Wawasan Heydar Aliyev dikagumi - Utusan Malaysia

Wawasan Heydar Aliyev dikagumi

HEYDAR Aliyev (kiri) menandatangani perjanjian dengan syarikat-syarikat gergasi dunia termasuk dari Amerka Syarikat dan Turki bagi membangunkan industri minyak dan gas di Azerrbaijan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ESOK, rakyat Azerbaijan akan memperingati ulang tahun ke-18 pemergian pemimpin negara itu, Heydar Aliyev. Siapakah beliau? Penulisan saya kali ini berkisar dengan wawasan dan pencapaian Heydar dalam industri minyak yang perlu dicontohi.

Pemimpin yang bijaksana dan patriotik boleh membawa sesebuah negara bergerak lebih maju ke hadapan serta bersaing di peringkat dunia. Dalam hal ini, kita boleh mengambil contoh bekas Presiden Azerbaijan ini yang bukan sahaja dilihat sebagai seorang pemimpin yang telah banyak menyumbang dalam proses kemerdekaan negara Kaukasus itu, bahkan membawa ekonomi Azerbaijan berkembang pesat dengan keterlibatannya secara aktif dalam industri minyak negara.

Seperti umum sedia maklum, Azerbaijan merupakan salah sebuah negara pengeluar minyak paling lama dalam sejarah dunia, merentasi tempoh perjalanan 150 tahun. Penapisan minyak komersial bermula sejak abad ke-19 di Azerbaijan yang dijumpai di wilayah Bibiheybat, Baku.

Pada 1848, Azerbaijan mengasaskan pengeluaran secara komersial. Azerbaijan mencipta sejarah pada 1899 dengan menjadi negara pertama di dunia mengeluarkan dan menapis minyak.

Sehingga 1994, Azerbaijan telah mengeluarkan berjuta tan minyak sama ada dari darat atau laut. Segala pengalaman Azerbaijan dalam pengeluaran minyak dan gas ini membantu mengukir nama mereka dalam industri minyak dunia pada kurun ke-20.

Fakta menarik yang perlu diketahui juga ialah minyak Azerbaijan merupakan salah satu faktor penentu kemenangan ke atas Jerman Nazi dalam perang Dunia Kedua.

Sewaktu dalam tempoh peperangan, Baku berjaya menghasilkan 80 peratus bahan api dan 96 peratus pelincir yang berbeza.

Kesan penghasilan tersebut, setiap lima pesawat Kesatuan Soviet (USSR), empat kereta kebal dan trak yang digunakan sewaktu peperangan adalah hasil daripada bahan api Azerbaijan. Yang lebih terkesan dalam perkembangan ini sudah tentu rakyat Azerbaijan yang turut memperoleh peluang menggunakan minyak tersebut bagi kepentingan mereka setelah mencapai kemerdekaan pada lewat abad ke-20.

Namun, bukanlah mudah Azerbaijan mengekalkan kenikmatan tersebut apabila mereka turut berhadapan beberapa masalah sebaik sahaja mencapai kemerdekaan pada awal 1990-an. Antara penyebab hal tersebut berlaku termasuklah disebabkan hubungan ekonomi antara bekas Kesatuan Soviet dan Azerbaijan yang terputus, penaklukan Armenia ke atas wilayah-wilayah Azerbaijan dan perang bersenjata sehingga tercetusnya ketidakstabilan politik dalam negara, kekurangan peruntukan kewangan dan teknikal serta lain-lain menyebabkan krisis yang lebih mendalam dalam industri minyak dan gas.

GERGASI

Dalam keadaan sedemikian, Heydar dengan slogan ‘Minyak adalah harta kebangsaan Azerbaijan’ memulakan keterlibatannya dalam pembangunan dan pemulihan industri minyak negara tersebut. Pemimpin Azerbaijan yang berpandangan jauh itu memutuskan menarik perhatian syarikat-syarikat minyak gergasi dunia ke Azerbaijan serta strategi minyak baharu dibangunkan dalam tempoh yang singkat.

Rundingan dengan syarikat asing mengenai pembangunan ladang di Azeri, Chirag dan Guneshli dijalankan di bawah dekri Presiden Azerbaijan ketika itu. Heydar terus berusaha menghadapi segala cabaran dan kesukaran dengan memulakan pelbagai langkah pembangunan ekonomi negara.

Perjanjian Perkongsian Pengeluaran Kontrak berkenaan pembangunan di kawasan Azeri-Chirag-Guneshli (kawasan air dalam Guneshli) telah ditandatangani dengan 11 syarikat minyak terkenal dari tujuh negara pada 20 September 1994. Kontrak ini turut dikenali sebagai Contract of Century melihatkan kepentingannya dalam ekonomi dan politik.

Kejayaan pelaksanaan strategi minyak baharu Heydar sejak lebih 10 tahun itu bertukar menjadi kebangkitan sebenar di negara mereka menerusi beberapa strategi ampuh. Teknologi dan peralatan baharu yang digunakan dalam pembangunan, penggerudian dan pengendalian loji telah memberi impak positif kepada industri minyak dunia lebih-lebih lagi Azerbaijan.

Pembinaan loji gergasi di luar pesisir membolehkan proses penggerudian sebanyak 48 buah telaga yang terletak di Tengah Azeri selesai dengan baik. Terminal Sangachal merupakan salah sebuah terminal terbesar di dunia yang mampu memulakan operasi dengan infrastruktur kuasa tinggi.

Sehingga kini, strategi minyak diusahakan oleh Heydar dilihat sebagai simbol yang rakyat Azerbaijan adalah pemilik kekayaan mereka, membawa ekonomi Azerbaijan ke global, selamat daripada segala krisis politik, ekonomi dan sosial yang berlaku pada awal 1990-an serta membina sebuah negara yang maju dan kuat.

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×