UKM penuhi dua aspirasi negara - Utusan Malaysia

UKM penuhi dua aspirasi negara

Ramai siswazah yang sanggup terima gaji RM1,500 asalkan mereka mempunyai pekerjaan. -GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANGGILAN Universiti Watan pada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mulai 2021 bukan sahaja perlu dialu-alukan setelah penubuhannya pada 18 Mei 1970 tetapi juga harus diterima setelah dihemati peranannya selama lima dasawarsa lampau. Ini kerana UKM satu-satunya institusi pendidikan tinggi negara yang ditubuhkan khusus untuk membela bangsa dan negara.

Justeru, nama kebangsaan digunakan padanya untuk menandakan UKM mempunyai kaitan rapat dengan negara ini, antaranya mewakilinya selain ikut mencorak destininya. Sebagai universiti negara, UKM seperti juga institusi pendidikan tinggi awam lain dimiliki sepenuhnya oleh pemerintah dengan diberikan dana yang signifikan jumlahnya oleh kerajaan Pusat.

Oleh sebab UKM universiti negara, ia sebenarnya sangat berbeza dengan universiti awam lain di Malaysia. Ini kerana UKM dikaitkan secara khusus dengan dua aspirasi negara, iaitu kebudayaan kebangsaaan selain politik nasional.

Dengan ini, wajar sekali UKM dikenali sebagai Universiti Watan mulai sekarang, lebih-lebih lagi setelah membuktikan kejayaannya bukan sahaja dalam mencapai malah menyempurnakan dua aspirasi negara itu.

Untuk aspirasi budaya, UKM diamanahkan untuk ikut merealisasikan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971. Antara yang terpenting ialah bagi membentuk dan mengekalkan identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat. Sehubungan ini, DKK yang berlandaskan tiga prinsip, iaitu berteraskan budaya etnik Melayu sebagai penduduk dominan negara ini, unsur budaya lain yang sesuai wajar dimasukkan ke dalamnya dan Islam selaku agama negara memandu moraliti nasional turut gigih diperjuang UKM.

Bagi aspirasi politik pula, UKM dititipkan untuk turut mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional. Ini antaranya yang dilakukan menerusi Dasar Ekonomi Baru 1971, iaitu tindakan untuk merekayasa semula perancangan sosial negara bagi memupuk dan melestarikan keharmonian antara etnik dan wilayah dalam Persekutuan Malaysia, ikut tekun dijerihkan UKM.

Pendukungan kedua-dua aspirasi negara ini dilakukan UKM melalui falsafah, visi dan misinya. Falsafah UKM menekankan iman kepada Allah dalam mengembangkan ilmu yang harus terdiri daripada gabungan teori dan amalan.

Sehubungan cara menaakul begini, UKM bukan sahaja mahu menentukan proses pembentukan negara bangsa seimbang iaitu antara teori dan amalan dengan takwa, ia juga mahu memastikan penaakulan ini adalah wadah bestari negara untuk melahirkan warganegara yang bijaksana dalam membuat penilaian rasional. Ini diyakini akan berlaku dengan adanya pemahaman ilmu mengimbangi gabungan teori dan amalan selain pengalaman dilalui mahasiswa UKM yang sangat menitikberatkan aspek kerohanian, khususnya kepercayaan kepada Tuhan.

Visi atau gagasan UKM pula ialah untuk menjadi institusi terkehadapan melampaui masa dan perkembangan masyarakat pada sesuatu ketika itu.
Misi pula iaitu cara mencapai visi ialah dengan menggunakan bahasa dan warisan Melayu untuk memperoleh kejayaan sosial dan ekonomi.

SEMANGAT JATI

Dari segi falsafah, visi dan misi, tidak dapat disangkal UKM mempunyai semangat jati lagi kental untuk mengangkat unsur watan sebagai medan utamanya bagi merealisasikan pendirian teguhnya terhadap kewatanan ini.

Sesungguhya pendirian ini dapat dilihat dengan jelas sekali pada semua ciri yang ada pada UKM.

Pada sifatnya sebagai jiwa UKM, ia bukan sahaja sanggup bergantung, malah yakin untuk menggunakan hasil tempatan dan bikinan sendiri pula, iaitu bahasa dan budaya watan secara konsisten untuk mara dan berjaya. Dari segi sikap, UKM bukan sahaja mempamer tetapi bangga memiliki perwatakan dan keperibadian peribumi dalam bentuk bahasa dan budaya asal.

Apabila ditinjau dari sisi hasrat khususnya tentang tujuan penubuhannya, UKM mahu ke hadapan dan terus meningkat melalui bahasa dan budaya sendiri. Pada aspek emosi pula khususnya keghairahan selama kewujudannya baik pada kala riang mahupun nestapanya, UKM nekad berpaut pada bahasa dan budaya pertiwi bagi menceriakannya dalam menyusun strategi untuk terus berjaya atau bangkit semula.

Pada sisi kuasa, yakni kebolehan dan kekuatan UKM, ia cekal digerakkan bahasa dan budaya tanah air. Begitu juga dengan semangat UKM iaitu keberaniannya, ia gagah diberangsangkan bahasa dan budaya tanah tumpah darah.

Tekad UKM pula, iaitu kemahuan mencapai yang terbaik tetap betah didorong bahasa dan budaya Melayu. Walaupun bercitra watan yang begitu sakan, UKM bijak mengimbangi pembawaan ini dalam konteks penggunaan bahasa dan budaya bukan watan khususnya bahasa Inggeris yang kini berleluasa dalam pendidikan tinggi di seluruh dunia.

Sehubungan ini, semua kegiatan UKM dipastikan dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, bahasa Inggeris digunakan apabila amat diperlukan sahaja, khususnya untuk manfaat ribuan siswazah asingnya.

UKM sebagai bukan sahaja universiti kebangsaan tetapi lebih penting lagi selaku universiti watan, selalu memastikan agar tidak tersasar daripada matlamat kewujudannya untuk ikut mendaulatkan bangsa dan negara. Ini dipastikan pada setiap masa oleh kepimpinannya bagi kebanggaan negara khususnya dalam konteks identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat dalam membina peradaban bangsa dan negara dengan menggunakan bahasa dan budaya sendiri dan dengan penuh kemegahan dan keberanian pula.

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×