Penganjuran DSA, NATSEC 2022 bukan sekadar komersial semata-mata - Utusan Malaysia

Penganjuran DSA, NATSEC 2022 bukan sekadar komersial semata-mata

HISHAMMUDDIN Tun Hussein (tengah) bersama Hamzah Zainuddin (kanan) dan Pengerusi DSA Exhibiton and Conference Sdn. Bhd., Tan Sri Asmat Kamaludin menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Perasmian Defense Services Asia 2022 (DSA 2022), di Kuala Lumpur, kelmarin. - MINGGUAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS lebih 20 tahun terlibat dalam ekspo berkonsepkan pertahanan dan keselamatan, Pameran Pertahanan Asia (DSA 2022 ) kini bakal diadakan sekali lagi pada 28 sehingga 31 Mac depan.

Walaupun terhenti seketika pada tahun 2020 akibat penularan Covid-19, pameran kali ini semestinya bakal meneruskan pencapaian dan kejayaan di sebalik penganjuran pada tahun- tahun sebelumnya.

Malah, untuk kali ini, DSA 2022 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC 2022) akan membabitkan sebanyak 1,170 syarikat dari 54 buah negara yang sudah semestinya akan memeriahkan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Di samping itu, pameran ini juga dijangka dihadiri hampir 350 legasi dan pegawai kanan agensi keselamatan pelbagai negara serta 40,000 pengunjung.

Untuk penganjuran DSA 2022 kali ini, ia dalam masa yang sama menjadi salah satu strategi mengukuh kerjasama antarabangsa selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia dalam menjamin keselamatan dan ketenteraman negara

Setakat ini, kira-kira 70 peratus daripada tempahan ruang di DSA 2022 dan NATSEC 2022 telah diisi dan syarikat terbabit sudah disahkan pengesahan mereka.

Dengan pengesahan itu, DSA 2022 dan NATSEC 2022 bukan sahaja menjadi acara pameran semata-mata, tetapi turut menjadi platform kepada pengurusan tertinggi pertahanan dan keselamatan di seluruh dunia untuk bertukar-tukar idea selain memberi peluang kepada penggiat industri bagi memasarkan produk masing-masing.

Apa yang paling menarik, penganjuran DSA 2022 yang pernah diiktiraf antara lima terbaik dunia dengan pelbagai acara diadakan akan turut memuatkan segmen penting antaranya peralatan peperangan elektronik laut, udara dan darat; keselamatan sempadan; teknologi perubatan medan; sistem simulator untuk polis dan agensi penguatkuasaan disamping aset keselamatan lain.

Dalam edisi ke-17 kali ini, buat pertama kalinya DSA 2022 dan NATSEC 2022 akan turut diadakan secara hibrid sebagai nilai tambah kepada peserta untuk mendapatkan segala maklumat berkenaan sama ada sebelum, semasa atau selepas acara, selaras dengan norma baharu.

Dalam pada itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kementeriannyan akan sentiasa komited dengan memberi sokongan dan promosi di peringkat serantau dan antarabangsa.

Menurutnya, pameran edisi kali ini bukan satu-satunya yang pernah beliau sertai, sebaliknya telah terlibat secara langsung sejak beberapa tahun lalu.

Beliau dalam masa sama turut berpandangan pameran ini mempunyai satu signifikan yang tersendiri sejak menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri pada tahun 2010.

“Selepas itu, saya terlibat dengan lebih dekat lagi pada tahun 2014, 2016 dan 2018 sebagai Menteri Pertahanan dan apa yang membanggakan saya dapat melihat peningkatan serta perkembangan DSA dari semasa ke semasa.

“Sejak awal DSA, kami di Kementerian Pertahanan telah bekerjasama dengan pihak penganjur untuk menjadikan ia sebagai pameran pertahanan terkenal di dunia acara, dan sekali lagi, MINDEF berbesar hati untuk memberikan sokongan kami di sebalik a acara berprestij,” katanya semasa menghadiri Majlis Pelancaran DSA 2022 dan NATSEC 2022 kelmarin.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Antara syarikat yang dijangka menyertai pameran kali ini termasuklah Aimpoint AB; Airbus SAS; Aselsan Elektronik Sanayi Ve Ticaret A.S; Avibras Industria Aeroespacial S.A; Baretta; Codan Communications Australia; Fincantieri; Kongsberg Defence & Aerospace dan pelbagai syarikat lain lagi.

Tema bagi penganjuran edisi pada kali ini adalah ‘Ke Arah Era Baharu Pertahanan dan Keselamatan’.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, DSA telah terbukti lebih daripada sekadar pameran dan menjadi satu platform bagi menghimpunkan pelbagai pemain industri, kerajaan, agensi ketenteraan dan pertahanan dari seluruh rantau dengan tujuan menjalinkan pelbagai bentuk hubungan dan kerjasama semua pihak.

“Secara peribadi, saya berharap acara ini dapat memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan sekutu sedia ada serta dapat memupuk hubungan baharu.

“Inilah sebabnya pentingnya DSA diteruskan. Walaupun kita berada dalam keadaan aman, penyediaan platform yang mampu menggalakkan kerjasama serantau dan antarabangsa amat diperlukan,” jelasnya.

Hishammuddin dalam masa yang sama turut memuji penganjuran kali ini yang mengambil inisiatif mengadakan acara dalam bentuk hibrid, sekali gus menjadi sejarah sejak ia diadakan pada tahun 1988.

“Selaras dengan norma baharu dan kemajuan teknologi, DSA 2022 serta NATSEC Asia 2022 akan dilengkapi dengan platform secara maya sebagai komponen nilai tambah bagi membantu peserta mengakses kandungan sebelum, semasa dan selepas persembahan.

“Perlu diingat, walaupun dunia tertumpu pada Covid-19, kita tidak boleh lupa tentang isu keselamatan lain seperti keganasan dan juga isu bukan tradisional yang menjadi jenayah rentas sempadan berterusan,” katanya.

Hishammuddin dalam masa yang sama turut mengingatkan bahawa DSA tidak boleh dilihat sebagai acara komersial semata-mata dan bukan sekadar tempat untuk pemain pertahanan serta keselamatan mempamerkan barangan berteknologi tinggi.

Ia sebaliknya adalah peluang untuk semua rangkaian menjalin hubungan secara mendalam dan meluas bagi membincangkan kaedah menghadapi cabaran dalam industri.

“Penganjuran ini sebahagian daripada matlamat ekonomi dan pertahanan jangka panjang kami untuk meningkatkan keupayaan Malaysia dalam bidang ketenteraan serta memastikan keseimbangan ketenteraan di rantau ini dapat dikekalkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×