PETALING JAYA: Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang dilancarkan secara rasmi Isnin lalu tidak boleh sekadar gah di atas kertas bagi merealisasikan agenda bumiputera.
Sebaliknya, TBP2030 perlu mempunyai pemantauan, pelaporan dan pengukuran secara berterusan berbanding dasar dan rancangan untuk memperkasa ekonomi bumiputera sebelum ini yang akhirnya tidak menjadi.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, TPB2030 adalah pelan tindakan murni yang berhasrat meningkatkan daya saing dan pemilikan kekayaan yang saksama antara bumiputera dan bukan bumiputera.
Bagaimanapun, menurut beliau, lebih penting adalah dalam memastikan pelaksanaan dan pemantauan keberkesanan TPB2030 bagi mengelakkan negara mengulangi kepincangan dan kesilapan lampau seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) serta Dasar Pembangunan Nasional (DPN).
Beliau berkata, ini kerana kegagalan dasar-dasar sebelum ini dalam memperkasakan agenda ekonomi bumiputera kebanyakannya dipengaruhi oleh faktor ketiadaan pemantauan terutamanya secara berkala.
Katanya, ini berikutan negara juga masih terlalu lemah dalam budaya mengukur dan melapor, tetapi cemerlang dalam budaya mengumumkan dasar atau peruntukan baharu.
“DEB dahulu ada sasaran untuk 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera dan merapatkan jurang pendapatan bumiputera dan bukan bumiputera, tetapi tidak tercapai kerana pemantauannya lemah, malah semakin jauh jurang pendapatannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan TPB2030 yang menggariskan enam sasaran untuk dicapai menjelang 2030 adalah hala tuju yang bakal menjadi rujukan bagi mencapai agenda pemerkasaan bumiputera.
Menurut Dr. Baharum, pihaknya juga melihat TPB2030 perlu mempunyai satu pemantaun berterusan secara langsung daripada Perdana Menteri atau Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan tidak boleh diletakkan di bawah seliaan dan tanggungjawab mana-mana menteri.
“Tahap integriti dan ketelusan yang tinggi harus dipraktikkan. Penerima manfaat, jumlah yang dibelanjakan, kesan yang diterima harus dipantau jika boleh oleh Perdana Menteri sendiri, dan ia harus dilaporkan secara berkala sama ada secara sukuan atau laporan secara separuh tahun” ujarnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, pihaknya melihat punca utama pelbagai dasar dan rancangan untuk memperkasakan ekonomi bumiputera masih gagal berikutan pihak yang dipertanggungjawab melaksanakannya gagal menjalankan amanah mereka.
Katanya, pihak yang dimaksudkan adalah ahli politik yang mempunyai kepentingan jangka pendek dan pegawai pelaksana yang hanya melaksanakan segala inisiatif atas maksud menjalankan tugas tanpa melihat dari perspektif yang lebih besar atau bersifat jangka masa panjang.
Selain itu, menurut beliau, masalah ketirisan, rasuah dan golongan kartel yang membolot semua projek untuk bumiputera juga adalah penyebabnya.
“Oleh itu, semua agensi yang bertanggungjawab melaksanakan TPB2030 harus dikemudi oleh pelaksana professional tanpa melibatkan ahli politik. Rasuah di setiap peringkat harus dibanteras sepenuhnya dan kartel dihapuskan,” katanya.
Bagaimanapun, Dr. Razman berkata, pihaknya tidak menolak TPB2030 sesuatu yang perlu kerana ekonomi bumiputera masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain terutamanya apabila pandemik Covid-19 menyebabkan situasi makin memburuk ke atas kaum bumiputera.
“Ini dapat dilihat apabila statistik menunjukkan purata gaji pekerja jatuh 9 peratus tahun lepas, golongan terbesar yang jatuh muflis kebelakangan ini adalah bumiputera.
“Malah, majoriti pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mempunyai simpanan kurang daripada RM1000 setelah mengeluarkannya bawah pelbagai kemudahan seperti i-Sinar juga adalah bumiputera.
“Selain itu, ramai bumiputera juga masih belum memiliki rumah, ramai yang bekerja dalam ekonomi gig dan ramai peniaga bumiputera yang masih terjejas perniagaannya sehingga kini,” kata beliau.- UTUSAN











