Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menawarkan perkhidmatan menganalisis produk makanan dan pertanian dengan harga rendah, 40 peratus lebih murah berbanding makmal swasta lain.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, harga yang ditawarkan oleh MARDILab berpatutan malah lebih murah adalah sejajar sebagai agensi kerajaan untuk membantu usahawan baharu khususnya dalam menentukan kualiti makanan dan pertanian.
Katanya, perkhidmatan analisis di MARDILab mempunyai standard yang setaraf makmal swasta.

Pihaknya menawarkan khidmat, kepakaran dan analisis sama tetapi harga jauh lebih murah berbanding makmal-makmal swasta atau komersial lain.
“Usahawan yang ingin mendapatkan khidmat analisis produk berasaskan makanan dan pertanian boleh mendapatkannya di MARDILab pada harga 40 peratus lebih murah berbanding makmal analisis lain.
“Semua analisis di MARDI dikendalikan oleh ahli kimia berdaftar dengan Institut Kimia Malaysia (IKM). MARDI sendiri mempunyai jawatankuasa dalaman yang menetapkan dan menentukan harga-harga analisis, sampel, konsultasi dan sebagainya.
“Oleh itu, kami menggalakkan usahawan baharu untuk menggunakan khidmat analisis produk di sini dengan kos yang lebih murah,” katanya MARDILab mempunyai pengiktirafan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) untuk membuat analisis.
Kepakaran makmal itu juga terbukti apabila MARDI baru-baru ini menerima anugerah Laboratory Excellence Award oleh IKM.
Ia sekali gus meletakkan MARDILab Serdang, Selangor setaraf dengan makmal-makmal sektor korporat di Malaysia dari segi keupayaan perkhidmatan analisis seperti Petronas.
Menurut Mohamad Zabawi, sejak November, MARDILab telah mengendalikan lebih 17,000 analisis dan menyasarkan bilangan analisis antara 16,000 dan 20,000 setahun dalam tempoh tujuh hari hingga satu bulan.
MARDILab menyediakan 130 jenis analisis kimia dan mikrobiologi meliputi makanan dan pertanian bagi memastikan produk yang berada di pasaran adalah lengkap dari aspek jaminan kualiti dan keselamatan.
Selain usahawan baharu, kumpulan sasar MARDILab adalah agensi-agensi kerajaan, penyelidik (universiti atau institusi pendidikan) dan syarikat swasta serta usahawan yang ingin membuat analisis bahan-bahan makanan, tanah dan sebagainya.

ANALISIS SEPANTAS TUJUH HARI
Kepantasan dan jaminan analisis disiapkan seawal atau sesingkat seminggu dan tidak melebihi sebulan telah membezakan MARDILab dengan makmal-makmal lain.
“Mesin dan teknologi digunakan MARDI adalah standard yang terdapat di makmal swasta untuk membuat analisis. Bezanya, kepantasan kami di MARDI mengikut petunjuk prestasi utama (KPI) yang menetapkan sehingga 20,000 sampel atau analisis setahun.
“Paling cepat analisis dapat diselesai dan disiapkan adalah dalam tempoh tujuh hari, ia bergantung kepada sampel dan bilangan analisis yang diminta. Lebih banyak sampel dihantar, mereka akan mendapat manfaat diskaun,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mohamad Zabawi berkata, pihaknya akan menambah baik peralatan dan mesin yang ada supaya dapat menghasilkan analisis yang lebih pantas.
“Mesin dan alat-alat yang ditambah baik juga akan memberi peluang kepada MARDILab untuk membuat analisis dan elemen-elemen yang belum pernah dianalisis di sini. Ini akan meluaskan lagi pasaran kepada pelanggan dan usahawan mendapatkan perkhidmatan analisis di MARDI,” katanya.

MANFAAT MARDILab
MARDILab mengenakan caj minimum untuk kos analisis kepada usahawan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya terutama kepada mereka yang baharu menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
“Ramai usahawan makanan terutamanya yang datang ke MARDI bagi melihat atau memberi sampel-sampel untuk dianalisis di sini,” jelasnya.
MARDI RANGKUL DUA ANUGERAH
DUA anugerah yang dirangkul oleh MARDI iaitu Laboratory Excellence Award dan IKM Outstanding Young Chemist Award 2021 (Industri) mendorong kepercayaan dan keyakinan lebih ramai pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan analisis di MARDILab.
Dr. Mohamad Zabawi berkata, julung kali mendapat pengiktirafan di peringkat nasional membuktikan MARDI mempunyai makmal dan ahli kimia terbaik dalam menjalankan analisis.
“Apabila memenangi anugerah, sudah pasti kami mahu meningkatkan jumlah pelanggan. Kami akan meneruskan mempromosi perkhidmatan kepada syarikat dan usahawan-usahawan untuk menyakinkan mereka bahawa MARDI mempunyai kepakaran yang setaraf dan diiktiraf.
“Dalam masa sama, kami juga akan meningkatkan kualiti kerja dan kemahiran dalam kalangan ahli kimia,” katanya.
Pegawai Penyelidik Kanan MARDI, Dr. Khalisanni Khalid yang menerima Anugerah Ahli Kimia Muda Cemerlang 2021 (Industri) dinilai atas pencapaiannya yang merangkumi projek berinovatif, kaedah ujian baharu, sistem baharu atau lain-lain pencapaian yang berkaitan bidang kimia.

Beliau yang berkepakaran dalam bidang kimia fizikal organik, teknologi surfaktan dan nanoteknologi berkata, anugerah yang diterimanya membuktikan analisis dan perkhidmatan MARDI adalah setaraf, sama dan lebih baik berbanding di luar.
“Anugerah ini dapat membuktikan kepakaran-kepakaran kimia yang ada di MARDI sekarang setanding dengan yang ada di luar sana.
“Saya juga berharap ini adalah platform terbaik untuk MARDI lebih berkembang pada masa depan,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut terlibat dalam Sains Outlook Edisi Khas 2020 oleh Akademi Sains Malaysia, Fasilitator bagi Keutamaan Hala Tuju Sains dan Penyelidikan Negara 2021-2025 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), ahli kumpulan kerja teknikal bagi Dasar dan Strategi Nanoteknologi Kebangsaan (NNPS) 2021-2030 serta Dasar Bioteknologi Kebangsaan 2.0.
Antara hasil kajian dan produk oleh Khalisanni adalah penghasilan dan pengubahsuaian baja nano serta teknologi pemprosesan burger cendawan tiram kelabu.










