PETALING JAYA: Komuniti tetangga perlu membuang stigma ‘tidak ingin menjaga tepi kain orang lain’ sebaliknya ambil tahu setiap perkara yang berlaku di sekeliling dan tidak menjadi seperti ‘katak di bawah gelas’ iaitu hanya melihat tetapi tidak melakukan sesuatu.
Pakar Psikologi di Universiti SEGi, Prof. Datin Dr. Mariani Md. Noor berkata, sikap menjaga tepi kain yang dahulunya dianggap buruk perlu dibuang bagi membendung masalah-masalah sosial seperti penderaan terus berlaku khususnya kepada kanak-kanak.
Katanya, jiran tetangga perlu menunjukkan sikap peka dan sentiasa membuka mata serta telinga bagi mengawasi keadaan sekeliling kerana niat prihatin itu sesuai dengan konsep yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu ‘Keluarga Malaysia’.
“Jaga tepi kain bukan bermaksud saya menyuruh memasuki terus ke dalam kain tetapi berada di tepi kain dan mengambil tindakan jika berlaku sesuatu aktiviti-aktiviti mencurigakan.
“Jika berlaku tangisan atau jeritan pada waktu malam yang berlanjutan hingga berminggu-minggu atau memakan bulan, adakah kita hanya berdiam diri? Seharusnya kita melaporkan pada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia, di sini semalam.
Terdahulu, akhbar melaporkan, seorang kanak-kanak berusia lima tahun meninggal dunia semasa dalam perjalanannya ke hospital akibat didera oleh ibunya sendiri di Taman Nusa Bistari, Iskandar Puteri, Johor.
Kejadian tersebut menjadi kes baharu yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu sebanyak 472 kes berhubung keganasan terhadap kanak-kanak sejak Januari hingga September tahun ini.
Mariani berkata, hukuman lebih berat perlu dilakukan kepada pelaku kerana penderaan berlaku di dalam separa sedar iaitu keadaan yang mana pelaku faham akan hukuman mereka bakal hadapi jika melakukan perbuatan tersebut.
“Jika hukuman lebih berat, pelakuberfikir dahulu sebelum melakukan penderaan kerana takut akan hukuman yang bakal dijatuhkan kepadanya,” katanya.
Pensyarah Kanan Program Kaunseling di Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Rezki Perdani Sawai pula berkata, penderaan berlaku disebabkan tekanan dihadapi oleh pelaku seperti masalah di tempat kerja dan kewangan.
Jelasnya, karakteristik pendera juga menjadi faktor berlakunya penderaan kepada kanak-kanak seperti kegagalan mengawal emosi dan kebiasaannya terdiri daripada ibu bapa muda yang menghadapi masalah kewangan.
“Jika dibandingkan dengan mereka yang tidak mendera terdapat perbezaan dari segi latar belakang termasuk dari sudut pendidikan, ibu bapa yang menganiaya didapati mempunyai pelbagai masalah kehidupan.
“Di kedua-dua negara membangun dan perindustrian, karakteristik itu yang berisiko besar untuk menggunakan keganasan terhadap anak-anak mereka. Di Amerika Syarikat, ibu tunggal tiga kali lebih berkemungkinan melaporkan menggunakan disiplin fizikal yang keras berbanding ibu dalam keluarga yang memiliki ibu bapa,” katanya.
Tambahnya, masalah penderaan boleh dikurangkan sekiranya ibu bapa mempelajari cara untuk mengendalikan emosi marah, golongan itu perlu mendapatkan bantuan pakar sekiranya menghadapi masalah mengawal emosi tersebut.
“Memukul bukanlah alat disiplin yang diterima secara sosial, disiplin paling berkesan adalah melalui pengajaran teladan. Jika menghadapi tekanan di tempat kerja, ambil masa dahulu untuk menenangkan hati sebelum pulang ke rumah,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE











