SENGAJA meminjam tajuk lagu Allahyarham Datuk Ahmad Jais (tajuk artikel ini) kerana dianggap amat sesuai untuk menghuraikan kabus resah dan sarat cabaran sepanjang 2021, sementara kehadiran 2022 diharap dapat mengembalikan sinar sejahtera melegakan semua. Semoga akan menjelma segala bentuk penyelesaian yang boleh mengubat jiwa dan menjadi penawar luka sebagaimana telah dialami bersama.
Bukan sedikit jika mahu dicatatkan kesemuanya. Namun, memadai untuk dipetik beberapa sudut tertentu termasuk politik, sosial dan ekonomi. Di celah-celah kemelut kehidupan penuh ujian, seringnya menghadiahkan pengalaman dan pengajaran untuk dijadikan pedoman.
Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu diterima dengan sebaiknya oleh seluruh rakyat. Konsep Keluarga Malaysia yang dibawanya mudah difahami dan dihayati.
Rakyat pelbagai latar belakang kaum, budaya dan agama menerima konsep itu dengan jelas, iaitu menjurus kepada kehidupan harmoni untuk sama-sama sekata serasa.
Aspirasi utama rakyat dalam aspek politik ialah demi kestabilan. Formula utama yang mereka temui untuk menjamin kestabilan politik pula ialah memberi kelebihan majoriti dua pertiga kepada mana-mana parti atau gabungan parti politik menerajui negeri atau negara.
Rakyat Melaka mendahului dengan menghantar isyarat yang diharapkan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November lalu. Diikuti PRN Sarawak, 18 Disember lalu.
Bertanyalah kepada sesiapa pun, isu yang memualkan rakyat adalah pertelagahan politik yang tidak berkesudahan. Karenahnya berlegar dalam kalangan para pemimpin politik. Terlalu banyak percaturan sehingga ketaranya merugikan masa dan tenaga. Ada-ada sahaja perkiraan yang sukar ditemui penyelesaian atau kata sepakat, baik di dalam parti yang sama mahu pun dalam kalangan parti-parti gabungan.
Pengajaran besar yang dilihat boleh merumuskan kepada jalinan kerjasama dan perpaduan ialah dengan mengelak daripada terlalu mengejar kepentingan peribadi dan kelompok tertentu. Perlu benar-benar ada keikhlasan untuk menterjemahkan slogan Demi Rakyat dan sebarang langkah diatur biarlah menampakkan kepada rakyat ada impak yang boleh menjamin kejayaan dan keberkesanan.
Isu sosial yang menyambung resah kepada seluruh rakyat sepanjang 2021 ialah penularan pandemik Covid-19. Kehidupan harian ternyata amat terganggu. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan. Semua pergerakan diiring peraturan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Kadar kumulatif jangkitan menuju ke angka tiga juta orang. Sementara jumlah kematian dicatatkan melebihi 31,000 orang.
Namun syukurlah, empat bulan di penghujung 2021, PKP dikendurkan. Ini berikutan lebih 98 peratus penduduk dewasa negara ini telah dilengkapi vaksinasi. Lebih 86 peratus populasi remaja (umur 12 hingga 17 tahun) pula turut diberi vaksinasi.
DOS PENGGALAK
Tindakan susulan ketika ini adalah untuk memberi suntikan dos penggalak bagi memastikan sistem imunisasi lebih berkesan. Paling penting, rakyat perlu bekerjasama mematuhi SOP dalam kehidupan harian.
Penularan wabak Covid-19 turut mencuit masalah berkurangnya sumber pendapatan ekoran ramai diberhentikan kerja. Kegiatan ekonomi terbantut. Sumber makanan berkurangan. Barangan makanan yang diimport menjadi terhad manakala pengeluaran tempatan teruk terjejas. Faktor penawaran dan permintaan yang tidak stabil itu turut mengakibatkan masalah kenaikan harga barangan.
Tempias penularan Covid-19 juga dikatakan mengganggu keharmonian hidup berkeluarga. Banyak berlaku perceraian dan keganasan rumah tangga. Juga kes-kes sumbang mahram dilaporkan berlaku, selain ramai mengalami kemurungan.
Kejutan besar dan mencemaskan di bulan terakhir 2021 ialah fenomena banjir. Antara negeri paling teruk mengalami bencana banjir adalah Selangor. Taburan hujan yang lazimnya mencurah turun selama sebulan di negeri itu, tiba-tiba turun dengan lebat hanya dalam tempoh satu hari. Lalu berlakulah apa yang disifatkan sebagai bencana banjir di luar jangkaan.
Pengajaran besar daripada bencana yang berlaku ialah ‘demikianlah tanda kekuasaan Allah.’ Hidup manusia sentiasa terikat dengan segala ketentuan-Nya. Apa yang penting ialah bersikap sabar dan tabah menerima segala ujian, selain menerima hakikat bahawa hidup perlu sentiasa beringat-ingat dan berwaspada.
Bencana bukan bermakna memberi peluang untuk bertelagah dan saling salah menyalahi antara satu sama lain, bukan untuk mengaut laba politik. Sebaliknya, bermuhasabah tentang tanggungjawab diri sendiri dianggap lebih bijak dan memanfaatkan.
Isu buli di institusi pengajian turut menyentuh emosi masyarakat di penghujung 2021. Syukurlah, isu ini mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya. Apa yang diharapkan, isu tradisional dan amat tidak disukai masyarakat ini tidak lagi berulang.
Mengenai ekonomi, kalau berulang kali kerajaan termasuk Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyebut ekonomi negara dijangka pulih seawal suku pertama 2022, secara dengan sendirinya menggambarkan sektor berkenaan mengalami penurunan pada 2021. Mereka tentu ada indikator tersendiri.
Dalam menelusuri kehidupan, semalam adalah kenangan dan pengajaran. Hari ini adalah kenyataan yang perlu diurus dengan sebaiknya. Esok pula adalah harapan agar tercapai apa yang diidamkan. Kepada Allah dipohon keberkatan.
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.










