Kita gila dengan ayunan bahasa Inggeris - Utusan Malaysia

Kita gila dengan ayunan bahasa Inggeris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usah terlalu teruja dengan penamaan nama-nama tempat dalam negara dengan menggunakan bahasa Ing­geris sehingga melupakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim membidas sikap segelintir pihak berkuasa yang menutup sebelah mata dalam mengetengahkan penggunaan bahasa Melayu.

“Saya telah memberikan pandangan saya sejak 12 tahun lalu. Ketika itu, kita ada Ukay Heights, Ainsdale, Ampang Waterfront dan banyak lagi yang saya dapati menjijikkan.

“Perkara itu menampakkan kita seperti tergila-tergila dengan ayunan nama Inggeris. Saya ingin menyeru kepada semua pihak termasuk kerajaan tempatan untuk mengubah sikap itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam mendakwa Kuala Lumpur sudah “hilang identitinya” berikutan banyak bangunan dan kawasan kediaman diberi nama Inggeris.

Ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Mohamed Nazri berkata, taktik sedemikian digunakan untuk meningkatkan jualan dan penghuni.

Nazri turut memetik nama Hampshire Residences dan Bangsar South sebagai contoh.

Bukan itu sahaja, nama-nama pusat beli-belah di Kuala Lumpur juga menggunakan bahasa Inggeris seperti Pavilion KL, Sunway Velocity dan MyTown.

Rais yang juga bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menasihati supaya semua pihak menggembleng tenaga untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu terus diketengahkan.

“Kita boleh guna nama bunga, pohon, tempat-tempat indah di negara sendiri selain nama-nama warga hebat kita, gunung-ganang dan bukit-bukau yang indah.

“Jabatan Warisan jangan tidur nyenyak dan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) perlu bangkit membantu. Kementerian Pendidikan juga harus mengajar anak-anak watan mencintai artifak dan warisan sendiri.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri yang sudah mula menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan. Janganlah kita membiarkan pemujaan bahasa Inggeris sehingga kita lupa daratan,” katanya.

Mengulas sama ada kerajaan perlu mengubah nama tempat yang menggunakan bahasa Inggeris, Rais hanya berharap nasihatnya itu diambil sebagai iktibar pada masa hadapan.

“Yang sudah itu, sudahlah namun harus menjadi cerminan bangkai budaya. Pada masa hadapan, kerajaan mesti berani dan tegas untuk memastikan nama-nama taman perumahan yang bakal dinamakan.

“Jika nama tiruan sintetik seperti Boulevard dan Presint seperti di Putrajaya, kerajaan harus tolak. Kita mesti ada harga diri untuk negara kita,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN