KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu memberikan semangat baharu kepada Barisan Nasional (BN). Di sebalik pelbagai ramalan, analisis dan juga cakap-cakap politik, BN menang 21 kerusi penuh bergaya.
Pertarungan memang sengit dan panas, namun angka 21 itu memang tidak dijangka. Malah kemenangan calon MIC dan MCA turut mencuri tumpuan disebabkan imej kedua-dua parti itu yang sering dikecam sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).
Siapa jangka, Melaka yang disangka-sangka kubu kuat BN pun tersungkur pada PRU14 lepas. Kenapa? Sebab sikap pemimpin yang menganggap diri mereka terlalu kuat dan bacaan separuh masak daripada ‘tukang kipas’ politik. Satu lagi sebab ialah tindak tanduk ‘panglima perang politik’ parti-parti tertentu yang terlalu bermaharajalela menggunakan kuasa.
PRN Melaka hanya menceritakan separuh kisah benar politik khususnya aliran pengundi Melayu yang memilih BN dan Perikatan Nasional (PN). Undi popular BN naik satu peratus sahaja. Kemenangan majoriti calon-calon BN juga mencemaskan.
Pengundi bukan Melayu masih berpihak bersama Pakatan Harapan (PH). Pengundi atas pagar boleh buat kejutan pada saat akhir. Pemilihan calon amat penting. Peratus keluar mengundi rendah. Pengundi muda menilai kredibiliti calon dan parti. PN pula muncul sebagai kuasa politik baharu.
Justeru, sudah tiba masa BN memikirkan dan mengkaji dengan teliti serta mendalam mengenai keputusan PRN Melaka berdasarkan fakta sains politik. Imej BN masih laku dan diterima baik tetapi perlukan pembaharuan politik berpandukan kebenaran, bukan sekadar kosmetik.
Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri telah menaikkan aura BN melalui tindakan pantasnya menamatkan krisis politik seterusnya menyelamatkan negara daripada ancaman Covid-19.
Tindakan berani beliau menandatangani perjanjian persefahaman politik bersama pembangkang meletakkan dirinya dan BN sebagai pejuang reformasi yang cakap serupa bikin seiring aspirasi Keluarga Malaysia.
Rakyat semakin muak, marah dan menyampah dengan krisis politik berpanjangan sejak PRU14. Mereka mahukan kestabilan politik untuk memastikan masa depan lebih terjamin ketika negara masih bertarung dengan pandemik.
Sementara itu, kita juga perlu mara seiring negara-negara jiran Indonesia, Singapura dan Kemboja dalam proses pemerkasaan ekonomi. Perlu ada pendekatan berbeza untuk menguruskan proses pemulihan ekonomi negara di peringkat antarabangsa.
Tidak dinafikan, selepas dua Perdana Menteri ‘disingkirkan’ sejak 2018, pelantikan Ismail Sabri mewakili BN telah memberikan imej dan persepsi berbeza. Dalam tempoh 100 hari pertama, ketegangan politik dapat dikurangkan. Persidangan Parlimen nampak lebih aman dan tenteram. Sesi perbahasan juga menunjukkan kematangan.
Tindakan muafakat politik ini jelas dapat disaksikan ketika Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang pindaan perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selepas mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli-ahli Parlimen, baru-baru ini.
Usaha tersebut selaras agenda transformasi untuk mengembalikan keyakinan rakyat termasuk pelabur asing terhadap kemampuan kerajaan demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosioekonomi mampan.
BAGASI POLITIK
Ismail Sabri tidak ada bagasi politik. Imej dan karakternya mungkin nampak sederhana, tapi apa yang kita perlukan sekarang ialah hasil kerja berdasarkan keputusan demi membantu rakyat yang semakin sengsara dan susah akibat Covid-19.
Dalam tempoh 100 hari pertama, suhu politik negara semakin tenteram dan stabil. Negara sudah tidak ada tekanan politik melampau selepas ada perjanjian antara pembangkang dan kerajaan. Dari faktor ketenteraman politik ini, kita nampak proses pemulihan negara juga sedang berlangsung secara tertib, terurus dan terancang.
Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia (BBC) juga menzahirkan sokongan mereka kepada Ismail Sabri untuk terus memimpin negara sehingga berakhir penggal Parlimen pada 2023.
MIC turut menggesa pucuk kepimpinan BN untuk memberikan ruang secukupnya kepada Perdana Menteri bagi menentukan masa paling sesuai mengadakan PRU15.
Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran dipetik berkata, tiga parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) telah membuat keputusan untuk menyerahkan tanggungjawab mengadakan PRU15 kepada kebijaksanaan Ismail Sabri.
Sokongan dan mandat ahli-ahli Parlimen BN kepada Ismail Sabri amat penting. Mungkin inilah masa sesuai namanya dipertimbangkan untuk mengambil alih kepimpinan BN sebagai Pengerusi. Jawatan Pengerusi BN tidak dipertandingkan, biasanya Presiden UMNO dilantik sebagai Pengerusi BN dan Perdana Menteri. Perlembagaan BN jelas menyebut Pengerusi BN hendaklah dipilih oleh anggota-anggota Dewan Tertinggi BN secara konsensus.
Sekiranya pucuk pimpinan UMNO boleh menerima seorang Naib Presiden sebagai Perdana Menteri dalam situasi politik norma baharu buat pertama kali, kenapa tidak?
Kepimpinan BN perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bagi meraih sokongan rakyat semua kaum termasuk golongan pengundi berusia 18 tahun yang bakal menggegarkan arena politik negara pada PRU15 nanti.
Jawatan Pengerusi BN tidak akan menggugat Presiden UMNO yang lebih berkuasa menentukan hala tuju parti, pemilihan calon, pelantikan jawatan parti dan sebagainya.
Apakah kepimpinan BN bersedia untuk perkasakan imej politik Ismail Sabri?
Apa yang pasti, kepimpinannya mencetuskan sinar harapan baharu kepada BN. Apakah beliau dapat mempertahankan selepas 100 hari pertamanya? Sudah tentu lebih banyak cabaran, halangan dan rintangan menanti beliau. Sama-sama kita nantikan, saksikan.
DATUK ANBUMANI BALAN ialah penganalis politik dan strategik.











