6 bilion ke RM4 bilion setahun,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×