Bangunkan Ehtesab bantu rakyat Afghanistan - Utusan Malaysia

Bangunkan Ehtesab bantu rakyat Afghanistan

SARA WAHEDI tersenarai dalam 100 wanita berpengaruh dan memberikan inspirasi dari seluruh dunia tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SARA WAHEDI tersenarai dalam 100 wanita berpengaruh dan memberikan inspirasi dari seluruh dunia tahun ini. BBC membuat carta tersebut berdasarkan sumbangan besar, keberanian serta pencapaian mereka terhadap negara masing-masing.

Tahun ini, srikandi-srikandi dari Afghanistan menghuni separuh carta tersebut dan kisah mereka dihasilkan dalam bentuk dokumentari, rencana dan temu bual.

BANTU RAKYAT AFGHANISTAN
Sejak 2018, Sara Wahedi membangunkan perniagaan sendiri bagi membantu rakyat Afghanistan berasa selamat.

Aplikasi Ehtesab yang menghimpunkan pelbagai laporan mengenai insiden pengeboman, tembakan, sekatan jalan dan isu berkaitan perkhidmatan bandar memberikan amaran awal kepada penduduk di Kabul.

Aplikasi itu sangat membantu semasa Taliban mengambil alih pemerintahan di seluruh Afghanistan, 15 Ogos lalu. Dalam tempoh beberapa jam selepas pengambilalihan itu, Sara, 26, terpaksa menutup pejabatnya dan pasukannya bekerja secara jauh.

Walaupun berdepan risiko, Sara dan pasukannya mahu terus bekerja dan berkhidmat kepada rakyat negaranya sendiri. Syarikat itu bermula tanpa sebarang bantuan dari kumpulan antarabangsa besar yang menyokongnya.

Disebabkan itu, beliau bekerjasama dengan organisasi kemanusiaan yang boleh mengatur laluan dengan selamat.

EHTESAB SUMBER KESELAMATAN
Sara pernah melahirkan kebimbangan mengenai Ketua Pegawai Teknologi Ehtesab, Niloofar Karimi, seorang wanita yang tergolong dalam kumpulan minoriti Hazara.

Suku kaum Hazara berulang kali menjadi sasaran serangan maut, termasuk pengeboman yang pernah berlaku di sebuah sekolah di Kabul sehingga mengorbankan 90 nyawa, beberapa tahun lalu.

Niloofar berjaya meninggalkan Afghanistan selepas tinggal dalam persembunyian selama berminggu-minggu.

Pada 2018, Sara menyedari dirinya berada berhampiran insiden pengeboman berani mati dan berusaha mengenal pasti punca insiden tersebut.

“Saya berasa seperti adakah ini adalah jenaka? Bagaimana anda tidak tahu apa yang berlaku?” getus hatinya.

Ketika itulah muncul idea untuk membangunkan Ehtesab yang benar-benar memberikan kelegaan kepada dirinya. Sebelum Ehtesab wujud, tiada sumber maklumat keselamatan yang boleh dipercayai dan mudah diakses.

Hal ini kerana terlalu banyak kumpulan Facebook yang digunakan dengan sesiapa sahaja boleh memberikan butiran yang tidak disahkan dan halaman yang selalu bertukar menjadi maklumat yang salah.

“Maklumat salah itu menimbulkan kemarahan. Ia boleh menjadi sangat berbahaya kerana boleh memberitahu anda letupan berlaku di suatu tempat dan anda mungkin pergi ke tempat lain.

“Kemudian anda menyedari sebenarnya letupan itu berlaku di sini,” katanya.

Aplikasi Ehtesab kelihatan serupa seperti aplikasi Citizen di Amerika Syarikat (AS) yang memetakan 911 makluman dalam masa sebenar.

Selepas menerima laporan tentang sesuatu letupan, pasukan Wahedi mengesahkannya dengan memantau arah aliran tertentu dalam setiap saluran media sosial.

Jika mereka mendapati terdapat 10 atau lebih hantaran sama, mereka akan menghantar amaran.

Bagi insiden lain, kebiasaannya mereka akan mencari dua atau tiga sumber dalam media sosial seperti foto, video atau audio untuk mengesahkan kejadian tersebut.

Jika mereka tidak menemukannya, mereka akan menunggu organisasi berita yang mempunyai reputasi mengesahkan kejadian tersebut.

JARAK BUKAN PEMISAH
Sara berpindah ke AS sejak Ogos 2018 untuk menyambung pelajaran dalam bidang hak asasi manusia dan data sains di Universiti Columbia.

Walaupun terpisah jarak beribu batu, Sara tetap memberikan perhatian terhadap Ehtesab di Afghanistan.

“Kerja saya setiap hari selain belajar, hanya memikirkan letupan dan letupan,” katanya.

Walaupun Sara banyak membesar di Afghanistan dan Kanada, namun, beliau masih rasa bertanggungjawab kerana mempunyai kapasiti untuk melakukan sesuatu.

Ideanya malah diilhamkan oleh generasi Afghanistan selepas 2001.

“Mereka dibesarkan dalam peperangan dan belajar bertindak balas terhadap apa sahaja rintangan di depan mata dengan berdaya tahan,” katanya.

Dalam memastikan pekerjanya berada dalam keadaan selamat, Sara berusaha keras mengembangkan lagi akses aplikasi tersebut.

Syarikatnya sekarang mengumpulkan dana bagi menyediakan mesej peringatan bermula 2022.

Ehtesab akan dapat diakses menggunakan telefon paling biasa seperti jenama Nokia yang dapat diakses di kawasan luar bandar.

Tujuan Sara hanya satu, kerana mahu memastikan rakyat Afghanistan sentiasa berasa selamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×