PETALING JAYA: Ejen perisikan Israel, Mossad yang menembak mati pensyarah Palestin, Dr. Fadi Mohammed Al Batsh di Danau Kota, Kuala Lumpur pada 2018 dipercayai ditahan pihak keselamatan Gaza dan Bukit Aman sedang menunggu pengesahan berhubung berita tersebut.
Perkembangan itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman di Facebook beliau dengan memberitahu, berita penahanan tersebut mula tersebar sejak pagi semalam di Gaza.
“Berita tersebar pagi tadi (semalam) bahawa pengintip dan pembunuh Imam Fadi Al-Batsh di Kuala Lumpur pada 2018 berjaya ditangkap di Gaza oleh pihak keselamatan,” kata Muhammad Nadir semalam.
Menurut beliau, pembunuh tersebut masuk ke Gaza dan menghubungi pihak Israel untuk meminta duit.
Jelas beliau, perbualan suspek itu diintip pihak keselamatan Gaza sebelum dia ditangkap.
“Dia memaklumkan kepada pihak berkenaan telah membunuh Imam Fadi bersama lelaki lain di Kuala Lumpur ketika itu. Itu saja berita yang ada setakat ini,” kata Muhammad Nadir.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Muhammad Nadir menterjemahkan mesej yang diterimanya di dalam bahasa Arab mengenai penahanan ejen Mossad berkenaan.
Mesej itu berbunyi: “Pembunuh As-Syahid Fadi Al Batsh di tangan badan keselamatan di Gaza Dia (suspek) masuk ke Gaza dan memerlukan duit lalu menghubungi pegawai yang mengaturnya dan memberinya tanggungjawab untuk membunuh Fadi Al Batsh (Dr. Fadi) maka dia ditanya pegawai, kau berada di mana?
Dia menjawab aku di Gaza, lalu pegawai naik gila bagaimana dia masuk ke Gaza (sebab akan tertangkap), pengintip dikejutkan apabila alat pengintipan bahagian perisikan Gaza menangkap butir bicara mereka lalu terus pergi menangkapnya, dan dengan izin Allah dia mengaku melaksanakan operasi di Malaysia bersama orang kedua dengan arahan Mossad. Dan dialah yang melepaskan tembakan terakhir yang membunuh Fadi dan dia tinggal bersama isterinya di Malaysia, dengan izin Allah kini dia berada di tangan badan keselamatan di Gaza”.
Sekitar April 2018, dua suspek didakwa melakukan pembunuhan terhadap pensyarah warga Palestin, Dr. Fadi.
Pembunuh dipercayai menggunakan pasport palsu dari Serbia dan Montenegro untuk memasuki Malaysia.
Selepas melakukan jenayah yang dirancang rapi ke atas ahli akademik itu pada 21 April, mereka melarikan diri ke Thailand menggunakan laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand.
Pensyarah kejuruteraan elektrik berusia 35 tahun itu ditembak mati oleh dua lelaki berwajah ‘Asia Barat’ yang menunggang motosikal berkuasa tinggi ketika mangsa berjalan dari kondominiumnya di Setapak menuju masjid berhampiran untuk menunai solat Subuh.
Beliau dipercayai ditembak 10 kali oleh pembunuhnya.
Keluarga warga Palestin itu mendakwa pembunuhan itu dirancang agensi pengintipan/risikan Israel, Mossad, oleh kerana agensi itu diketahui pernah melakukan pembunuhan yang serupa ke atas Hamas dan pemimpin penentang Palestin sebelum ini.
Dr. Fadi adalah tokoh muda yang dihormati dalam kalangan diaspora Palestin di seluruh dunia tetapi tidak ramai orang Malaysia tahu mengenainya.
Berasal dari Jabaliya, Gaza dan merupakan pensyarah di UniKL serta pakar kejuruteraan elektrik dalam penghasilan roket.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum mendapat pengesahan berhubung penahanan pengintip dan pembunuh pensyarah Palestin, Dr. Fadi yang dikatakan telah ditahan.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.
“Belum dapat pengesahan dan tidak dapat memberi sebarang kenyataan mengenai perkara itu,” katanya ringkas.
Sementara itu, satu sumber menjelaskan, Muhammad Nadir perlu membuktikan kesahihan dakwaan beliau.
Kata sumber berkenaan, untuk mengekstradisi dan mendakwa seseorang pesalah, pihak berkuasa perlu mempunyai bukti-bukti fizikal dan forensik mengenai kejadian itu.
“Dalam kes ini, pembunuh itu tidak meninggalkan jejak yang substantif terutama identitinya,” jelasnya.
Sebelum ini, Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash turut memaklumkan pembunuhan Dr. Fadi dipercayai didalangi Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad.
Rentetan pembunuhan Fadi mendapat liputan meluas berita di Asia Barat dan menjadi kecoh apabila Khaled mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang oleh Mossad.
Malah, kebanyakan portal berita termasuk milik Israel seperti Haaretz.com, The Times Of Israel dan The Jerusalem Post turut menyiarkan kenyataan Khaled yang mendakwa dua lelaki berkenaan adalah ejen Mossad.
Dalam pada itu, sumber risikan percaya, penahanan itu tiada kaitan dengan kes pembunuhan Dr. Fadi kerana kejadian pada 2018 itu tidak mempunyai motif yang jelas selain pelakunya tidak meninggalkan sebarang jejak.
Malah kata sumber itu, kertas siasatan membabitkan kes itu telah pun lama lengkap seterusnya dikategorikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).- UTUSAN







