ARAU: Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Arau yang berlangsung di Kubang Gajah di sini sedikit terganggu apabila Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar mengemukakan bantahan terhadap notis persidangan dan penangguhan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian tersebut.
Syed Atif berkata, mengikut fasal 6.2 Peraturan Persidangan UMNO, Setiausaha UMNO bahagian hendaklah memberitahu cawangan dengan bertulis sekurang-kurangnya empat belas (14) hari terlebih dahulu sebelum diadakan Perwakilan Bahagian.
Bagaimanapun kata Syed Atif, selaku Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Arau telah menerima notis melalui aplikasi Whatsapp daripada setiausaha UMNO bahagian pada 15 Disember iaitu tiga hari sebelum mesyuarat ini diadakan.
Katanya, tarikh berkenaan telah dianjak belakang kepada 7 Disember iaitu sebelas hari (11) sebelum mesyuarat ini dijadualkan.
“Berdasarkan maklumat di atas, terdapat asas yang kukuh dan tiada keraguan bahawa Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Arau akan terbatal dan tidak sah sekiranya diteruskan mengikut jadual pada 18 Disember 2021.
“Sehubungan dengan itu, saya mohon mengemukakan usul penangguhan mesyuarat perwakilan ini berdasarkan beberapa faktor antaranya terdapat implikasi besar yang amat serius sekiranya mesyuarat ini diteruskan dan Bahagian Arau menghantar perwakilannya ke Perhimpunan Agung UMNO pada kali ini.
“Ini kerana, sekiranya status keabsahan mesyuarat perwakilan ini menjadi tidak sah, Perhimpunan Agung UMNO juga akan menjadi tidak sah dan segala ketetapan yang bakal diambil di dalam Perhimpunan Agung juga secara automatik menjadi tidak sah,” katanya ketika mengemukakan notis bantahan itu.
Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Arau itu disempurnakan Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Tambah Syed Atif, sekiranya dirujuk sejarah pengharaman UMNO pada tahun 1987, parti tersebut keseluruhannya telah diharamkan oleh mahkamah hanya kerana 11 orang individu mengemukakan bukti-bukti perlanggaran jelas terhadap Akta Pertubuhan 1966.
Katanya, oleh yang demikian, memandangkan akta pertubuhan berkenaan berada di bawah kawalan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menjadi sebuah entiti di bawah Kementerian Dalam Negeri yang kini dikawal oleh seorang menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah berkali-kali berusaha menyusahkan urusan parti itu melalui kuasa yang ada pada mereka.
“Adalah tidak wajar dan tidak berbaloi untuk UMNO Bahagian Arau mengambil risiko dalam perkara teknikal seperti ini.
“Berdasarkan penjelasan itu, senario yang ada adalah untuk kita menjaga nama baik UMNO Bahagian Arau dengan meneruskan mesyuarat sebagaimana dijadualkan tetapi mendedahkan keseluruhan institusi UMNO kepada risiko pertikaian status keabsahan Perhimpunan Agung bagi tahun ini yang sekaligus mendedahkan parti kepada risiko campur tangan oleh pihak luar seperti RoS, Kementerian Dalam Negeri dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Azizan Sulaiman ketika dihubungi berhubung perkara tersebut memberitahu, notis mesyuarat diterimanya pada 1 Disember sekali gus mesyuarat yang berlangsung ini boleh berjalan seperti biasa.
“Saya tidak pasti sekiranya ada dua notis atau sebagainya tetapi saya terima notis pada 1 Disember dan mesyuarat boleh berjalan seperti biasa,” katanya.
Dalam masa sama, wakil perhubungan UMNO negeri yang berada di dewan tersebut turut mengesahkan mesyuarat berkenaan. -UTUSAN ONLINE











