KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional (MN) diteruskan bukan sahaja sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), malah dipertahan sampai bila-bila.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, MN adalah nilai perjuangan bangsa yang tidak harus dilupakan kerana dua parti politik terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas bersatu selepas kalah pada PRU14.
“MN akan terus berjalan. MN ini satu gabungan diiringi oleh air mata kerana gembira dan kedua-dua parti berjaya rekod kan satu penyatuan setelah lebih 60 tahun bersengketa dan akhirnya kita boleh bersatu.
“MN terabai? Tak mungkin. MN akan diteruskan sampai PRU-15 dan sampai bila-bila,” katanya ketika dihubungi.
Dilaporkan sebelum ini, akar umbi UMNO dan Pas masih mengharapkan penyatuan di antara kedua-dua parti itu bagi memberi kestabilan politik bangsa Melayu dan Islam.
Perkara ini disuarakan sendiri oleh UMNO Selangor, di mana pengerusi perhubungannya, Tan Sri Noh Omar sebelum ini berkata, beliau mengharapkan autonomi diberikan kepada UMNO Selangor supaya kerjasama dengan Pas dapat diteruskan di negeri itu.
Perkara yang sama turut dinyatakan pimpinan UMNO di negeri lain supaya perjuangan MN diteruskan sehingga PRU-15.
Bagaimanapun, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat lebih cenderung untuk bersama Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi berkata, beliau yakin akan ada satu formula yang dapat dirunding bersama antara UMNO, Pas termasuk Bersatu bagi mengelakkan pertembungan kerusi pada PRU nanti.
“Insya-Allah itu memang salah satu sasaran kita. Walaupun Pas duduk di dua rumah, tak ada masalah pun sebenarnya. Sekarang ni pun ramai sahaja yang dua, tiga rumah.
Tetapi bila tiba PRU nanti, akan ada rundingan, strategi teknikal yang akan dicapai. Itu saya yakin,” ujarnya lagi. – UTUSAN ONLINE











