Mangsa banjir tinggal dengan sampah - Utusan Malaysia

Mangsa banjir tinggal dengan sampah

TIMBUNAN sampah sarap yang belum diselenggarakan menimbulkan keadaan tidak selesa dalam kalangan penduduk di kawasan terjejas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Entah seminggu atau dua minggu, bila agaknya timbunan sampah akan diambil.”

Demikian keluhan penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini yang mulai bimbang apabila sampah yang dibersihkan daripada kediaman mereka akibat banjir ming­gu lalu masih belum di­bersihkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Situasi itu menyebabkan mereka terpaksa berhadapan dengan sampah yang mengeli­lingi rumah dan menghidu bau busuk serta suasana kurang menyenangkan akibat kelewatan pihak bertanggungjawab menguruskannya.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, penduduk di Jalan Budi, Sanusi Nordin, 54, berkata, sehingga semalam masih belum nampak lori yang membawa tong roll-on-roll-off (Roro bin) masuk ke laluan di sekitar rumahnya untuk mengangkut sampah yang bertimbun.

“Pada asalnya kami cuma diberitahu melalui kejiranan yang meminta sampah dikeluarkan dari rumah cuma diletakkan di laluan mudah dilalui supaya senang lori masuk ke sini dan mengangkut sampah.

“Tetapi sekarang sudah hari keenam, masih belum ada lagi lori yang datang ambil, sedangkan sampah sudah bertimbun di sepanjang jalan dekat kawasan ini, malah ada yang terpaksa buang di hadapan rumah sahaja kerana tempat lain sudah penuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan lorong-lorong jalan raya menjadi semakin sesak apabila terdapat kereta hanyut akibat banjir tidak dapat dikeluarkan dengan menggunakan lori penunda kerana terhalang dengan timbunan sampah.

Sementara itu, Yohana Kundol, 40, yang tinggal di Pangsapuri Kos Rendah pula memaklumkan kejiranan di sana diberitahu penduduk perlu menunggu selama satu hingga dua minggu lagi untuk lori pengangkut sampah datang memungut sampah.

“Ramai yang tak tahu hendak kumpulkan dekat mana sebab dekat mana-mana pun ada timbunan sampah habis sampah dilonggokkan dekat ruang parkir kerana sebelum ini diberitahu pada tiga hari lepas akan ada 500 anggota tentera akan bantu, tetapi tak ada pun datang, terbiarlah sampah dekat depan rumah.

“Sekarang masalah bau busuk, nyamuk, tikus, halang laluan dan takut binatang berbisa masuk rumah. Nanti datang penyakit lain seperti denggi dan cirit birit pula,” katanya bimbang.

Penduduk di kawasan sama, Ramli Hasbollah, 43, berkata, timbunan sampah pukal dibimbangi membaha­yakan penduduk kerana bukan sahaja mengundang haiwan perosak dan serangga berbahaya, tetapi turut mendatangkan kecederaan orang lain.

“Kita bimbang kerana ramai penduduk termasuk kanak-kanak terlanggar objek tajam berhampiran timbunan sampah. Sudahlah bantuan ketika banjir lambat, sekarang pembersihan sampah pun lambat.

“Sampai ada yang sewa tong roro dan bajak, habis sampai RM650 untuk kutip sampah dan buang dekat tempat lain. Jadi tolonglah, segerakan pungutan sampah, jangan biarkan terlalu lama nanti masalah lain pula datang,” gesanya.

Bagi seorang lagi penduduk, Hizkhir Mohd. Satari, 39, mustahil untuk semua rumah menyewa lori bagi membersihkan sampah pukal yang dibuang akibat banjir.

“Boleh dikatakan semua rumah dekat Seksyen 25 tenggelam dan rata-rata penduduk membuang hampir keseluruhan barang dalam rumah kerana tidak boleh digunakan lagi.

“Bayangkan semua rumah sewa lori, dengan kereta banjir yang tersadai, berapa minggu pula penduduk hendak berhadapan dengan kesesakan lori dalam kawasan perumahan semata-mata untuk angkut sampah,” soalnya.

Dalam tinjauan semalam, situasi di jalan dan lorong kawasan perumahan di Taman Sri Muda dipenuhi dengan timbunan sampah yang didakwa penduduk masih belum dibersihkan sejak Jumaat lalu.

Keadaan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk selain menyebabkan sampah bertaburan atas jalan akibat ditiup angin serta diselongkar anjing liar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×