Banjir itu hujan air mata - Utusan Malaysia

Banjir itu hujan air mata

ANNUAR Musa (tengah) turun padang membantu mangsa banjir, baru-baru ini. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Begitu hebatnya pemerhatian nenek moyang kita. Dengan menjadikan pasir sebagai teras perlambangan, mereka mampu memberikan gambaran menyeluruh mengenai apa yang berlaku setiap kali banjir melanda. Yang membezakan kesan sesuatu banjir itu dengan yang lain hanyalah bentuk dan saiz perubahan menimpa pantai berpunca daripada bah tersebut.

Dan untuk banjir besar yang melanda beberapa negeri pada pertengahan Disember lalu, saiz dan bentuk perubahan itu amatlah ketara. Yang berubah bukan hanya pantai tetapi juga hampir apa yang ada di atas muka bumi di kawasan terlibat.

Saya pernah mengambil bahagian dalam kerja-kerja kesukarelawanan sehingga ke luar negara. Pengalaman itu memberi peluang kepada saya untuk melihat dari dekat pelbagai bentuk kepayahan dan kesengsaraan. Daripada sekian banyak pengalaman, membantu mangsa tsunami di Kuala Kedah pada 2004 antara paling meninggalkan bekas di hati saya.

Kesan kemusnahan ditinggalkan oleh kuasa dari laut itu amat dahsyat. Waktu itu saya sama sekali tidak menyangka suatu ketika nanti, 17 tahun kemudian akan menyaksikan kesan kemusnahan sama dahsyatnya. Bezanya kali ini ia bukan disebabkan oleh tsunami, tetapi banjir.

Saya ke banyak tempat di sekitar Selangor bagi melaksanakan misi bantuan yang digerakkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. Di mana-mana sahaja saya melihat kesan banjir besar itu hampir sama. Rumah tampak jelas kesan ditenggelami air, binaan roboh, timbunan peralatan rumah yang rosak, kenderaan pelbagai jenis yang rosak teruk dan tersadai dalam keadaan tunggang-langgang, longgokan sampah sarap, selut dan lumpur.

Di setiap pusat pemindahan sementara (PPS) yang ada hanyalah wajah-wajah duka yang matanya seakan kehilangan sinar. Banjir itu hujan air mata dalam kepayahan selut.

Dalam reda, ada hampa. Dalam tenang, ada bimbang. Yang hilang sedikit dengan yang hilang semua tetap berkongsi perasaan sama, iaitu kehilangan.

Saya belum lahir ketika banjir besar melanda Kuala Lumpur pada 1971. Tetapi kisah-kisah yang saya baca dan dengar mengenainya cukup untuk memberikan gambaran tentang betapa dahsyatnya banjir itu. Kata orang lama, itulah banjir terburuk pernah melanda Kuala Lumpur dan sekitarnya dalam tempoh 45 tahun kerana banjir besar terakhir di kota yang dibuka oleh Sultan Puasa itu adalah pada 1926.

Mereka yang pernah menyaksikan peristiwa di Kuala Lumpur kira-kira 51 tahun dahulu itu berkata, banjir besar yang terjadi di Lembah Klang pada Disember lepas adalah jauh lebih buruk. Serangannya mengejut dan mendadak. Hujan tanpa henti sejak lewat malam Jumaat 17 Disember membawa bersamanya sesuatu luar biasa – jumlah air yang dicurahkan.

PERTUNJUKAN FESYEN

Purata taburan hujan tinggi direkodkan di stesen Sentul ialah 363 milimeter (mm), Gombak 247 mm, Jinjang 258 mm dan Sungai Bunus 273 mm. Taburan hujan setahun di Kuala Lumpur ialah 2,400 mm dan ini bermakna taburan hujan pada malam itu melebihi jumlah untuk sebulan. Bayangkanlah.

Apa yang terjadi kemudian adalah kisah-kisah duka yang akan kekal tercatat dalam sejarah. Beratus kawasan terputus bekalan elektrik. Ada keluarga terperangkap di atas bumbung rumah. Di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, 100 penduduk terpaksa berlindung di atas bumbung surau lebih 12 jam. Ada rumah hanya tinggal tangga, ada kawasan terputus segala bentuk perhubungan. Hanya bahu yang menanggung dapat merasai perit dan pedihnya.

Saya ke Batu 20, Kampung Sungai Lui, di Hulu Langat bersama kira-kira 150 orang sukarelawan bagi menjayakan program Bantu Hingga Selesai (BAHIS) yang diilhamkan oleh Annuar. Misi membabitkan semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Misi program selama empat hari itu untuk membantu membersihkan kediaman penduduk terlibat sehingga selesai. Ini bermakna ia bukan sekadar kerja-kerja pembersihan secara sekerat jalan, sebaliknya menyeluruh sehingga penghuninya memasuki semula kediaman dalam keadaan sepatutnya.

Selain Kampung Sungai Lui, program BAHIS turut dijalankan di Taman Sri Muda, Shah Alam dan Bukit Changgang, Banting. Hanya mereka yang pernah melalui tahu bagaimana rasanya membersihkan rumah selepas banjir. Apatah lagi banjir besar yang bukan hanya membawa air, tetapi juga lumpur dan segala sampah sarap. Tetapi kerja sukar itu menjadi mudah apabila dilakukan secara bersama, dengan semangat Keluarga Malaysia sejati.

Di sebalik cerita-cerita indah tentang hebatnya semangat kekeluargaan warga Malaysia, ada juga kurang sedikit manisnya. Sebagai contoh, ada pembesar turun padang laksana orang turun ke lapangan golf atau pertunjukan fesyen. Ada pihak membantu secara pilih bulu, ada menghulurkan tangan dengan niat mencari sokongan, ada menjadikan banjir sebagai tunggangan untuk mencari makan, malah ada yang lagaknya macam pelancong banjir, datang sekadar menjenguk-jenguk sambil bergambar.

Mujurlah kisah-kisah yang kurang enak itu tidak begitu banyak. Sama jugalah dengan suara yang marah-marah, menuduh kerajaan lambat bertindak membantu mangsa semasa banjir baru bermula.

Tanpa menafikan adanya kelemahan dalam mengurus kendalikan bencana banjir kali ini, saya berpandangan kerajaan pada dasarnya berjaya meminimumkan impak disebabkan musibah tersebut.

Bantuan-bantuan yang disalurkan tanpa dihadang oleh karenah birokrasi, tawaran pinjaman, rebat 100 peratus bil elektrik, dan pelbagai inisiatif lain sudah tentulah dapat meringankan beban ditanggung oleh mangsa banjir.

Begitulah. Banjir besar 2021 meninggalkan banyak perkara untuk kita renungkan, sebahagian untuk dibanggakan, sebahagian untuk dipelajari dan sebahagian lagi untuk diperbaiki.

DATUK Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×