KESERONOKAN anak-anak kembali ke sekolah setelah sekian lama mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sedikit tercemar susulan pelbagai kes buli yang dilaporkan di beberapa sekolah. Ibu bapa dan penjaga juga bimbang dan sedih kerana budaya negatif ini masih belum berjaya dibendung apatah lagi dihapuskan.
Pembuli yang dikenal pasti boleh disiasat dan dihukum di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Malangnya, sebagaimana diakui Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri, kebanyakan mangsa buli memilih untuk menyembunyikan insiden jenayah itu.
Kehadiran ramai ‘tukang sorak’ yang memberi sokongan pula dilihat oleh pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Roseliza Murni Ab. Rahman sebagai salah satu sebab pembuli semakin berani. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang pernah menjadi guru dilaporkan berkata, pembuli yang bertindak agresif sebenarnya mengalami gangguan emosi.
Orang yang emosinya stabil pasti ada perasaan takut dan malu untuk memukul dan mencederakan pelajar lain. Saya membincangkan topik ini bersama beberapa rakan untuk cuba memahami mengapa pembuli sanggup bertindak keterlaluan.
“Biasanya pembuli dicabar orang di sekelilingnya. Pembuli ingin menunjukkan kekuatan dengan bertindak di luar jangkaan. Dia biasanya tidak mahu mengaku kalah di depan mangsa,” kata R. Vanitha, seorang guru di Petaling Jaya, Selangor.
Pada pemerhatian A. Nalina Devi dari Sungai Petani, Kedah, pembuli biasanya merasakan dirinya hebat dan ditakuti, lalu tidak gentar untuk bertindak ganas tanpa belas kasihan.
“Kelonggaran penguatkuasaan peraturan di institusi pendidikan menyebabkan pembuli menjadi berani. Kebanyakan mangsa terdiri daripada kaum minoriti. Saya dapati ada pentadbir institusi pendidikan membiarkan kes buli berlaku kerana tidak puas hati dengan kehadiran pelajar kaum lain,” kata S. Suwedan dari Kapar, Selangor yang ada pengalaman mengajar selama 40 tahun.
Seorang lagi guru, Richard Ignacy dari Jawi, Pulau Pinang mengaitkan kegiatan buli dengan kumpulan gangster yang menjadi pelindung kepada pembuli. “Ternyata, jika ahli kumpulan mengadu kepada ketua gengster tentang pelajar yang dianggap bersikap kurang ajar atau tidak tunduk kepadanya, maka insiden buli mula berlaku,” ulasnya.
Pesara guru sekolah Tamil, V.K. Ezhilarasi Velautham dari Cheras, Kuala Lumpur turut berkongsi pengalaman. Dia mendapati pembuli biasanya individu yang bermasalah.
“Sering kali, pembuli meluahkan kemarahan ke atas seseorang yang lebih lemah kerana dia sendiri ada kekurangan atau masalah tertentu yang tidak mampu ditangani,” katanya.
Pada pemerhatian M. Mahendran, seorang penulis dari Bentong, Pahang, pembuli sebenarnya ingin nampak hebat. Mereka mahu menunjukkan kepada semua orang bahawa mereka berkuasa dan orang lain perlu ikut telunjuk mereka.
Pasti ada pelbagai sebab dan punca mengapa pembuli tergamak melakukan perbuatan yang sebenarnya merupakan jenayah serta penderaan fizikal dan mental. Dalam perbincangan dengan rakan-rakan, kesan atau trauma yang dialami mangsa turut diperkatakan.
TEKANAN MENTAL
Pada penelitian Suwedan, pelajar kaum minoriti yang menjadi mangsa buli mungkin membatalkan hasrat meneruskan pengajian di institusi berkenaan. Dia mengemukakan contoh anak rakannya yang mendapat tempat di sebuah maktab tentera. Remaja itu menjadi mangsa buli dan membuat laporan beberapa kali kepada pihak pentadbir tetapi tidak ada sebarang tindakan.
“Mangsa buli mengalami trauma dan ketakutan sehingga ada yang tidak mahu ke sekolah dan mahu berpindah sekolah. Gangguan terhadap pelajaran turut berlaku.
Masalah lain tercetus seperti pergaduhan antara keluarga mangsa dan keluarga pembuli,” Richard pula menceritakan.
Vanitha menegaskan, hakikat mangsa buli mengalami tekanan mental dan rohani yang mungkin tidak diceritakan kepada orang lain. Malah, mangsa mungkin cuba membalas dendam terhadap pembuli lalu menimbulkan pelbagai masalah lain pula. Kecederaan fizikal pasti meninggalkan kesan jangka panjang dan mangsa buli hidup dalam ketakutan.
“Mangsa buli sangat terkesan dari segi psikologi dan fizikal. Kesan negatif ini kekal pada diri mangsa bagi jangka panjang walaupun jika pembuli sudah lupa,” Nalina Devi mengingatkan.
Kesan dan trauma fizikal, emosional dan mental turut diakui Ezhilarasi. Pada pemerhatiannya, mangsa buli sering menjadi individu yang sentiasa dalam ketakutan, hilang keyakinan diri dan dilanda kemurungan. Tidak mustahil mangsa membenci diri dan cuba mencederakan diri pada masa depan.
“Sudah tentu mangsa mengalami kesakitan yang teruk dan mengalami trauma hingga enggan ke sekolah semula,” Mahendran pula menambah.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tambahan pula, mangsa biasanya kanak-kanak dan remaja yang dikategorikan sebagai budak bawah umur mengikut undang-undang. Mereka masih memerlukan perlindungan, apatah lagi apabila berdepan pembuli tegar yang kuat dan ganas pula.
Bagi menangani kes buli yang semakin berleluasa, Mahendran meminta pengurusan sekolah dan asrama memantau kegiatan pelajar secara lebih prihatin dan rapat. Boleh juga undang pegawai polis memberi ceramah supaya pelajar sedar membuli adalah jenayah dan pembuli boleh dihukum.
Nalina Devi menekankan pentingnya mangsa buli diberi sokongan moral. Mana-mana insiden buli wajib dilaporkan walaupun jika ada pihak meminta kes ditutup atau merayu pembuli tidak dihukum.
Pada pandangan Vanitha, pelajar perlu sentiasa diterapkan nilai tolak-ansur dan kasih sayang tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Pelajar yang dikesan ada ciri-ciri awal pembuli boleh dinasihati secara baik oleh guru.
“Untuk menghapuskan budaya membuli, ibu bapa dan pihak sekolah berperanan mengenal pasti tanda-tanda dan gejala buli. Pembuli perlu diberi kaunseling sehingga sedar kesalahan diri. Mangsa buli boleh diberi terapi untuk pulih daripada trauma,” kata Ezhilarasi.
Bagi Suwedan, warden sepenuh masa daripada pelbagai kaum perlu ditempatkan di sekolah berasrama penuh.
“Kerjasama polis dan sekolah perlu diperkasa. Mangsa buli perlu berani melaporkan kejadian kepada guru atau ibu bapa. Budaya penyayang perlu diperhebat dalam kalangan warga sekolah,” Richard mengusulkan.
Perbincangan terbuka dalam masyarakat dan di media sosial juga perlu bagi meningkatkan budaya prihatin dan penyayang, sekali gus menghapuskan budaya membuli yang tidak bermanfaat.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











