Rancang bukan setakat pilihan raya - Utusan Malaysia

Rancang bukan setakat pilihan raya

PADA Februari tahun lalu, wakil rakyat Texas, Amerika Syarikat, Senator Ted Cruz yang sedang bercuti di Cancun, Mexico terpaksa pulang selepas dicerca penduduk yang berdepan kesusahan akibat ribut salji. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AHLI politik terutama sekali yang bergelar wakil rakyat paling banyak mendapat kecaman dan cemuhan apabila bantuan lewat tiba untuk membantu mangsa banjir khususnya di Selangor. Tidak dinafikan jua, agensi kerajaan yang berkait turut menerima kritikan, tetapi hakikatnya sasaran utama kecaman adalah ditujukan kepada ahli politik yang berjawatan dalam pentadbiran kerajaan.

Senario sebegini memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengeluarkan arahan kepada ahli Kabinet yang sedang berada di luar negara pulang ke tanah air sementara yang sudah membuat persiapan menangguhkan buat sementara. Arahan sebegini memang dihargai oleh rakyat tetapi dari sudut lain, sepatutnya ahli Kabinet mengetahui tindakan yang perlu diambil.

Februari lalu, apabila Texas, Amerika Syarikat dilanda ribut salji dan ribuan penduduk kesejukan kerana tiada bekalan elektrik, wakil rakyat negeri itu, Senator Ted Cruz secara senyap-senyap bercuti ke Cancun, Mexico. Tidak sampai 24 jam, Cruz dipaksa kembali ke Texas. Paksaan untuk pulang ini timbul bukan kerana Gabenor Texas atau Presiden Biden mengeluarkan arahan, tetapi berasa malu dan aib apabila dicerca penduduk Texas.

Rakyat memahami ahli Kabinet yang berada di luar negara sebelum malapetaka banjir melanda sudah pasti akan berdepan kesukaran untuk pulang segera kerana kekangan penerbangan umpamanya. Tetapi amat menyedihkan apabila dihebohkan seorang wakil rakyat meneruskan perancangan ke luar negara ketika beberapa negeri sedang dilanda banjir. Alasan lawatan adalah agenda rasmi mempamerkan sifat keprihatinan yang amat rendah atau pun wakil rakyat tersebut percaya rakyat akan termakan dengan ungkapan melaksanakan tugas rasmi.

Sebab itu cerita bagaimana anggota penyelamat yang tidak dapat membantu keluarga sendiri apabila kediaman dinaiki air kerana sedang membantu mangsa banjir lain, rakyat begitu teruja dengan pengorbanan sebegini. Begitu jua apabila individu yang serba kekurangan sanggup meminjam kelengkapan hanya untuk membantu orang lain, maka fenomena ‘Abang Viva’ adalah sesuatu yang diperlukan untuk meredakan kemarahan terhadap ahli politik.

Bukan sahaja fenomena ‘Abang Viva’ tular pada ketika ini atau pun ungkapan ‘rakyat jaga rakyat’ tetapi nukilan karikatur oleh Datuk Mohammad Nor Mohd. Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat yang berkemungkinan dihasilkan pada 1977 menggambarkan bagaimana orang kenamaan (VIP) membantu mangsa banjir. Maksud tersirat nukilan Lat ialah VIP tersebut hanya berlakon di depan kamera.

Ada yang membuat tafsiran, sikap ahli politik yang cuba mewarnai persepsi mereka sentiasa membantu mangsa bencana tidak pernah berubah dari dahulu sehingga sekarang. Tetapi hakikat sebab utama mengapa sikap ahli politik ini tidak berubah adalah kerana kemungkinan tiada faktor desakan untuk memaksa golongan ini berubah.

Tidak dinafikan bila VIP turun ke bawah membantu seperti membersihkan lumpur di rumah mangsa, kita akan rasa teruja kerana persepsinya VIP sebegini sanggup merasai keperitan mangsa. Sanjungan dan pujian sudah pasti diberikan kepada VIP berkenaan.

SMART

Tetapi kita jarang menuntut selain daripada VIP turun ke padang, apakah tindakan jangka panjang yang perlu diambil demi mengelak perkara serupa berulang?

Mengambil kira nukilan Lat, beberapa tahun sebelum itu iaitu pada 1971, Kuala Lumpur dilanda musibah banjir akibat hujan lebat musim tengkujuh. Timbul persoalan, apakah pihak berkaitan tidak mengambil iktibar susulan banjir besar tersebut yang mengakibatkan 32 nyawa terkorban dan 180,000 mangsa terjejas?

Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) adalah salah satu strategi jangka panjang untuk mengurangkan risiko banjir akibat hujan lebat di sekitar Kuala Lumpur. Dasar seperti inilah yang perlu ditagih dan dituntut oleh rakyat terhadap ahli politik berjawatan terutama sekali kementerian dan agensi berkait rapat dengan bencana banjir.

Bila wujud tekanan seperti ini, maka menteri berkaitan umpamanya akan dipaksa mengemudi kementerian dan agensi di bawah tanggungjawabnya untuk menggubal dasar atau strategi jangka pendek dan panjang. Bila sibuk bergelumang dengan penggubalan strategi maka tidak timbul keperluan mendesak untuk ahli politik berkenaan sentiasa berada di tempat bencana hanya semata-mata mahu media menerbitkan berita mereka.

Apabila banjir besar melanda Jerman, Julai lalu yang mengakibatkan 184 nyawa terkorban, Canselor Angela Merkel ada membuat lawatan untuk mendalami lebih dekat kesan banjir di beberapa kawasan tetapi tidaklah sehingga tular gambar Merkel membersihkan lumpur dan sampah sarap kerana beliau sentiasa terdesak untuk menggubal dasar jangka panjang mengurangkan kesan perubahan iklim yang dikatakan salah satu penyebab hujan luar biasa lebatnya. Begitu jua apabila New York dilanda banjir kilat September lalu, Datuk Bandar Bill de Blasio dengan segera merangka dasar jangka panjang. umpamanya kaedah memberi amaran kepada warga kota dengan lebih efisien dan pantas.

Lazimnya bila ahli politik perlu membuat keputusan, mereka hanya memikiran kesan jangka pendek iaitu sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang. Maka sudah tiba masanya rakyat mendesak pemimpin kita mengubah modus operandi membuat keputusan ke arah jangka masa lebih panjang iaitu melampaui PRU terdekat kerana ini akan memaksa kepentingan negara diutamakan berbanding kepentingan peribadi.

PENULIS ialah penganalisis politik dan geostrategis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×