40 pembeli kecewa rumah dibeli terbengkalai - Utusan Malaysia

40 pembeli kecewa rumah dibeli terbengkalai

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff (tiga kiri) melihat projek perumahan di bawah skim PPPA1M yang terbengkalai di Taman Keranji Fasa 2, Guar Cempedak, Yan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Seramai 40 pembeli rumah menerusi skim Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPPA1M) di Taman Keranji Fasa 2, Guar Cempedak di sini, kecewa kerana projek itu dibiar terbengkalai apabila gagal disiapkan mengikut jadual.

Lebih mengecewakan, dakwa pembeli, mereka tidak menerima sebarang maklumat mengenai projek di bawah pemaju Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) itu sejak pembinaanya dihentikan setahun lalu.

Seorang pembeli, Mohd. Asri Abd. Wahab, 35, berkata, projek perumahan rumah berkembar setingkat itu mula dibina pada 2017 dan dijadualkan siap pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, rumah tersebut tidak dapat disiapkan mengikut tarikh yang ditetapkan.

“Pemaju projek perumahan itu sehingga kini gagal menjelaskan punca sebenar kelewatan rumah yang dibeli pada berharga RM241,530,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff, semalam.

Dalam pada itu, seorang kakitangan kerajaan, Alawiyah Abu Hassan, 33, merayu projek perumahan tersebut dapat diteruskan semula dan disiapkan secepat mungkin untuk diduduki pembeli.

Katanya, rumah yang dibelinya itu telah mula dibayar menerusi potongan gaji sebanyak RM1,200 sebulan sejak setahun lalu.

“Pada masa sama, saya juga terpaksa membayar sewa rumah yang diduduki sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Yusrizal meminta Jabatan Perumahan Negara mengambil tindakan tegas ke atas pemaju dan kontraktor yang gagal menyiapkan projek perumahan itu dalam tempoh ditetapkan.

Menurutnya, Jabatan Perumahan Negara perlu memastikan pemaju dan kontraktor terbabit dapat meneruskan semula projek perumahan itu kerana kebanyakan pembeli telah membuat bayaran menerusi potongan gaji. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×