Sejak kebelakangan ini, kita kerap disajikan dengan kisah lelaki muda menikahi wanita yang lebih berusia. Trend sebegini bukan sahaja berlaku di luar negara, bahkan di negara kita juga terutamanya dalam kalangan selebriti.
Antara yang pernah menjadi bualan masyarakat tempatan termasuklah Linda Jasmine yang ketika itu berusia 46 tahun menikahi pasangannya Que Haidar, 39. Begitu juga artis sensasi negara Fazura, 35, dan Fattah Amin, 28.
Sementara pelakon Rosnah Mat Aris, 64, pula lebih tua 26 tahun berbanding pasangannya, Tajul Effendi Isa yang ketika itu berusia 38.
Perkembangan positif ini semakin diterima baik dan dilihat sebagai sesuatu yang biasa oleh masyarakat dunia. Ini di sebalik sejak kecil kita dibiasakan dengan istilah suami perlu lebih tua daripada isteri.
Namun hakikatnya, cinta itu buta, ia tidak kenal rupa paras, usia dan status seseorang. Baru-baru ini, penulis menemu ramah pasangan suami isteri yang berkongsi kisah pertemuan mereka yang sangat menarik dan boleh dijadikan panduan dalam mencari buah hati kelak.
“Segalanya bermula pada 2010 ketika saya berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa (IIC), Taman Batu Muda. Saya berpeluang mengajar suami saya yang ketika itu anak murid bagi subjek Pengajian Islam semester 1.
“Ketika itu, hubungan kami tidak lebih daripada seorang pendidik dan anak murid sahaja,” kata Muslihah Mohd. Zain, 36.
Muslihah ketika itu berusia 26 dan pasangannya, Muhammad Asif Asmuie Yusoff berumur 19 tahun.
Menurut Muslihah, beliau gembira apabila dipinang oleh Asif kerana sementelah berhasrat menamatkan zaman bujangnya pada tahun tersebut.
Cuma yang sedikit merisaukan Asif masih berstatus pelajar dan masih muda.
“Itu belum lagi memikirkan soal kewangan kerana Asif masih belum ada pendapatan tetap. Saya sekadar berdoa supaya Allah mempermudahkan segala urusan sekiranya dialah jodoh yang terbaik,” jelasnya mengimbau kenangan lalu.
Namun ia tidak semudah yang disangka. Pinangan Asif pada 2011 itu berhadapan pelbagai rintangan dan dugaan kerana pada awalnya, kedua-dua keluarga tidak bersetuju.
“Ada juga dalam kalangan masyarakat dari pihak saya yang mencemuh, mengata dan memboikot majlis perkahwinan kami.
“Walau bagaimanapun, masih ada yang sangat positif dengan memberi kata-kata semangat dan mendoakan kebahagiaan kami,” kata Muslihah yang berasal dari Gombak, Selangor.
Berkat kesabaran dan cinta sejati terutamanya melihatkan Asif yang begitu bersungguh-sungguh, akhirnya keluarga akur menyatukan kedua-duanya.
Asif dan Muslihah mengikat tali pertunangan pada 8 Mac 2012 dan sah bergelar suami isteri pada 26 Mei 2012.
Ketika itu, Asif lebih muda tujuh tahun berbanding Muslihah yang berumur 26 tahun.

Setelah sedekad bersama, pasangan ini hidup bahagia dengan dikurniakan tiga cahaya mata, Maisarah, 8, Muhammad Hud, 6 dan Adam, 4.
Kini, Asif sibuk menguruskan perniagaan katering cendolnya yang beroperasi di Medan Selera Greenwood di Gombak.
Sementara itu, Asif berkongsi rahsia apakah yang membuatkannya tertarik dengan Muslihah yang ketika itu pensyarahnya.
“Saya amat tertarik dengan penampilannya. Malah semakin hari semakin tertarik pula dengan keperibadiannya,” jelas Asif yang berasal dari Pulau Pinang.
Selain itu, kata Asif, sunnah Nabi SAW juga mengajar untuk memilih wanita yang mempunyai kefahaman agama sebagai perkara paling utama dalam memilih calon isteri.
Kebahagiaan yang dikecapi Muslihah dan suami membuktikan faktor suami lebih berusia semata-mata bukanlah jaminan kerukunan dalam melayari bahtera rumah tangga.
Menurut Muslihah, stigma masyarakat Melayu yang tidak biasa dengan perkahwinan wanita lebih berusia selalunya kerana berasakan wanita itu akan menjadi menguasai atau queen control dalam rumah tangga.
Katanya, dalam mana-mana perkahwinan pun, usia bukanlah faktor menentukan kebahagian rumah tangga.
“Pokoknya adalah niat. Jika niat baik untuk berkahwin maka ia tidak menjadi apa-apa masalah. Soal hati bukan sesuatu yang boleh dijangka.
“Jika seseorang itu ikhlas untuk bersama dengan orang yang dicintainya, sudah tentu mereka tidak akan berkira tentang usia, pekerjaan atau rupa paras,” tambahnya .










