Masak, kerja amal, cinta hati Soo Wincci - Utusan Malaysia

Masak, kerja amal, cinta hati Soo Wincci

Soo Wincci kini sedang mengikuti Ijazah Doktor Falsafah (PhD) keduanya dalam bidang Artistik Produksi di University of Polytechnic, Sepanyol.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memasak bukan sahaja menjadi terapi, tetapi membolehkan dirinya meneroka bakat memasak.

Walaupun sibuk menuntut ilmu, Ratu Cantik Malaysia 2008, Dr. Soo Wincci, 36, ini masih mempunyai masa untuk memasak di rumah.

Menyediakan sendiri hidangan di rumah katanya, sememangnya lebih baik dan menyihatkan daripada makan di luar.

“Sejak kecil, apa sahaja hida­ngan yang disediakan oleh saya akan dinilai oleh ibu supaya saya dapat memperbaiki rasa makanan tersebut. Dialah sumber inspirasi saya dalam dunia masakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Soo Wincci mula memasak sendiri sejak berusia lima tahun dengan menyediakan kek.

Namun peluang berada di Sepanyol akibat pandemik Covid-19 mendekatkan lagi dirinya kepada dunia masakan.

“Sewaktu Covid-19 kira-kira dua tahun lalu, saya berada di Sepanyol. Masa itulah saya luangkan masa untuk mendalami dunia masakan,” katanya.

Beliau berada di Sepanyol kerana melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) keduanya dalam bidang Artistik Produksi di University of Polytechnic, Sepanyol.

Wanita cantik ini turut dilihat menjadikan mencari ilmu sebagai hobi. Beliau bukan setakat me­mi­liki satu Ijazah, tetapi tiga Sarjana dan satu Ijazah Doktor Falsafah (PhD) jurusan muzik.

Kesemua sijil itu diperoleh dalam tempoh 15 tahun proses menimba ilmu.

MENONTON PROGRAM
Tambah Soo Wincci, dia gemar menonton rancangan memasak dan mencuba segala resipi yang ditonton di rumah. Bagi dirinya, dia cenderung kepada sajian fusion yang menggabungkan beberapa jenis masakan untuk menghasilkan satu hidangan yang baru.

Antara guru masakan yang dikaguminya ialah Jamie Oliver lantaran kearifannya menyediakan sajian ringkas, sedap tetapi menyihatkan.

Dalam pada itu, Soo Wincci men­jelaskan, ada pro dan kon­tranya antara hidangan yang dimasak rumah dengan dibeli di luar.

“Bagi yang ahli keluarganya sedikit, mungkin lebih mudah makan di luar berbanding memasak di rumah. Tetapi, bagi yang ahli keluarga lebih ramai, memasak di rumah dapat membantu menjimatkan perbelanjaan dapur, sekali gus memastikan ahli keluarga menghabiskan masa berkualiti bersama-sama di meja makan.

“Apa pun terpulang kepada keperluan dan kehendak kelu­arga. Pada saya, sebaiknya masak dan makan di rumah walaupun hanya seorang diri kerana dengan cara itu kita dapat mengawal pengambilan makanan agar tidak keterlaluan. Lagipun lebih menjimatkan masa berbanding kita perlu bersiap dan memandu untuk ke restoran,” katanya.

ULANGKAJI SAMBIL MEMASAK
Soo Wincci mengakui tidak sukar membahagikan masa antara belajar dan melakukan hobinya kerana boleh melakukannya serentak.

“Apabila saya mengulang kaji pelajaran, saya akan meluangkan masa membuat kek. Kemudian, saya akan makan kek tersebut bersama guru saya. Jika kita sudah minat, tidak sukar untuk menyiapkan hidangan kegemaran kita.,” katanya.

Suka masak tetapi kekal langsing. Pasti ramai mencemburui dirinya.

Katanya dia menjaga ke­lang­­singan dirinya dengan meng­amalkan menu detoks seperti teh kayu manis kunyit, kopi, telur rebus, kacang dan buah oren.

Bahan-bahan ini diminum begitu sahaja dan menjadi hidangan harian Wincci.

“Hidangan tersebut boleh dima­­kan dua hingga tiga kali se­­ha­­ri dan boleh membantu me­­­ngurangkan berat badan tiga kilo­gram dalam masa seminggu,” kata­nya.

IKON IRM
Dalam perkembangan terkini, baru-baru ini Soo Wincci terpilih sebagai Ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM).

Mengulas mengenai perlantikan itu, katanya dia berbesar hati atas lantikan itu sungguhpun bukan dalam kalangan penganut agama Islam.

“Memang ada yang bertanya kepada saya, kenapa seorang yang telah bergelar ratu, mahu menyertai IRM dan melakukan kerja-kerja kebajikan, jawapan saya mudah sebab itu semua kerja Tuhan.

“Tuhan sudah memberi pengalaman yang perit kepada saya dan saya dapat belajar macam-macam daripada ujian itu. Pengalaman itu turut mendorong saya terlibat dalam kerja kebajikan dan bersama IRM,” katanya.

Beliau kini mulai sedar bahawa selebriti bukan hanya hidup dalam dunia glamor sahaja, sebaliknya perlu melakukan sesuatu yang lebih bermanfaat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×