BERMULA semalam sehingga esok, berlangsung pelbagai program khas bagi mengenang tokoh-tokoh terkenal dalam industri bijih timah di daerah Larut dan Matang, Perak sejak sekitar 180 tahun dahulu.
Kita tentu pernah membaca tentang Perang Larut (1861-1873) melibatkan kumpulan-kumpulan Ghee Hin dan Hai San di sekitar Klian Pauh dan Klian Baru. Susulan campur tangan British, perang antara kedua-dua kongsi gelap itu berjaya diselesaikan. Perebutan kuasa pemerintahan antara Raja Abdullah dan Sultan Ismail juga ditamatkan menerusi Perjanjian Pangkor (1874), sekali gus menandakan permulaan sistem Residen British di Perak.
Semasa Perang Larut, Ngah Ibrahim selaku Orang Kaya Menteri meminta bantuan superintenden polis di Pulau Pinang, Tristram Charles Sawyer Speedy yang lebih dikenali sebagai Kapten Speedy. Beliau membawa 100 orang sipahi (askar) keturunan Punjabi dan Pathan dari India pada September 1873.
Apabila JWW Birch menjadi Residen British pertama di Perak, Speedy pula menjadi timbalan. Beliau menukar nama Klian Pauh kepada Taiping (keamanan yang berkekalan).
Nama Klian Baru pula kembali kepada asal, iaitu Kamunting.
Seorang tokoh terkenal di Perak dan Pulau Pinang pada waktu itu ialah Chung Keng Kwee yang mungkin tidak diberi pengiktirafan sewajarnya dalam buku teks sekolah.
Beliau lahir di wilayah Kwangtung, China pada 1821 dan datang ke Malaya pada usia 20 tahun.
Keng Kwee mengumpulkan buruh keturunan Cina untuk bekerja di lombong bijih timah milik Long Jaafar di Klian Pauh. Tidak lama kemudian, beliau menjadi ketua kumpulan (kongsi) Hai San. Keng Kwee dan 44 pemimpin Cina menghantar petisyen pada 1872 meminta British membantu menyelesaikan pertengkaran Hai San dengan Ghee Hin, khususnya dalam isu perebutan kawasan perlombongan bijih Timah.
Saya berpeluang berbual dengan Pengerusi Persatuan Warisan Taiping, Yeap Thean Eng sewaktu berada di Taiping, baru-baru ini. Apa yang lebih unik dan bermakna, kedai barangan antik dan pejabat Thean Eng di Jalan Berek di mana kami duduk berbual, merupakan bekas Rumah Kapitan.
“Pada sekitar 1998, apabila perniagaan saya berkembang, saya mahu membeli bangunan ini. Saya langsung tidak tahu sejarah di sebaliknya. Penyewa lama memberitahu saya bahawa bangunan ini merupakan rumah bandar atau townhouse milik Keng Kwee dan dibina sekitar 1884.
“Saya segera buat semakan dan mendapati memang betul. Terus-terang, hanya selepas itu saya berminat dalam usaha memelihara pelbagai bangunan warisan di Taiping,” katanya.
Beliau menceritakan, Persatuan Warisan Taiping ditubuhkan pada Mei 2006 dan terus aktif menjalankan pelbagai program mempertahankan ikon warisan serta mempromosi keunikan Taiping sebagai tempat pelancongan bagi warga tempatan dan luar negara. Rumah Kapitan yang dipelihara oleh Thean Eng turut dimasukkan dalam senarai Jejak Warisan Taiping, iaitu pakej pelancongan oleh Majlis Perbandaran Taiping.
PUSAT KOMERSIAL
Sempena ulang tahun ke-200 kelahiran Keng Kwee, beberapa program diatur bagi membantu orang ramai khususnya generasi muda pelbagai kaum mengenali sejarah dan tokoh-tokoh yang membangunkan Taiping. Semalam, para peserta berkumpul di Taman Tasik Taiping sebelum dibawa melawat Tokong Ling Nam, Bangunan Persatuan Kwangtung, Tokong Ho Sin Ku, Rumah Kapitan dan Bangunan Persatuan Tsen Loong.
Hari ini, Jejak Warisan Menteri Ngah Ibrahim bermula di Kelab Baru sebelum melawat tapak di mana Long Jaafar menemui bijih timah pada sekitar 1840. Selepas bersarapan di Kediaman Orang Besar Jajahan yang dibina pada 1893, rombongan bergerak ke Kota Ngah Ibrahim yang dikenali sebagai Muzium Matang sejak 1986. Ia pernah menjadi sebahagian bangunan Maktab Perguruan Melayu Matang (1913-1922), sekolah Melayu (1913-1941 dan 1946-1983) serta markas tentera Jepun (1941-1945).
Menurut Thean Eng, esok pula di Ipoh, peserta akan dibawa melawat Bangunan Chung Thye Phin (Rumah Arlene) dan Muzium Bijih Timah Han Chin Pet Soo. Untuk makluman, Thye Phin iaitu anak keempat Keng Kwee merupakan Kapitan Cina terakhir di Perak dan Malaya. Nama tauke bijih timah dan getah ini turut diabadikan pada sebatang jalan di bandar Taiping.
“Saya amat gembira kerana persatuan kami berpeluang mengendalikan program seperti ini untuk memastikan sejarah dan warisan nenek-moyang masyarakat majmuk di Perak amnya dan Taiping khasnya terus terpelihara,” ujarnya.
Tulisan mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dalam Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (1991) turut membantu saya lebih memahami sejarah awal daerah Larut dan Matang. Beliau menghuraikan bagaimana kedudukan Taiping sebagai pusat komersial mula merosot sejak 1894.
Kesan lebih nyata apabila pusat pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu berpindah ke Kuala Lumpur pada 1896. Malah sejak 1911, sudah ada cadangan memindahkan ibu negeri Perak dari Taiping ke Ipoh (walaupun hanya berlaku pada 1937).
Hasil perlombongan bijih timah di Larut berkurangan sejak 1890-an dan tumpuan beralih ke daerah Kinta, ramai orang Cina mula beralih kepada perladangan ubi kayu, tebu dan kopi.
Menjelang 1905, tanaman getah semakin pesat di Klang (Selangor) dan Sungai Ujong (Negeri Sembilan). Di daerah Larut dan Matang juga muncul banyak ladang getah.
Port Swettenham (Pelabuhan Klang) mengambil alih kedudukan Port Weld (Kuala Sepetang) sebagai pelabuhan utama menjelang 1920-an.
Namun begitu, sehingga kini Taiping tetap menjadi tapak warisan dan sejarah yang wajar dihayati dan dipelihara.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










