Sampah masuk, sampahlah yang akan keluar - Utusan Malaysia

Sampah masuk, sampahlah yang akan keluar

Pilihan raya memberi peluang kepada rakyat memilih pemimpin berkualiti, berwibawa dan berkredibiliti untuk serta menyingkirkan pemimpin korup dan tidak berakhlak. – Mingguan/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMILIHAN pemimpin bukan perkara main-main. Pemimpin ialah tempat rakyat berharap. Seperti kata pepatah Melayu condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegak. Pemimpin mesti berwibawa dan berkredibiliti dan bukannya yang bersifat pegar makan padi.

Oleh itu, memilih pucuk pimpinan parti sama ada ketika pemilihan parti atau sewaktu pilihan raya bukan sekadar ritual yang boleh diambil mudah.

Ia adalah proses penting dalam menentukan masa depan bangsa dan negara, terutama ketika pilihan raya. Sekurang-kurangnya orang yang dipilih itu akan memimpin untuk tempoh lima tahun ke depan. Sebab itu, ia tidak boleh dibuat secara main-main.

Pilihan raya adalah jalan untuk rakyat menyatakan suara, pendapat dan memilih orang yang keutamaan dan ideanya paling sepadan dengan mereka. Sosok orang yang bertanding perlu dinilai luar dan dalam. Bukan sekadar penampilan, tetapi keperibadian juga perlu diperhatikan supaya kita sebagai pengundi tidak menyesal kemudian.

Setiap perbuatan pemimpin dan bakal pemimpin perlu dinilai supaya ia tidak menjadi perosak kepada sistem politik dan pentadbiran negara. Rosak pemimpin maka rosaklah sistem dan rosak negara.

Seperti kata imam Al Ghazali, sifat utama pemimpin adalah beradab dan mulia hati. Tetapi kadang-kadang jawatan dan kuasa boleh mengubah sifat manusia. Ini selari dengan kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib bahawa kewibawaan, kuasa, dan kekayaan tidak akan mengubah seseorang lelaki, sebaliknya ia hanya akan mendedahkan siapa mereka.

Sebab itu dalam sistem demokrasi, pemilihan pemimpin dilakukan secara telus dan terbuka. Melalui pemilihan ini diharap akan lahirlah pemimpin yang amanah, bertanggungjawab, dan dapat membawa perubahan kepada kehidupan rakyat yang lebih baik.

Kerana peri pentingnya kepemimpinan dalam kehidupan berbangsa dan bernegara, maka masyarakat tidak boleh salah dalam memilih pemimpin mereka. Kesalahan dalam membuat pilihan ini akan memberi kesan untuk satu tempoh yang lama. Jika dalam sistem pilihan raya kita, ia untuk tempoh lima tahun. Keputusan seminit untuk memilih pemimpin itu bakal menentukan nasib kehidupan bangsa dan negara lima tahun akan datang.

Sebagai rakyat dan pengundi, kita perlu bijak menilai calon-calon yang ‘dihidangkan’.Pilihlah pemimpin yang amanah, bertanggungjawab, ada kredibiliti dan tidak terpalit dengan apa juga unsur-unsur yang memudaratkan.

Pemimpin itu bukan sahaja kena bersih tetapi perlu kelihatan bersih. Mereka sedikit pun tidak boleh terpalit dengan kesangsian apatah lagi dengan aktiviti jelek seperti rasuah dan jenayah.

Malangnya, di negara kita setiap kali ada pilihan raya atau pemilihan peringkat parti maka muncullah istilah-istilah yang mengaitkan pemimpin bertanding dengan elemen rasuah atau politik wang.
Istilah ‘bom’, ‘tamparan’ dan sebagainya akan berlegar-legar seolah-olah satu rahsia yang terbuka.’

Begitu juga sewaktu pilihan raya negeri di Melaka baru-baru. Sampul-sampul berisi wang dikatakan berlegar-legar malah ada yang dimuat naik ke media sosial sama ada oleh kawan mahupun lawan.

Semua ini mendedahkan ketidakbersihan dalam proses pemilihan pemimpin di negara kita. Jika perkara ini dibiarkan berterusan amalan rasuah ini akan terus berakar umbi dan tidak mustahil akan menjadi budaya dalam masyarakat.

Hanya kita sebagai rakyat yang boleh menghalang perkara ini daripada terus berlaku. Jangan biarkan kebijaksanaan kita diperkotak-katikkan oleh pemimpin seperti ini. Jika kita sebagai pemilih turut terikut-ikut dengan permainan rasuah ini maka ia hanya mengundang musibah kepada masa depan negara kita.

Sebab hari ini kita didedahkan dengan pelbagai berita yang membabitkan pemimpin. Ada yang dituduh rasuah kemudian kes digugurkan. Ada dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah, dan ada yang masih berhadapan dengan pelbagai kes lagi.

Malah pemimpin yang lompat parti turut dikaitkan dengan habuan tertentu seperti imbuhan dalam bentuk tunai, diberikan jawatan, tidak didakwa dan sebagainya.

Jelas kepada kita pemimpin kategori ini walaupun akhirnya mereka didapati tidak bersalah, tetapi realitinya mereka sudah tidak kelihatan bersih. Sudah ada parut kemungkaran terpalit di wajah mereka.

Untuk membersihkan negara kita daripada pemimpin seperti ini ia terletak di tangan rakyat. Di tangan pengundi atau pemilihlah yang menentukan sama ada pemimpin seperti ini akan kekal dalam sistem pentadbiran negara kita atau tidak.

Jika rakyat yang berkuasa memilih turut terpengaruh dengan permainan pemimpin ini maka natijahnya keseluruhan sistem politik kita akan rosak dan korup.

Ini kerana pengundi yang korup akan melahirkan pemimpin yang korup. Pengundi yang memilih kerana sentimen pula akan melahirkan pemimpin yang didorong sentimen dan pengundi yang tidak bijak hanya akan melahirkan pemimpin yang bodoh.

Pendek kata jika sampah yang masuk maka sampah jugalah yang akan keluar.

Keseluruhan sistem kita akan rosak dan generasi akan datang hanya akan mewarisi satu sistem yang pincang dan cacat.

Untuk memilih pemimpin yang berwibawa dan berkredibiliti para pengundi itu terlebih dahulu perlu membersihkan jiwa dengan memastikan diri berilmu, tidak terpedaya dengan tawaran rasuah dan tidak bertindak atas sentimen semata-mata.

Kebodohan, rasuah dan sentimen hanya akan menyebabkan kita membuat pilihan salah serta menggadaikan masa depan depan negara dan generasi akan datang.

Pemimpin yang baik ibarat pokok besar di tengah padang yang menjadi tempat bernaung kepanasan dan tempat berlindung kehujanan. Petunjuk utama pemimpin ini adalah jujur, ikhlas dan menawarkan khidmat dan jasa kepada rakyat, bukannya yang menawarkan wang atau kebendaan.

Menjadi seorang pemimpin yang baik dan berjaya bukan hanya tentang mempunyai tabiat baik semata-mata, tetapi tentang bagaimana mengelakkan tabiat yang buruk.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×