PUTRAJAYA: Seramai 5.8 juta pengundi 18 tahun dan ke atas yang bakal didaftarkan secara automatik boleh mengundi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ia selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperaku dan mewartakan daftar pemilih berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, kira-kira 1.2 juta adalah pengundi 18 hingga 20 tahun manakala 4.6 juta adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas serta belum pernah berdaftar sebagai pemilih.
Menurut beliau, mulai tahun depan, pemerakuan dan pewartaan daftar pemilih tambahan akan dibuat setiap bulan berdasarkan undang-undang baharu yang telah berkuat kuasa mulai 15 Disember 2021 berbanding setiap suku tahun sebelum ini.
“Ini bermakna mereka yang layak akan didaftarkan secara automatik dan akan diperaku serta diwartakan sebagai pemilih pada setiap bulan.
“Selepas daftar tambahan diperaku dan diwartakan, maka mereka itu layak mengundi pada pilihan raya yang akan datang.” katanya.
Sebelum ini, SPR memaklumkan bahawa Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung dengan had kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan pada 1 Disember dan berkuat kuasa pada 15 Disember lalu.
Ia setelah mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bagaimanapun, kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik tidak dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang lepas walaupun kerajaan telah pun mewartakan arahan tersebut.
Ini kerana, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan, PRN itu hanya melibatkan daftar pemilih pilihan raya terkini yang dikemas kini sehingga 2 November lalu.
Beliau berkata, daftar pemilih pilihan raya tersebut diperakui sebelum pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak yang Ke-11 pada 3 November lalu, selaras dengan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
“Keputusan ini adalah berdasarkan proses undang-undang, termasuklah keputusan yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Kuching, dan bukannya untuk menafikan atau mengenepikan hak dan hasrat para belia yang berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi, ” katanya.
Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching telah memerintahkan SPR dan kerajaan untuk melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya pada 31 Disember tahun ini.- UTUSAN










