Minggu lalu, ketika kita sibuk dengan keputusan PIlihan Raya Negeri ( PRN) Sarawak, beberapa negeri di Semenanjung mula ditenggelami air. Menjelang malam Sabtu, pelbagai amaran dikeluarkan pihak berwajib memandangkan air di sungai-sungai utama sekitar Lembah Klang berada pada paras bahaya.
Di kala itu juga, sudah ramai terperangkap baik di lebuh raya mahupun kediaman masing-masing. Apa yang berlaku ibarat sebuah mimpi ngeri yang ramai dalam kalangan kita tidak pernah bayangkan.
Ada yang kehilangan ahli keluarga, rakan dan harta benda. Banyak kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air, tenggelam sekelip mata. Ada yang terpaksa bermalam dalam kenderaan masing-masing tanpa makanan dan minuman setelah terkandas di lebuh raya. Lebih malang lagi, banyak kenderaan ditenggelami air.
Ramai warga Lembah Klang tidak menjangkakan berlaku banjir besar seteruk ini begitu pantas. Kita tidak ambil endah amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi kerana tidak terfikir implikasi seburuk ini boleh berlaku.
Akibatnya, ada yang terpaksa berhujan semalaman di atas bumbung sementara menunggu bantuan tiba. Ramai terperangkap tanpa makanan, bekalan air dan elektrik sejak malam Sabtu sehingga ke malam Ahad.
BERBUKIT
Ini bukanlah kali pertama Lembah Klang dilanda banjir kilat. Namun, bencana kali ini merupakan yang terburuk sejak 20 tahun lalu. Kita sepatutnya sedar, banjir dalam skala ini tidak mustahil berlaku di Lembah Klang memandangkan bentuk topografi yang rendah dan dikelilingi banyak kawasan berbukit.
Tambahan pula terdapat beberapa sungai utama mengalir masuk dari pelbagai arah. Maka kita sepatutnya mempunyai pelan tindakan lebih komprehensif dan bersepadu bagi menangani masalah sebegini.
Namun, ada yang lebih cenderung menuding jari menyalahkan pihak lain demi laba politik daripada bertindak pantas mencari jalan penyelesaian. Yang menanggung akibatnya adalah rakyat.
Kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu bertindak lebih proaktif dalam melaksanakan tanggungjawab serta memperbaiki kelemahan masing-masing dalam menangani bencana luar jangkaan. Warga kota juga harus lebih peka dan faham tindakan yang patut diambil apabila berhadapan situasi sebegini.
Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, bayangkan kesengsaraan yang ditempuhi mangsa banjir yang sedang bergelut mencari rezeki setelah kehilangan pendapatan akibat Covid-19.
Semoga tragedi ini membuka mata semua agensi berwajib agar lebih bersiap siaga menghadapi dan menangani situasi banjir besar yang tidak diduga. Isu perubahan iklim termasuk pemanasan global telah membawa impak yang besar kepada keadaan cuaca setempat di seluruh dunia.
Jangan tunggu sampai nasi menjadi bubur.
PENULIS ialah pelajar program asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










