Jangan gadai kebebasan sekali lagi - Utusan Malaysia

Jangan gadai kebebasan sekali lagi

APAKAH kita mahu Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan semula sekali gus meragut kembali kebebasan yang telah diberikan? – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMASUKI Disember iaitu genap setahun dunia melancarkan program vaksinasi menentang penularan wabak Covid-19, kita terus dikejutkan dengan kemunculan varian baharu, Omicron.

Ia dilaporkan mempunyai 32 mutasi spike (duri) protein, iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta yang mencetuskan ledakan kes Covid-19 di India. Omicron mula dikesan di wilayah Gauteng, Afrika Selatan.

Pengesahan kes pertama varian Omicron membabitkan seorang pelajar yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan menunjukkan negara kita masih belum bebas sepenuhnya dari ancaman wabak Covid-19.

Justeru, anggota masyarakat perlu lebih serius dalam melaksanakan kawalan kendiri supaya kelonggaran dan kebebasan yang baru saja dinikmati sekarang tidak tergadai semula.

Berdasarkan data dari Afrika Selatan, Omicron semakin pantas merebak dan dikhuatiri sudah mengatasi Delta sekali gus menjadi varian dominan.

Antara negara yang melaporkan kes import varian ini ialah United Kingdom, Belanda, Portugal, Australia dan Kanada.

Pihak kerajaan dilihat sudah mula mengambil beberapa langkah proaktif dan pencegahan bagi mengawal penularan varian baharu ini, antaranya memutuskan untuk memperhalusi semula langkah bagi mengumumkan fasa peralihan ke endemik sehingga mendapat maklumat lanjut.

Di samping itu, Kementerian Kesihatan telah menyenaraikan pelancong dari 24 negara termasuk sembilan di Eropah dan negara jiran, Filipina tidak dibenarkan menyertai Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi.

Hakikatnya, varian baharu ini mula mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat. Hal ini kerana ia didakwa boleh melemahkan antibodi individu walaupun yang telah menerima vaksin lengkap.

Justeru, tatkala kita berharap inisiatif kerajaan membuahkan hasil serta dapat mengawal penularan varian baharu tersebut, adalah menjadi tanggungjawab kita sendiri untuk meningkatkan tahap kesedaran serta pematuhan terhadap semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pemerintah.

Ironinya, kita baru saja mula bernafas semula apabila sektor ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi setelah hampir dua tahun kita bergelut dengan ancaman wabak serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jadi apakah kita mahu PKP dilaksanakan semula sekali gus meragut kembali kebebasan yang telah diberikan?

Sudah tentu jawapannya adalah tidak dan untuk itu kita perlu berganding bahu bersama-sama dengan pihak berkuasa agar dapat membendung penularan varian baharu ini.

Percayalah, dengan kebimbangan yang dicetuskan oleh Omicron ini, tidak mustahil kerajaan terpaksa melaksanakan semula PKP, baik secara menyeluruh mahupun bersasar demi melindungi keselamatan rakyat.

VAKSIN

Oleh itu, walaupun lebih daripada 97 peratus individu dewasa di negara ini sudah lengkap menerima suntikan vaksin, namun itu bukan lesen besar untuk kita leka apatah lagi untuk tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

Persepsi masyarakat bahawa suntikan vaksin lengkap boleh menyebabkan mereka terhindar sepenuhnya daripada dijangkiti Covid-19 adalah tidak tepat.

Pada dasarnya, masyarakat perlu sentiasa mematuhi SOP dan membiasakan diri dalam menjalani kehidupan norma baharu kerana vaksin hanya berkesan untuk mencegah jangkitan pada jangka masa pendek, manakala keberkesanan vaksin untuk jangka masa panjang masih tidak diketahui.

Tuntasnya, kita tetap berhadapan dengan risiko untuk mendapat jangkitan wabak berkenaan walaupun setelah disuntik dengan vaksin.

Kita perlu faham bahawa vaksin berkesan menghalang seseorang itu daripada mengalami kesan lebih teruk daripada jangkitan tetapi itu tidak bermakna seseorang yang telah divaksin tidak boleh menjadi pembawa kepada virus itu sendiri.

Malah, keadaan lebih membimbangkan apabila kira-kira sejuta penduduk dewasa masih belum menerima vaksin dan terus bergerak bebas.

Oleh itu, pematuhan terhadap SOP seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan adalah formula paling mujarab dalam mencegah dan memerangi wabak ini.

Menurut Kementerian Kesihatan, kajian menunjukkan pemakaian pelitup muka dapat mengurangkan 53 peratus kes jangkitan, penjarakan fizikal menyebabkan pengurangan sebanyak 25 peratus kes dan membasuh tangan dengan pengurangan 53 peratus kes.

Malahan, kadar kematian di negara yang mewajibkan pemakaian pelitup muka adalah 45.7 peratus lebih rendah berbanding negara yang telah melonggarkan pematuhannya.

Perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana pada hari ini kita dapat lihat ramai yang semakin leka sehingga mengabaikan SOP tersebut sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes di beberapa negeri.

Misalnya, sikap rakyat Kelantan yang kurang patuh terhadap SOP menjadi punca utama kes jangkitan Covid-19 di negeri tersebut masih tinggi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr. Izani Husin, SOP yang paling kurang dipatuhi adalah membabitkan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal. Situasi yang sama juga berlaku di beberapa negeri lain.

Jelas sekali, sikap masyarakat menyumbang kepada peningkatan kes di negara kita. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita melaksanakan kawalan kendiri sebelum situasi menjadi semakin sukar dikawal yang boleh membawa kepada pelaksanaan PKP semula.

Menyedari hakikat kehidupan harian perlu diteruskan seperti biasa maka pilihan terbaik kita adalah mematuhi SOP secara lebih serius dan meneruskan segala aktiviti harian dalam amalan norma baharu.

Percayalah rakyat dan negara tidak mampu mengharungi lagi fasa penutupan sektor ekonomi yang hampir melumpuhkan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan rakyat sebelum ini.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan pisang tidak berbuah dua kali. Lindungilah diri dan keluarga dengan lebih tertib dan berdisiplin.

Sedarlah ancaman varian Omicron ini semakin serius dan jika kita leka, ia boleh meragut kembali kebebasan yang sedang dinikmati.

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×