KANGAR: Kira-kira 1,000 nelayan terutama nelayan pesisir pantai di negeri ini merosot pendapatan sehingga RM1.4 juta sebulan atau RM70,000 sehari berikutan kekurangan hasil laut akibat pencerobohan nelayan luar yang menangkap siput secara tidak sah.
Dakwa nelayan terlibat, jika dahulu purata pendapatan mereka sekitar RM100 sehari namun kebelakangan ini mereka hanya mampu memperoleh sekitar RM30 dan pernah pulang dari laut dengan tangan kosong.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Perlis (Pelaris), Asri Jab, 48, berkata, rata-rata nelayan pesisir pantai di sini mengalami kemerosotan pendapatan lebih 50 peratus sejak aktiviti penangkapan siput semakin berleluasa.
Katanya, aktiviti tersebut sudah berlarutan sejak sekian lama dengan setahun dua kebelakangan ini dilihat semakin aktif apabila anggaran 40 bot atau sampan dari luar melakukan tangkapan siput berkenaan secara haram.
“Meskipun tindakan sering diambil pihak berkuasa, masalah tersebut tidak pernah selesai sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan di sini yang semakin tertekan sehingga ada yang terpaksa memberhentikan operasi.
“Pihak bertanggungjawab khususnya Jabatan Perikanan disaran membuat kajian bagaimana langkah menangkap siput tanpa merosakkan ekosistem ini atau menetapkan zon-zon tertentu menangkap siput,” katanya.
Seorang nelayan, Shaharim Senapi, 64, berkata, aktiviti menangkap siput itu selalunya dilakukan pada waktu air surut dan tidak mengira waktu sama ada malam atau awal pagi.
Ujarnya, sangkar yang digunakan bagi menarik siput dari dasar laut itu memberi kesan kepada ekosistem laut dan kesannya mula dirasai apabila hasil semakin berkurangan.
“Jika dahulu nelayan mampu membawa hasil yang banyak namun sekarang sampai ada yang pulang dengan tangan kosong. Antara hasil laut yang semakin berkurangan adalah seperti ikan kembung, senangin, tenggiri, tengkerong, gelama, kebasi, udang dan ketam.
“Dahulu selalu dapat 80 kilogram ke atas dan sekarang sekilogram pun susah sekali gus menyebabkan nelayan terkesan,” katanya yang sudah berpengalaman lebih 40 tahun sebagai nelayan.
Tambah Shaharim, nelayan luar khususnya dari Kedah termasuk Thailand yang menangkap siput di perairan negeri ini, lazimnya mendapat hasil antara 500 kilogram atau bertan-tan metrik sehari iaitu bergantung kepada saiz dan jenis bot digunakan.
“Jika sehari ada sekitar 40 bot menangkap siput tersebut sudah lebih 20 tan metrik hasil diperoleh dengan nilai boleh mencecah RM50,000 sehari atau RM1.5 juta sebulan,” katanya.
Seorang lagi nelayan, Azmi Yahya, 54, pula berkata, jika dahulu pendapatan bersihnya sekitar RM100 sehari, namun kini hanya antara RM20 sehingga RM30 termasuk pernah pulang dengan tangan kosong.
“Saya sering keluar menangkap ikan pada waktu malam dan selalu nampak kelibat bot atau sampan luar ini menangkap siput. Kesan penangkapan siput sudah mula dirasai apabila hasil laut sudah semakin berkurangan,” kata bapa kepada lima orang anak itu.
Seorang peraih ikan, Rozain Abd. Rashid, 53, berkata, keadaan itu juga menyebabkan hasil laut yang didaratkan di pelantar ikan berkurangan sekali gus menjejaskan peraih, peniaga termasuk pengguna yang terpaksa berdepan kenaikan harga ikan.
“Apabila tangkapan berkurangan, ia sekali gus meningkatkan harga hasil laut di pasaran akibat permintaan yang tinggi dan memberi kesan kepada pembeli terutamanya pengusaha restoran ikan bakar dan kedai makan,” katanya.
Tambahnya, dia berharap kerajaan dan agensi berkaitan melihat isu ini dengan lebih serius serta mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah tersebut yang memberi impak negatif kepada banyak pihak.
Seorang lagi peraih, Jafri Jaafar, 57, pula berkata, pada tahun 2020, dia pernah merekodkan pembelian hasil laut sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sehari.
Namun katanya, jumlah pembelian tersebut mencatatkan penurunan mendadak bermula Oktober lalu dan kini, purata pembelian harian hanya sekitar RM1,200. – UTUSAN ONLINE









