Sesi persekolahan perlu diteruskan - Utusan Malaysia

Sesi persekolahan perlu diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembukaan sesi persekolahan pada 9 dan 10 Januari ini wajar diteruskan walaupun tempoh penggal tiga 2021/2022 hanya berbaki tujuh minggu yang dijangka berakhir pada bulan depan.

Presiden Persatuan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, perkara itu amat penting bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan murid walaupun baki tempoh amat singkat, namun ia cukup bagi mengejar semula keciciran akibat pandemik Covid-19.

Menurut beliau, sekiranya sesi persekolahan ditamatkan lebih awal, ia boleh menjejaskan fokus pelajaryang bakal menduduki peperiksaan pada tahun ini seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita terlalu lama ketinggalan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran apabila murid terpaksa belajar dari rumah atau bukan bersemuka ekoran penutupan sekolah bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Sekiranya, kita tamatkan sesi persekolahan lebih awal, secara tidak langsung menjejaskan fokus pembelajaran dan boleh meningkatkan keciciran. Jadi adalah lebih diteruskan walaupun baki sesi adalah singkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menetapkan sesi penggal ketiga akan bermula pada 2 Januari 2022 bagi sekolah Kumpulan A dan 3 Januari 2022 bagi Kumpulan B, namun menangguhkannya selama seminggu berikutan banjir besar melanda beberapa negeri di seluruh negara.

Berikutan itu, sesi persekolahan bagi sekolah Kumpulan A akan bermula pada 9 Januari dan keesokannya bagi Kumpulan B berbaki tujuh minggu sebelum cuti penggal akhir pada 26 Februari manakala sesi baharu bermula 21 Mac.

Bagaimanapun, Mohd. Azizee berkata, perkara itu bergantung kepada situasi Covid-19 dan melihat risiko pembukaan sekolah secara bersemuka boleh meningkatkan penularan virus tersebut di samping kemunculan varian Omicron.

Sebaliknya kata beliau, Kementerian Pendidikan masih melaksanakan sistem penggiliran kehadiran murid apabila sekolah dibuka dan perkara itu boleh mengurangkan risiko jangkitan.

“Selain mengelak lebih banyak jangkitan, namun aspek pembelajaran juga penting kerana tidak mahu keciciran bertambah serius dan akhirnya memberi kesan kepada masa depan anak-anak kita kelak,” jelas beliau.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×