Kita dalam radar kepentingan strategik AS - Utusan Malaysia

Kita dalam radar kepentingan strategik AS

ANTONY J. Blinken dalam sesi dialog SEALI Initiative sewaktu berkunjung ke negara ini, minggu lalu. – KEDUTAAN AS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAWATAN Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony J. Blinken ke Malaysia, minggu lalu menjadi cerminan kepada kepentingan kritikal hubungan dua hala kedua-dua negara yang terus utuh dalam menelusuri wadah cabaran tidak menentu terutama dalam dekad lalu. Lawatan ini menjadi inisiatif pelengkap untuk tahun ini bagi perencanaan strategi serta hasrat AS untuk terus meletakkan Malaysia dalam radar kepentingan strategik utama masa depan susulan lawatan Setiausaha Perdagangan, Gina M. Raimondo, November lalu.

Pertalian kedua-dua negara menjadi tonggak dan wacana penyemarak pembangunan futuristik, pemerkasaan jaminan keselamatan dan pertahanan serta penjanaan sistem ekonomi baharu berpaksikan teknologi kritikal, pendigitalan ilmu dan tenaga hijau. Ketiga-tiga spektrum ini akan terus berperanan sebagai pemacu utama nadi pembangunan mampan serta prospek masa depan negara yang berdaya-saing, jitu dan konsisten.

Sektor ekonomi mendominasi unjuran hubungan berteraskan transisi kepada sumber tenaga baharu serta acuan ekonomi futuristik bertunjangkan penjanaan modal.

Bidang kritikal termasuk semikonduktor, teknologi kuantum dan nano, kepakaran robotik dan kepintaran buatan (AI) serta kapasiti teknologi 5G dan 6G.

Di sebalik tirai persaingan kuasa besar dan kemelut geopolitik yang kian meruncing terutama di rantau Asia Pasifik, polemik penguasaan sumber tenaga konvensional dan baharu serta sumber kritikal seperti semikonduktor, nadir bumi serta bahan asas kesihatan menjadi pertaruhan dalam percaturan bersasar kuasa-kuasa besar terutama China dan AS. Kapasiti unggul China dalam rencana modal kewangan tinggi serta skop jaringan perluasan pegangan ekonomi ke atas negara lain menjadi parameter yang sukar untuk disaingi AS.

Dalam merungkai kemelut persaingan ekonomi dua kuasa besar ini, Malaysia mendapat manfaat daripada pulangan positif kedua-dua pihak. Namun, terus bergelut dilema dalam menelurusi kancah menyeimbangi kepentingan kebergantungan ekonomi dengan keperluan keselamatan dan pertahanan.

Walaupun China terus memberikan suntikan modal mudah serta kapasiti pasaran perdagangan yang utama, AS akan terus berperanan sebagai wadah perencana dan pemacu sains, teknologi, inovasi serta kepakaran berlunaskan keperluan masa depan.

AS akan terus mengorak langkah untuk menyuntik nafas baharu dalam usaha menghidupkan kembali pegangan dan pengaruh di rantau ini melalui kesepakatan nilai demokrasi, keadilan sosial, kebebasan ekonomi serta pembangunan berasaskan nilai dan ilmu teknologi serta memperkasa hubungan dengan sekutu lama dan negara berkepentingan termasuk Malaysia.

Kelebihan yang ada pada negara kita terutamanya dari segi bekalan sumber dan tenaga kritikal termasuk semikonduktor dan sumber asli lain seperti minyak sawit dan getah menjadi antara faktor AS untuk terus memacu keterjalinan kerjasama ekonomi. Ini diperlukan untuk memastikan keselamatan rantaian bekalan, pasaran dalaman serta landskap sosioekonomi baharu AS terutama bagi memastikan kapasiti daya saing tidak merudum dalam usaha mengekalkan posisi sebagai ekonomi terbesar dunia dan jurang ekonomi sedia ada dengan pesaing kedua, China.

LATIHAN BERSAMA

Ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Malaysia dalam mendapatkan pulangan positif terutama skop teknologi, kepakaran masa depan serta peluang ekonomi baharu.

Di sebalik landskap impak ekonomi dan teknologi, spektrum keselamatan dan pertahanan akan terus mendominasi wajaran komposisi pertalian ini.

Perkongsian maklumat, latihan bersama, pertukaran kepakaran dan teknologi serta sokongan moral dan pembangunan kapasiti angkatan pertahanan kedua-dua pihak terbukti cekal dan terus kukuh.

Ini dibuktikan dengan pemberian hampir AS$200 juta (RM842 juta) dalam bentuk bantuan geran kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 2017 dan pelaksanaan lebih 100 program dan aktiviti kerjasama keselamatan dan pertahanan kedua-dua negara.

China akan terus berlegar dalam pentas konflik rantau dan akan memaksa AS serta sekutu lain untuk mengekalkan usaha terperinci bagi memastikan keterbukaan dan kebebasan Indo-Pasifik yang memainkan peranan penting kepada unjuran strategik AS. Tindak balas AS dalam memperdalam kerjasama pertahanan serta pembentukan pakatan ketenteraan dan dimensi kekangan lain terhadap China memberi tempias kepada semua negara di rantau ini. Namun, ia turut memberi pulangan positif kepada Malaysia sebagai jaminan keselamatan dan penyeimbang kepada perluasan dan risiko ancaman China yang terus mencipta kegusaran rantau.

Jalinan erat dalam sektor lain selain ekonomi dan pertahanan seperti sektor pendidikan, kebudayaan dan hubungan sesama masyarakat yang dicerminkan dalam inisiatif sedia seperti program Fulbright, YSEALI Initiative serta peningkatan kerjasama sektor pengajian tinggi melibatkan mobiliti pelajar dan staf akademik serta hubungan penyelidikan menjadi wadah dan rencana yang berpotensi tinggi untuk terus mempelbagai teras dan pulangan positif kepada kedua-dua pihak.

Namun, ia turut memberi pulangan positif kepada Malaysia sebagai jaminan keselamatan dan penyeimbang kepada perluasan dan risiko ancaman China yang terus mencipta kegusaran rantau. Jalinan erat dalam sektor lain selain ekonomi dan pertahanan adalah pendidikan, kebudayaan dan hubungan sesama masyarakat.

Ikatan teguh dengan AS perlu terus dipertahankan di mana limpahan positif membentuk kesan berangkai pada masa depan pembangunan kedua-dua negara. Lawatan Blinken dan usaha-usaha yang dibentuk AS untuk mempertahankan kepentingan dan pengaruh keperluan masa depan serta perspektif persaingan dengan China akan dilihat sesetengah pihak sebagai strategi dan muslihat tersendiri untuk kelebihan dan kepentingan sendiri.

Namun, lembaran serta skop perspektif lebih besar melangkaui unjuran semasa perlu difaktorkan dalam memberi penerapan kepada penilaian ini di mana AS kekal menjadi kuasa kritikal dalam menyantuni nilai asas universal dan memberikan jaminan konvensional dan keselamatan masa depan rantau dan negara.

PENULIS ialah Penolong Pendaftar di Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×